Sunday 15 February 2015

Kota Shanghai Pesat Membangun

Kapal terbang MAS mendarat lancar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong (PVG), Shanghai. Berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur tepat jam 9.30 pagi, 27 Januari 2015 dan tiba di Pudong jam 2.50 tengahari hari yang sama. Perjalanan selama 5 jam 30 minit tidak teras dengan layanan mesra MAS.

Urusan imigrasi dan mengambil bagasi lancar dan kami terus beratur untuk mengambil teksi ke Guangdong Hotel (GDH). Pada mulanya kami berhasrat nak menaiki keretapi laju tetapi memandangkan beg-beg yang kami bawa agak besar, maka kami mengambil keputusan untuk naik teksi. Bas pun ada untuk ke hotel.

Perjalanan dari PVG ke GDH memakan masa 1 jam dengan jarak 53 kilometer dan bayaran yang dikenakan ialah 198 yuan. GDH cantik dan agak murah berbanding berbanding dengan hotel di Hong Kong yang kami kunjungi pada 23 hingga 28 Disember 2014. Di Hong Kong segala-galanya mahal.

Setelah tidur puas semalaman, pagi-pagi lagi isteri sudah menyediakan sarapan nasi lemak buatan sendiri. Bahan-bahannya seperti beras, timun, telur asin, tahu dan tempe, ikan bilis, gulai siap dibeli di Malaysia. “Rice-cooker” kecil kami beli secara pos di Malaysia melalui Lazada.com. Kami bawa makanan paket yang berjenama Brahims’s dan Sharifah. Dalam keadaan kita tidak pasti halal-haram makanan di sesebuah Negara adalah tersangat baik bawa sendiri makanan kegemaran kita. Suci, bersih dan halal.

Esoknya tanggal 28 Januari 2015, kami ke Qipu Lu Shopping Complex yang dikatakan sangat murah itu. Naik teksi dari GDH mengambil masa 30 minit dengan jarak 20 kilometer dan tambang teksi sebanyak 38 Yuan, pemandu teksi ambil 50 Yuan (ingat kami kaya kot). Di Qipu Lu khususnya, pesan dari beberapa laman web dan juga kawan-kawan jika ditawarkan satu harga, kita kena potongan hampir 60% daripada harga yang diberikan. Kami ditawarkan beg barangan seharga 900 Yuan. Selepas tawar menawar yang berkali-kali, kami akhirnya dapat beli dengan harga 300 Yuan sahaja. Potongan harga sebanyak 67%. Cukup lumayan bukan?. Kami berada di Qipu Lu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.30 petang. Ketika akan pulang ke GDH, kami cuba mencari teksi supaya tidak susah, puas mencari teksi tak dapat kami mengambil keputusan untuk mencuba menggunakan metro Shanghai. Sistem Metro di Hong Kong telah kami cuba dan sangat efisien dan memuaskan hati pengguna.

Foto Metro Shanghai

Nak beli tiket metro di kios otomatik di Tiantong Road tak faham bahasa dan tulisan Manderin. Kami terpaksa mencari “Service Centre” membeli tiket dan minta cara ke Jiang Wan Road yang berdekatan dengan GDH di Jalan Yixian. Kami di suruh mengambil metro LINE 10 dan turun di Hailun Road. Dari Hailun Road, ambil pula metro LINE 4 dan turun di Shanghai Railway Station. Akhirnya kami disuruh ambil pula metro LINE 3 dari Shanghai Railway Station ke Jiang Wan Road. Tiket metro dari Tiantong Road ke Jiang Wan Road hanya 4 Yuan seorang berbanding dengan harga 50 Yuan menaiki teksi. Kami naik teksi berdua jadi kena bayar 25 Yuan seorang sebab pemandu kebas 50 Yuan walau pun harga sebenar pada meter hanyalah 38 Yuan.

Dari Stesyen Jiang Wan Road, kami jalan kaki dalam kedinginan petang ke GDH yang suhunya mencecah 7 darjah celcius. Dalam perjalanan pulang sempat juga melirik di tepi-tepi jalan yang menjual kasut, baju dan lain-lain, namun oleh kerana belum solat jamak Zuhor dan Asr kami bergegas pulang ke hotel agar dapat menjamaknya sebelum magrib menjelang jam 5.26 petang waktu Shanghai. Waktu di Shanghai sama dengan waktu di Malaysia.

