Wednesday 28 March 2012

Kembara Spiritual – Siri 4


4. Hebron di bawah kekuasaan Yahudi
Pintu Masuk Mesjid Ibrahim Al-Khalil

4.1. Sejarah Yahudi dan Zionis

Sebelum saya menceritakan detik-detik kembara kami ke Hebron, elok juga saya imbas kembali sejarah penubuhan Negara Israel yang sekarang sedang menguasai Palestin.
Siapakah bangsa Yahudi ini ?? Menurut kajian sejarah yang berdasarkan penggalian arkeologi dan lembaran-lembaran kitab suci, awal bangsa Yahudi mempunyai hubungan rapat dengan kisah nabi Ibrahim AS yang berlaku sekitar 3800 tahun yang lalu atau 1800 tahun Sebelum Masehi (SM).
Tafsir Al-Qur'an menunjukkan bahawa Ibrahim AS tinggal di daerah Palestine yang dikenali sekarang sebagai Al-Khalil (Hebron) dan beliau tinggal di sana bersama Nabi Luth (QS, 21:69-71). Anak nabi Ibrahim adalah nabi Ismail dan nabi Ishak kemudian anak nabi Ishak adalah nabi Yaakub, kemudian dari keturunan 12 anak nabi Yaakub inilah yang dikenali sebagai 12 suku Israel.

Anak bongsu nabi Yaakub AS adalah nabi Yusuf AS, yang terkenal dalam sejarah, setelah ditinggalkan di dalam telaga di padang pasir oleh abang-abangnya, akhirnya menjadi Bendahara negeri Mesir. Kemudian ayahnya, nabi Yaakub, serta abang-abangnya mengikut nabi Yusuf AS ke Mesir dan hidup damai di sana sampai suatu hari Firaun yang berkuasa memperbudakkan (menjadikan hamba) keturunan mereka yang dikenal dengan bani Israel. Kerana kekejaman Firaun yang tak terkira terhadap bani Israel, Allah S.W.T telah mengirim nabi Musa A.S masa itu, dan memerintahkannya untuk membawa bani Israel keluar dari Mesir. Musa A.S dan kaumnya meninggalkan Mesir, dengan pertolongan mukjizat Allah, sekitar tahun 1250 SM. Mereka tinggal di Semenanjung Sinai dan timur Kanaan (Palestine), dalam Al-Qur'an, nabi Musa memerintahkan Bani Israel untuk memasuki Kanaan, (Qur'an, 5:21).
Melepasi Pos Kawalan Israel

Setelah nabi Musa AS wafat, bangsa Israel tetap tinggal di Kanaan. Menurut ahli sejarah, nabi Daud AS menjadi raja Israel dan membangun sebuah kerajaan berpengaruh. Selama pemerintahan anaknya nabi Sulaiman, batas-batas Israel diperluas dari Sungai Nil di Selatan hingga sungai Eufrat di negara Syria sekarang di utara. Ini adalah suatu masa gemilang bagi kerajaan Israel dalam banyak bidang, terutama senibina.

Di Baitul Maqdis (Jerusalem), nabi Sulaiman membangun sebuah istana dan biara yang luar biasa. Setelah wafatnya nabi Sulaiman, Allah SWT mengutus ramai lagi nabi kepada Bani Israel meskipun dalam banyak hal bani israel tidak mendengar perintah para nabi, membunuh mereka dan mengkhianati Allah. Setelah kematian nabi Sulaiman, kerajaan bani Israel (yahudi) berpecah, di utara Israel dengan ibukota Samarria dan Di Selatan Juda dengan ibukota Baitul Maqdis (Yerrusalem). Dengan berlalunya waktu, suku yahudi jatuh di bawah Assyurria dan Babylon atau pergi ke Mesir sebagai pelarian. Ketika raja Persia Kyros tahun 539 SM mengizinkan orang Yahudi kembali dari pelarian mereka, banyak orang Yahudi yang tidak kembali, di sinilah mulainya Diaspora, penyebaran bangsa Yahudi ke seluruh dunia. Pada tahun 63 SM Juda dan Israel jatuh ke tangan orang Romawi dan tahun 70 SM berjaya menghancurkan pemberontakan Yerusalem dan menghancurkan biara dan Juda.
Rombongan menuggu  untuk memasuki Mesjid