Malamnya kami membuat perancangan untuk ke mana pula hari Khamis esoknya tanggal 29 Januari 2015. Hubungan internet agak terganggu dan sangat perlahan. Rujukan travellog yang pernah orang-orang terdahulu lalui kami baca untuk mendapat panduan. Cara menaiki metro kami kaji satu per satu dan membuat cartalir gerak kerja lawatan sendiri. Masa setengah hari esok Khamis, 29 Januari 2015 kami akan khaskan melawat Yuyuan Garden dan People’s Square.

Jam 9.00 pagi pada 29 Januari 2015 kami keluar dari GDH berjalan kaki ke Jiang Wan Station Metro LINE 3 yang terdekat dengan GDH. Kami ke kaunter “Service Centre” dan minta untuk membeli tiket ke Yuyuan Garden tetapi tidak dilayan dan meminta kami ke kios dan membeli sendiri. Saya terangkan yang saya tidak faham Manderin. Seorang pekerja membawa kami ke kios dan memberitahu ada pilihan Bahasa Inggeris pada sistem di kios. Barulah saya tahu bahwa terdapat pilihan Bahasa Inggeris untuk membeli tiket.

Cara membeli tiket ialah dengan menekan LINE mana yang kita hendak ambil dan stesyen mana yang kita hendak turun. Kemudian masukkan wang yuan shilling atau kertas sebanyak 4 Yuan seorang. Beres. Tiket akan keluar bersama tukaran (jika ada). Dengan harga 4 Yuan itu kita boleh ke mana-mana dalam sistem Metro Shanghai itu.

Untuk ke Yuyuan Garden kita boleh pilih dua cara, (1) ambil LINE 3 dari Stesyen Jiang Wan ke Hongkou Football Stadium, kemudian tukar ke LINE 8 dan turun di Stesyen Siping Road dan akhirnya ambil LINE 10 ke Yuyuan Garden, atau (2) ambil LINE 3 dari Stesyen Jiang Wan ke Stesyen Shanghai Railway, kemudian tukar ke LINE 4 dan turun di Stesyen Hailun Road dan akhirnya ambil LINE 10 ke Yuyuan Garden. Kami pilih laluan (1).

Sesampainya kami di Stesyen Yuyuan Garden kami ambil EXIT 1 dan pusing kanan untuk ke Yuyuan Garden. Berjalan sejauh 500 meter kami pun sampailah ke tempat tujuan. Niat kami ke People’s Square dibatalkan sebab akan ada “One-Day Conference Tour” ke situ nanti pada 1 Februari 2015. Kami sudah bayar kepada penganjur konferensi USD60 seorang untuk “One-Day Conference Tour” itu.

Setelah berada di Yuyuan Garden selama hampir 3 jam melihat taman-taman peninggalan orang-orang China terdahulu dan membuat “shopping” untuk anak cucu dan kawan-kawan kami pun keluar dari kawasan Taman Yuyuan dan singgah minum teh di Lantai Dua sebuah kedai berhampiran dengan pintu keluar Yuyuan Garden. Berbagai jenis teh dijual di kedai tersebut, kami mencuba 2 jenis teh dengan bayaran 70 Yuan. Pemilik kedai memberi kami cuba dua jenis teh lagi. Untuk pulang ke Stesyen Jiang Wan pun ada dua cara seperti di atas dengan “reverse process”. Kami memilih LINE 10 di Stesyen Yuyuan Garden dan turun di Stesyen Siping Road. Kemudian ambil LINE 8 dan turun di Stesyen Hongkou Football Stadium. Akhirnya kami ambil LINE 3 ke Stesyen Jiang Wan. Ketika di LINE 3 kami terkeliru kerana terdapat dua laluan di Stesyen Hongkou Football Stadium. Biasanya kami akan periksa laluan yang tertera di papan kenyataan untuk memastikan stesyen yang kita tuju ada dalam perjalanan tetapi kami dapati laluan metro akan bertentangan dengan tujuan kami. Rupanya kami tersilap laluan dan turun semula untuk ke laluan seberang yang akan membawa kami ke Stesyen Jiang Wan.

Nasihat yang sangat berguna ialah ketika mengambil metro kita kena periksa dulu arah mana metro itu akan bergerak dan apakah tempat tujuan kita ada dalam perjalanan yang akan kita lalui.