Terbentuknya Israel

Setelah itu orang Yahudi hidup dalam pelarian, sehingga zaman khilafah Othmaniyah barulah orang Yahudi dapat merasakan kehidupan yang damai dengan membayar pajak perlindungan kepada kerajaan Othmaniyah. Akhir abad ke 19, ditunjangi oleh Jewish Colonization Association Baron Hirsch, Yahudi dari Eropah Timur berpindah ke Argentina dan membentuk Kolonialisme pertanian, untuk kembali ke Palestine bermula tahun 1881.

Kronologi penubuhan Israel adalah seperti berikut;

1896 Theodor Herzl, seorang berbangsa Yahudi yang lahir di Budapest telah mengasaskan pembentukan Negara Yahudi moden. Tujuannya untuk menuntut dan membuat negara untuk orang Yahudi di Palestine, disokong oleh wang hasil sumbangan dari seluruh orang Yahudi di dunia. Herzl ini juga dikenal pendiri zionisme, yang juga tidak disetujui oleh orang Yahudinya sendiri.

Pada tahun 1914, di Palestine tinggal 1,200 orang Yahudi. Setelah kekalahan khalifah Othmaniyah dalam perang dunia pertama, Palestine menjadi bola permainan para penjajah dan para Zionis yang berada di sisi British dan Amerika.

Pada tahun 1917, 2 November menteri luar British Lord Balfour menandatangani Deklarasi Balfour untuk membangun sebuah negara Yahudi. Sebulan kemudian masuklah tentera British ke Baitul Maqdis (Jerusalem).

Pada tahun 1920, Gabungan Negara-negara (pasukan bersekutu) menyerahkan mandat Palestine kepada British. Akibatnya datanglah 75,000 lagi orang Yahudi ke Palestine. Negara-negara Arab tidak menyetujui didirikannya negara Yahudi di Palestine.

Pada tahun 1922, kawasan Transjordania dipisahkan dari daerah mandat. Sebagai perwakilan orang Yahudi dibuatlah Jewish Agency. Pada tahun itu terdapat lebih kurang 80,000 orang Yahudi yang tinggal di Palestine.

Pada tahun 1933, di Jerman berlaku penghapusan etnik Yahudi secara sistematik oleh Rejim Hitler.

Pada tahun 1936, Masyarakat Arab menentang politik masuknya orang Yahudi ke Palestine tapi orang Yahudi dibantu oleh tentera Inggeris meneruskan projek menghimpunkan orang Yahudi seluruh dunia ke Israel.

Pada tahun 1937,  Sesudah pemerintah Mandat membatasi imigrasi dan pembelian tanah oleh orang Yahudi, timbullah ketegangan yang dilakukan oleh organisasi bawah tanah Yahudi terhadap orang Inggeris.

Pada tahun 1939, bermulalah secara besar-besaran terbentuknya sebuah brigade Yahudi untuk memasukkan orang Yahudi ke Palestine dari mana-mana di dunia.

Pada tahun 1945, Suruhanjaya Inggeris-Amerika menganjurkan penerimaan 100,000 orang Yahudi di Palestine, tapi kemudian ditolak oleh Inggeris sehingga menyebabkan rusuhan berlaku antara Yahudi - Palestine.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganjurkan pemisahan Palestina dan pembentukan negara Yahudi dan Arab (Palestin). Perang antara Yahudi dan Arab membantutkan rancangan ini.

Pada tahun 1948, Inggris mengakhiri Mandatnya atas Palestine dan tepatnya pada 14 Mei 1948, meninggalkan Palestine. Tentera Yahudi memasuki Palestine dan mengusir orang Palestine yang didukung oleh negara-negara Arab. Di hari yang sama Ben Gurion mengisytiharkan kemerdekaan Israel di kota yang dibentuk mereka, Tel Aviv, sehingga kemudian menyebabkan perang hari pertama Timur Tengah.

Pada tahun 1949, Setelah perang, Israel memenangi peperangan dan bangsa-bangsa bersatu mengakui Israel sebagai sebuah negara.  