Pada 30 dan 31 Januari 2015, konferensi “Computational Mathematics and Its Application 2015” dijalankan. Saya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada konferensi ini dan isteri memilih untuk memanjakan diri dengan kegiatan “facial dan SPA”. Harga rata-rata di Shanghai agak murah kerana tukaran wang kita lebih tinggi tidak seperti di Hong Kong yang kami lawati pada bulan Disember 2014. Apa lagi di London dan Paris yang kami pergi pada bulan November 2014. Tukaran EURO sebanyak 4 kali ganda dan tukaran Pound Sterling sebanyak 5 kali ganda. Ke Eropah berjalan-jalan dan ke Shanghai ber”shopping”.

Kebetulan sekali acara konferensi pada 31 Januari 2015 hanya berjalan separuh hari. Ada beberapa peserta yang tidak hadir, jadi acara pembentangan kertaskerja ditamatkan lebih awal sekitar jam 11.25 pagi. Saya pulang ke bilik dan isteri sudah menyiapkan makanan. Kami makan sementara menunggu waktu Zuhur yang akan masuk pada pukul 12.08 tengahari. Sebaik saja selesai melakukan solat jamak Zuhur dan Asar kami pun memulakan perjalanan dari GDH ke Stesyen Metro Jiang Wan, jaraknya setelah kami periksa semula ialah 1.5 kilometer, bukan 0.5 kilometer seperti yang kami ketahui sebelum ini. Stesyen Metro Dabaishu yang berdekatan berjarak 3 kilometer dari hotel kami.

Metro agak padat kerana hari Sabtu dan warga Shanghai mengambil kesempatan berbelanja menjelang Cuti Tahun Baru Cina yang akan jatuh pada 19 dan 20 Februari 2015 nanti. Dalam bersesak itu kami mencelah untuk memulakan perjalanan menggunakan LINE 3 ke Stesyen Hongkou Football Stadium dalam rangka mencari masjid dan tempat makan halal sekitar Stesyen Yuyuan Garden dan Stesyen East Nanjing Road.

Ketika membeli tiket di Stesyen Jiang Wan Town, kita boleh pilih Bahasa Inggeris pada kios tiket dan pertama sekali memilih LINE metro kemudian memilih stesyen yang dituju kemudian untuk berapa orang. Masukkan wang kertas atau wang siling dalam slot mengikut harga yang dinyatakan pada paparan. Tiket akan keluar dengan bakinya (jika ada). Jangan masukkan wang yang terlalu besar. Pilih wang yang melebihi beberapa siling daripada harga sebenar. Sediakan wang 10 Yuan kerana harga tiket yang pernah saya lihat untuk seorang ialah antara 3 sampai 6 Yuan.

Sampai di Stesyen Yuyuan Garden sekitar jam 2.00 petang dan cuaca sungguh cerah dengan suhu 7 darjah celcius . Aku pakai dua lapis baju dan satu “wind breaker”, itu pun belum cukup untuk menahan kesejukan. Sarung tangan sekali sekala digunakan dan ada ketika kena buka untuk melihat telefon dan memetik butang kamera. Alat “touch screen” tidak menerima jari yang berlapik. Kalau berada dalam supermarket atau stesyen metro suhu agak panas dan selesa kerana ada “heater”.

Kami mula mencari masjid dan restoran muslim berhampiran. Nampak kubah hijau kecil dari kejauhan, kami menuju arah kubah kecil dan memang betul ianya menjadi simbol masjid. Kami berhasil berjumpa dengan masjid. Gerakan kedua ialah mencari restoran halal atau restoran Muslim. Kami cuba bertanya kepada beberapa orang yang berdekatan berpandukan terjemahan “google” dalam Bahasa Manderin yang kami sediakan pada telefon pintar kami. Hampir semua tidak faham dan tidak boleh berbahasa Inggeris. Jadi, apa lagi Bahasa isyarat menjadi alat utama.

Kami ikut panduan Bahasa isyarat yang diberikan tetapi akhir ternampak TESCO, restaurant Muslim tak jumpa juga. Kami masuk TESCO dan terjumpa lagi dengan Restoran “Secret Recipe”. Apa lagi, kami pun masuk dan mencari makanan yang tidak menggunakan minyak dan berunsur vegetarian kerana kami tidak pasti kehalalan makanan tersebut. Akhirnya pesan mee tom yam, sup cendawan dan minum teh limau. Kami makan berdua kerana sudah biasa kongsi makan berdua.