Nota: bahan-bahan di atas dipetik dan diubahsuai dari laman web, http://www.maahadsas.edu.my/home/artikel/216-sejarah-yahudi.html, pada 26 Mac 2012.
Makam Nabi Ishak

Di sini kita perlu membezakan antara Yahudi dan Zionis. Bangsa Israel atau Yahudi itu berketurunan dari Nabi Ibrahim AS dan diiktirafkan sebagai Nabi Ulul Azmi yang mesti dipercayai oleh ummat Islam. Namun, Zionis ialah suatu fahaman politik yang berdasarkan kepada kepercayaan “manusia terpilih”. Banyak diceritakan dalam Al-Qur’aan dan sejarah mengenai kedegilan ummat Yahudi dan membunuh nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka sehingga karenah mereka diceritakan dengan jelas dalam Al-Qur’aan.

Dalam buku, “Agenda Yahudi Menakluk Dunia”, karangan Sabaruddin Hussein (2011), terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. Diceritakan secara detail jatuh bangun bangsa Yahudi di seluruh dunia. Kelicikan mereka mempergunakan segala kesempatan bagi kepentingan diri mereka sendiri. Buku yang berharga RM17 itu patut dimiliki oleh para pengkaji dan pembaca yang berminat dengan persoalan ini dan dapat memberi kita kesedaran untuk awas diri mengenai tipu daya Zionis dan Bangsa Yahudi umumnya.

4.2. Kembara ke Hebron
Jamaah Wanita Rombongan Solat Tahiyatul Mesjid

Selepas pulang dari solat subuh di Mesjid Aqsa, kami mengambil sarapan pagi di hotel dan bersiap untuk “check-out” dari Hotel Strand untuk menuju ke Hebron dan seterusnya melintasi sempadan ke Jordan. Tepatnya pada jam 7.00 pagi waktu Palestin, kami bergerak menuju ke Hebron (atau Al-Khalil), nama Al-Khalil gelaran yang diberikan kepada Nabi Ibrahim Al-Khalil Alaihi Ssalam. Jarak antara Jerusalem dengan Hebron ialah 38 km dan mengambil masa 45 minit kerana jalan yang berliku-liku dan melalui sekatan berbagai lapisan pihak berkuasa Israel. Hebron berada di Selatan Jerusalem.

Dalam sejarah disebut bahwa Nabi Ibrahim mempunyai dua isteri yang bernama Sarah dan Hajar. Siti Hajar melahirkan Nabi Ismail dan lahirlah kisah telaga Zamzam, Safa-Marwah dan korban dalam proses mengerjakan haji. Keturunan Nabi Ismail berkembang sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW. Sementara Nabi Ibrahim dengan Sarah pula melahirkan keturunan Nabi Ishak, Nabi Yaakob, Nabi Yusof dan seterusnya yang dikenali sebagai Bani Israel dan istilah Israel itu merujuk kepada Nabi Yaakub dan 12 puaknya. Nabi Yaakub pula mempunyai empat (4) isteri, dan di Hebron terdapat makam Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan dua isteri beliau. Makam Nabi Yaakub berada di bahagian bawah mesjid yang dikawal oleh Israel.
Penulis berfoto di dalam Mesjid

Di Hebron ini ada satu tembok yang tidak tinggi (boleh lompat), tetapi tembok ini memisahkan Yahudi dan Palestin. Pemandu pelancong kami mengingatkan agar kami jangan tersalah jalan di sebelah sana kerana di sebelah sana jalan untuk Yahudi dan di sebelah sini jalan untuk orang selain Yahudi. Kami ikut saja ke mana pemandu pelancong yang bernama Majdi itu bergerak sehinggalah kami tiba di pos pengawal untuk masuk ke Mesjid Ibrahim Al-Khalil, badan kami diperiksa dengan teliti takut-takut ada membawa senjata berbahaya dan sebagainya.