Berjalan kaki ketika umur akan mencecah 67 tahun ogos 2015 ini tersangatlah menyeksakan. Dalam kedinginan 7 darjah celcius sendi-sendi tulang sudah amat terasa sengal dan mencucuk. Hasrat untuk mengembara tidak pernah padam. Kaki masih boleh melangkah. Akhirnya setelah berada di situ sekitar 3 jam, kami mengambil keputusan untuk pulang ke GDH di Jalan Yixian. Terbayang 17 cucu yang comel-comel menunggu kepulangan Eyang dan Atuk. Kesempatan cuti Thaipusam pada 3 Februari 2015 akan digunakan untuk berkumpul dan bercerita tentang Shanghai. Kami sampai kembali ke GDH pada jam 5.20 petang, hanya kurang 6 minit waktu magrib akan menjelang.

Pada 1 Februari 2015, pihak penganjur konferensi mengadakan lawatan satu hari sekitar Shanghai dengan bayaran USD60 seorang. Kami berdua ikut serta.

Bas pelancongan mengambil kami dari hotel sekitar jam 8.00 pagi. Ada sepuluh peserta semuanya, termasuk juga Prof Ayman Badawi dari Palestine dan Dr Mahmoud dari Mesir. Peserta lain ada yang dari Rusia, Korea, China dan USA.

Tempat pertama yang kami lawati ialah Oriental Pearl Tower yang dikatakan bangunan pencakar langit nombor empat tertinggi di dunia. Kumpulan kami menaiki lift sehingga ke ketinggian 351 meter. Di sini kita boleh melihat Bandar Shanghai dari atas bangunan tinggi dan mengambil foto dengan kamera “zoom”. Ruangan yang berada pada ketinggian 351 meter ini dinamakan “Space Capsule” yang dikhaskan bagi pengunjung untuk melihat keindahan bandar Shanghai. Setelah berada di sini sekitar 40 minit, kami turun ke aras 259 meter dengan menuruni tangga. Ruangan yang dinamakan sebagai “Transparent Obsevatory” mempunyai kaca yang boleh nampak ke bawah. Siapa yang gayat ketinggian pasti akan menjerit ketakutan. Berbagai aksi terbang boleh dibuat dan mengambil gambar.

Lawatan terakhir di bangunan pencakar langit ini ialah ke “Shanghai History Museum” yang terletak pada aras 0 meter. Sejarah perkembangan Kota Shanghai dari zaman British hingga ke zaman moden ini.

Akhirnya kami ke “River Cruise” bagi melihat Shanghai dari muara Sungai Huangpo. Bandar Shanghai berkembang di muara sungai ini dengan keindahan air dan kapal dagang yang lalu lalang di muaranya. Bentuk muaranya seperti separuh bulatan. Kesejukan cuaca 7 darjah celcius membuat kami terpaksa bergerak-gerak dalam kapal bagi mendapatkan haba.

Perjalanan cruise ini tidak sejauh cruise yang kami naik di Paris pada bulan November 2014 yang lalu. Cruise di Shanghai ini hanya bergerak dalam bentuk bulat dan pergerakannya dilambatkan bagi memudahkan peserta mengambil foto bangunan pencakar langit yang berada di muara Sungai Huangpo itu.

Perjalanan seterusnya ialah mencari Restoran Muslim untuk makan tengahari dan kami menjumpainya di East Nanjing Road. Pengalaman di Chengdu, Lanzhao dan Linxia ialah makanan muslim mereka ialah “noodle” baik pagi, petang atau malam. Kali ini saya mencuba nasi goreng daging kicap di Restoran Muslim. Isteri mencuba “noodle” yang ada daging dengan kuah sup panas-panas. Dalam keadaan lapar dan sejuk, apa saja makanan dikira boleh makan dan habis juga akhirnya walau pun porsi yang mereka berikan selalunya banyak dan berlebihan.

Kami dilepaskan di East Nanjing Road selama 1 jam untuk mencari apa-apa yang kami minat untuk dibeli. Rasanya lebih selesa berbelanja di sekitar Yuyuan Garden daripada di sepanjang East Nanjing Road ini. Di Yuyuan Garden tidak banyak kereta lalu lalang dan agak santai berbelanja. Juga, barangan yang dijual agak murah berbanding dengan di East Nanjing Road.