Saya terkejut apabila diberitahu oleh pemandu pelancong yang dalam mesjid ini ada berhala Yahudi yang dinamakan “Synagogue”, macam dua dalam satu (2-dlm-1) dan berbumbungkan mesjid. Satu bahagian berhala Yahudi yang bebas keluar masuk orang Yahudi dan satu bahagian lagi mesjid untuk ummat Islam yang keluar masuknya tidak bebas, berada di bawah kawalan Yahudi.
Lubang yg boleh lihat Makam Nabi Yaakub di bawah

Bahagian atas mesjid menempatkan tempat solat, makam Nabi Ibrahim dan makam Nabi Ishak dan dua isteri beliau. Sementara makam Nabi Yaakub berada di bahagian bawah yang menempatkan “synagogue” dan mereka tidak membenarkan kami melawat berhala mereka. Makam nabi Yaakub boleh dilihat melalui lubang-lubang kecil dari lantai mesjid Ibrahim ini, tapi terlalu kecil untuk kami mengambil fotonya. Kami hanya dapat mengambil foto lubang-lubang kecil itu saja.

Di Hebron, masyarakat Palestin tidak dibenarkan berniaga. Kelihatan barisan kedai-kedai rakyat Palestin yang ditutup. Kanak-kanak Palestin berkeliaran di sekitar kami menjual apa yang boleh bagi mendapatkan dollar amerika (USD), kami sudah diingatkan dari Malaysia lagi untuk menyiapkan wang kecil dalam 1 USD untuk dibagi-bagikan kepada kanak-kanak Palestin yang begitu tertindas. Kesempatan ini kami ambil untuk berbuat demikian. Terharu dan sedih sangat. Air mata saya tiba-tiba mengalir dan rasa hiba yang amat sangat mengenangkan nasib mereka yang ditindas oleh sepupu-sepupu, dua pupu, atau n-pupu mereka juga. Kenapa hal sedemikian boleh terjadi?.
Kanak-Kanak Palestin yang dahagakan pembelaan

Kini rakyat Palestin pula tersebar di 62 buah Negara sebagai pelarian di seluruh dunia, Jordan menampung lebih daripada 6 juta rakyat Palestin. Sementara perkampungan Yahudi terus dibangun, rakyat Palestin terus dipinggirkan dengan merampas tanah-tanah mereka dan juga merampas kerakyatan mereka. Ketika mereka akan memperbaharui kerakyatan Israel mereka, hak mereka tiba-tiba ditiadakan begitu saja, maka jadilah mereka rakyat yang tidak mempunyai Negara. Dalam keadaan terpaksa mereka diusir secara halus untuk berhijrah ke Negara lain yang ingin menerima mereka. Rakyat Yahudi di Negara lain akan mengambilalih tempat yang ditinggalkan oleh rakyat Palestin yang ditindas.
Berbelanja di Kedai Palestin sebagai sumbangan

Ada yang membuat hipotesis, biarlah semua orang Yahudi berkumpul di satu tempat dan ini akan memudahkan Allah memusnahkan mereka sekaligus. Wallahu a’lam, hanya Allahlah yang Maha Tahu segala perancanganNya.
Foto Bersama Famili Palestin

Keluar dari Hebron, kami menuju ke sebuah kedai rakyat Palestin yang dianjurkan oleh pemandu pelancong kami untuk berbelanja kerana sambil berbelanja sekian peratus dari keuntungan itu akan didermakan kepada perjuangan rakyat Palestin. Ramai diantara kami berbelanja sakan dengan membeli berbagai cenderamata semoga sebahagian daripada hasil jualan itu dapat sedikit sebanyak membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin.

…… hinggga ke siri berikutnya ……

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Mac 2012.

Kembara Spiritual – Siri 3


3. Masjid Aqsa yang kami rindui
Sdr Majdi, Pemandu Pelancong kami di Palestin
Setelah diarahkan memasuki ruangan lain daripada pelawat biasa, kami diarah berbaris panjang satu demi satu mengadap kaunter untuk diteliti paspot masing-masing, setelah puas membelek-belek paspot kami baru dikeluarkan satu kertas kecil yang dilekatkan pada pas sempadan. Pada sebelah sana kaunter ada sesorang yang akan mengambil semula kertas kecil itu dan kami dibenarkan bergerak menuju ke bas.

Oleh kerana saya agak awal keluar dari barisan kumpulan kami, saya sempat membuat tinjauan di sebelah kawasan Palestin yang dijajah oleh Israel. Saya dapati ramai pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi Israel yang menjadi pengawal sempadan sebagai kerahan tenaga ala Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Malaysia. Perkara yang sama sudah pun diterapkan di Singapura.
Foto di sebelah lambang Bandar Jericho

Selesai melepasi “check-point” sempadan rombongan menaiki bas ke kota terdekat Palestin dari sempadan Jordan iaitu Jericho. Kami solat jamak dan qasar di Mesjid Jericho dan sempat berfoto di beberapa tempat di sekitar Jericho. Setelah itu kami menuju ke restoran atas bukit dengan menaiki kereta kabel untuk makan tengah hari. Gayat juga menaiki kereta kabel ini, macam tak percaya di Palestin ada kereta kabel.
Foto di depan kereta kabel di Jericho

Ingatkan di Langkawi, Penang, Genting Highland saja yang ada kereta kabel. Tiga buah kereta kabel untuk naik dan tiga buah lagi untuk turun. Seronok juga melihat Bandar Jericho dari tempat tinggi, sebuah Bandar yang aman dan dikuasai sepenuhnya oleh Palestin.

Selesai makan tengah hari kami bergegas untuk ke Jurusalem, tempat tujuan kami yang sebenarnya kerana solat di Mesjid Aqsa mendapat 500 kali pahala bersolat di tempat lain. Jadi, masing-masing sudah teruja untuk terus berada di sana.

Rupanya jalan dari Jericho ke Jurusalem agak jauh juga dan berliku-liku. Pihak Israel sudah membuat tembok pemisah antara penempatan rakyat keturunan Palestin dengan rakyat Yahudi. Sebelah Yahudi, pembangunan pesat berlaku, sebaliknya kemunduran di mana-mana pada sebelah Palestin.
Di Depan "Dome of Rock"

Akhirnya bas kami sampai ke bukit Zaitun dan kami dapat melihat “dome of rock” dengan sangat jelas dari Bukit Zaitun ini. Waktu yang diberikan untuk berada di Bukit Zaitun sangat singkat kerana kami ingin mengejar solat magrib di Masjid Aqsa, bergegas pula kami menaiki bas dan menuju ke bawah bukit untuk ke kawasan Masjid Aqsa.

Penat juga kami memanjat bukit yang menempatkan kawasan Masjidil Aqsa, oleh kerana misi belum tercapai kami dengan semangat wira bergegas lagi menuju ke Mesjid berkubah emas yang disebut sebagai “dome of rock” kerana di dalamnya ada tapak batu yang dipijak oleh Nabi Muhammad SAW apabila akan menaiki bouroq menuju ke langit berjumpa Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Hamparan batu (rock) tersebut masih tersimpan di dalam mesjid itu. Namun ketika kami sampai mesjid ini sedang direnovasi.
Jamaah foto bersama di depan Mesjidil Aqsa

Setelah bersolat tahayatul mesjid kami bergegas pula ke Mesjid Aqsa yang berada di bawah sedikit daripada “dome of rock” di mana jamaah sekitarnya melakukan solat waktu. Sebenarnya seluruh kawasan bukit yang memuat “dome of rock” dan masjid yang di bawahnya dinamakan kawasan Masjidil Aqsa.

Sejarah mesjid ini sangat lama dan telah dikuasai oleh berbagai-bagai pemerintahan, para pembaca dapat merujuk buku-buku sejarah mengenai perkara ini. Apa yang ingin menulis nyatakan ialah kawasan ini berada di bawah kawalan Israel sepenuhnya. Siapa saja yang ingin memasuki kawasan ini diperiksa dan jika mereka curiga yang ingin memasuki kawasan masjid ini akan ditahan.
Tembok Ratapan Yahudi

Sdr Majdi seterusnya membawa kami melawat “wall of grieve” atau tembok ratapan yang digunakan oleh Kaum Yahudi bersembahyang cara mereka dengan mengangguk kepala mereka ke dinding ratapan ini. Mereka percaya di sebelah dinding tersebut dulunya ada berhala mereka yang dirobohkan dan mereka ingin dirikan semula berhala itu. Pada waktu yang sama tempat di sebelah tembok itu beradanya kawasan Masjidil Aqsa.