Pagi 2 Februari 2015 kami masih ke GMS Supermarket berhampiran dengan Jiang Wan Station membeli belah. Ini ialah kali ketiga kami ke supermarket GMS. Masih mencari ole-ole untuk cucu-cucu dan anak-anak yang akan berkumpul di rumah pada 3 Februari 2015 sempena Cuti Thaipusam dan menyambut kepulangan kami dari Shanghai. Kami beli kambing mainan untuk Widad dan Patung Ultraman untuk Amirul. Ole-ole untuk Eisya, Sarah, Irdina dan Iman sudah dibeli ketika di East Nanjing Road.

Dalam perjalanan pulang ke hotel kami masih sempat membeli kekacang untuk dimakan ketika menunggu penerbangan dan ketika dalam penerbangan. Kami pulang ke hotel tepat jam 12.15 tengahari dan terus melakukan solat jamak Zuhur dan Asar. Kami berniat untuk solat jamak Magrib dan Isya setelah sampai di KLIA sekitar jam 10.00 malam.

Teksi yang membawa kami ke Terminal Dua Pudong International Airport (PVG) bergerak sangat laju seolah-olah kami sudah ketinggalan penerbangan, mungkin mengejar trip penumpang barangkali atau memang dalam kesejukan 7 darjah celcius mereka terpaksa bergerak pantas agar suhu badan meningkat. Entahlah.

Tepat jam 2.00 petang teksi kami sampai di PVG dan bayaran untuk teksi ialah 230 yuan, lebih mahal ketika kami mengambil teksi dari airport ke GDH pada 27 Januari 2015 lalu. Kaunter daftar masuk MAS berada pada kaunter A dan kami pun mendaftar masuk. Penjaga kaunter agak tegas juga. Hand luggage kami tidak boleh lebih daripada 7 kilogram dan beg yang tadinya akan dibawa oleh isteri ke kabin terpaksa kami masukkan ke luggage kerana berat melebih 7 kilogram. Terpaksalah kami memindahkan barangan yang ada pada beg “backpack” saya ke beg pink isteri agar “backpack“ saya tidak melebihi 7 kilogram. Saya puji ketegasan begini kerana keselamatan penerbangan lebih penting.

Pintu masuk D65 kami tuju dengan segera selepas melewati kaunter imigrasi Shanghai yang cukup ketat. Tali pinggang kena buka, laptop kena keluarkan dari beg “backpack”, air minuman kena habiskan didepan kaunter masuk dan telefon bimbit dimasukkan dalam kotak khas. Ketat juga kawalan keselamatan ini rungutku. Semua kaunter masuk ke pesawat kini dijaga oleh awak tempatan buka lagi awak kapalterbang tertentu. Kami baru menemui semula pramugari dan pramugara MAS dalam kabin pesawat. Mereka ramah dan cukup menarik. Satu barisan tempat duduk mempunyai lapan (8) kursi. Empat di tengah dan dua di kiri dan kanan. Ramai juga warga Cina yang dating ke Malaysia dan ramai juga warga Cina Malaysia yang pulang ke negara.

Penerbangan pulang MH389 bertolak tepat pada jam 4.05 petang dan perjalanan selama 5 jam 30 minit ke Kuala Lumpur dijangka cerah. Dianggarkan pesawat akan mendarat sekitar jam 9.45 malam. Seperti biasa MAS menyediakan minuman dan makanan bagi semua penumpang. Kalau kurang boleh minta tambah minuman atau kacang goring yang disediakan, kami pilih untuk makan secara sederhana takut nak ke belakang susah juga dalam keadaan tandas yang kecil, sempit dan tiada air yang mencukupi. Dalam tahun ini kami berdua berjaya melawat London dan Paris antara 1 hingga 10 November 2014, Hong Kong antara 23 hingga 28 Disember 2014 dan Shanghai, Cina antara 27 Januari hingga 2 Februari 2015. Kesemua kota-kota ini mempunyai kekuatan Sistem Metro Train yang kemas dan mantap. Ini membuat perjalanan kami lancar dan terhibur melihat gelagat manusia yang berbagai ragam. Dua destinasi di Eropah dan dua destinasi di China. Gembira sekali melihat ekonomi Cina yang sangat berkembang dan pada setiap saat akan segera mengatasi dominasi USA, Jepun dan Korea. Negara eropah sudah jauh ketinggalan dari segi ekonomi. Cina berkembang dari segi teknologi dan juga ekonomi. Kita mesti memperkemaskan sistem transit kita, komuter dan monorel agar selaras dan bersepadu supaya pengguna tidak disusahkan dan dikelirukan.

Teras Jernang, 3 Februari 2015.