Di sini terjadi satu kontradiksi yang sangat tajam dan menunggu saja untuk berlaku satu pertelingkahan dahsyat. Menurut pemerhati di bawah kawasan Masjidil Aqsa, pihak Yahudi telah menggali dan membuat laluan di bawahnya, dengan harapan suatu hari kawasan itu akan ranap dan mereka dapat mendirikan berhala yang mereka ratapi itu.

Ketika Sdr Majdi menerangkan tentang tembok ratapan, kelihatan beberapa spy Yahudi berada di sekitar kami. Saya segera mengingatkan Sdr Majdi mengenai ini dan dia dengan sepantas kilat mengarahkan kami mengikutinya keluar melalui pintu rahsia yang dia sendiri tahu kerana sebagai “tourist guide” beliau mesti tahu menyelamatkan kami.
Satu lagi foto Tembok Ratapan Yahudi

Saya mendengar beberapa rabai Yahudi membuat “yell” kepada kami ketika beberapa orang dari kami cuba mengambil foto mereka yang sedang menggoyangkan kepala mereka ke arah tembok ratapan itu. Pada hujung pintu rahsia itu sudah menunggu bas kami untuk membawa kami pulang ke Hotel Strand, tempat penginapan. Dalam perjalanan kaki dan dalam bas kami bersepakat untuk datang solat Subuh di Mesjid Aqsa keesokan harinya.

Bas meluncur laju ke hotel penginapan yang tidak berapa jauh dari kawasan yang kami lawati tadi, namun kami terpaksa menaiki tangga ke tingkat tiga kerana hotel tersebut tiada “lift”, juga tiada saluran TV yang lain selain daripada TV Poland, ketika saya tanyakan ke kaunter kenapa demikian, mereka mengatakan hotel ini khas untuk orang-orang Poland jadi mereka hanya menyediakan apa yang mereka perlukan saja. Walau bagaimana pun kami akur kerana hotel ini milik orang Palestin.

Cuaca di sekitar Jurusalem sangat sejuk, jadi yang ada di bilik penginapan kami bukan pendingin udara tetapi pemanas udara. Oleh kerana baru dengan hotel ini ada jamaah yang tidak pandai menggunakan “heater” jadi kesejukanlah mereka hingga ke pagi. Keesokan pagi sejam sebelum solat subuh kami sudah bersedia menaiki bas untuk solat subuh di Mesjid Aqsa, bersemangat betul ahli-ahli jamaah ini.

Semua hadir kecuali beberapa orang jamaah wanita yang uzur. Dalam kesejukan pagi itu, kami sekali memanjat bukit kawasan masjidil Aqsa setelah bas memuntahkan kami di kaki bukit. Pemandu bas berjanji akan menunggu di tempat kami turun dan kami diingatkan agar tepat masa.
Foto Bersama di Depan Masjid Aqsa

Selesai solat subuh dan berfoto dengan imam Mesjidil Aqsa, kami bergegas turun menuju ke tempat bas kami menunggu. Terasa sangat cepat letih dalam umur senja ini, namun semangat mengatasi segala-galanya. Pada setiap penjuru pintu masuk ke mesjid ada saja pengawal Yahudi yang berkawal, mengawasi jamaah solat subuh dan orang masuk keluar kawasan mesjidil Aqsa.

…… Bersambung siri berikutnya dengan lawatan ke Hebron ……

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Mac 2012.

Kembara Spiritual – Siri 2


2.      Pertama kali menapak di Bumi Palestin

Peta Palestin - Jordan

Sepanjang penerbangan yang memakan masa lebih daripada 11 jam dari Colombo ke Amman, Jordan ramai jamaah dan penumpang lain terlentok dibuai mimpi yang berbagai, namun saya sesekali tertidur dan sesekali terjaga. Dalam usia 64 tahun ini mana boleh tidur berterusan macam Mohd Faiz, peserta muda berumur 18 tahun dalam jamaah kami yang boleh tidur sepanjang perjalanan tanpa menjamah makanan sedikit pun. Sungguh bahagia dia dapat tidur sedemikian rupa. Saya memilih untuk merawat hati dengan mendengar bacaan Al-Quraan melalui system audio-visual pesawat terbang. Sesekali menitis air mata mengenangkan hidup yang dilalui tanpa ada pun jasa yang boleh diwariskan kepada bangsa dan agama.
Foto di depan Gua Ashabul Kahfi

Kapal Terbang Royal Jordan RJ194 mendarat selamat di Lapangan Terbang “Queen Alia International Airport (QAIA)” Amman, Jordan tepat jam 10.18 pagi waktu Jordan. Sambil mengeliat badan, ahli-ahli jamaah mula bangun dari tidur dan bersiap untuk meninggalkan pesawat dan memasuki lapangan terbang QAIA. Di Jordan agen tempatan yang dikendalikan oleh Mujadeed Travel (Pengurusnya Sdr Mohd Mustakeem) menguruskan semua barangan kami. Melalui bantuan kumpulan yang kami gelar lapan lelaki perkasa dalam kumpulan kami, semua barangan dapat dimuat masuk dalam bas yang disediakan dalam masa kurang dari 20 minit. Cuaca Amman ketika kami sampai sangat sejuk, menurut pemandu pelancong kami Sdr. Majdi (Jordanian) suhu ketika itu adalah sekitar 10 darjah Celsius.
Kelihatan Cahaya Matahari memasuki Gua

Menurut Majdi, terdapat lebih daripada 1,500 pelajar Malaysia belajar di Jordan sekarang ini. Nama lapangan terbang ini mengambil sempena isteri Raja Jordan, King Hussein yang bernama Alia yang terbunuh dalam kemalangan helicopter pada tahun 1977. Raja Hussein pula meninggal pada tahun 1999. Jordan telah menjadi Negara yang dijajah oleh British sejak tahun 1919 hingga tahun 1946. Seramai 97% rakyat Jordan beragama Islam dan sekitar 3% beragama Kristian Orthodox.

Tempat pertama yang kami lawati setelah tiba di Amman ialah Gua Ashabul Kahfi, di mana tujuh (7) pemuda ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun. Kawasannya telah dipercantikkan dengan pagar dan masjid buat pengunjung melakukan solat bila mana perlu. Jalan ke Gua telah diletakkan batu besar sebagai tempat berpijak jamaah dan didalamnya sudah diperbaiki bagi keselesaan pelawat. Saya turut melihat ruang yang membolehkan cahaya matahari pagi dan petang memasuki gua bagi memberikan vitamin D kepada pemuda Al-Kahfi tersebut. Pembaca boleh rujuk Surah Al-Kahfi, ayat 18 bagi mendapat fakta dan juga merujuk tafsir-tafsir yang muktabar bagi menjelaskan perkara ini. Menurut Majdi (Pemandu Pelancong kami), Allah SWT menyahfungsikan sebahagian daripada subsistem dalaman diri pemuda Al-Kahfi sehingga selama 309 tahun mereka tidak lapar, tidak dahaga, tiada mimpi dan sebagainya. Itulah kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa yang Dia mahu.
Foto Kumpulan di depan Gua Al-Kahfi

Menurut Sdr Majdi, terdapat 17 juta pokok Zaitun di seluruh Jordan dan merupakan pengeksport terbesar minyak Zaitun ke seluruh dunia. Pada kanan jalan menuju ke Gua Al-Kahfi terdapat pembentong air yang sedang dipasang sepanjang 330 km dari sebuah empangan di Selatan Jordan ke Amman bagi membekalkan air ke Amman yang dilakukan oleh syarikat dari Turki. Mereka perlu mengatasi masalah bekalan air sebelum penduduk Amman bertambah ramai.

Di Bandar Amman juga ternampak kereta dan kenderaan lori dari rantau Arab yang lain seperti dari Arab Saudi, Qatar, Iraq, Syria dan lain-lain. Ini dapat dikenali dengan nombor plet kereta yang membezakan asal kereta tersebut. Buat masa ini kebanyakan Negara Arab sudah bersambung melalui jalan raya yang terbentang luas di padang pasir mereka.

Negara Jordan mendapat limpahan kunjungan dari jiran-jiran mereka seperti Palestin, Syria, Arab Saudi, Iraq, Lebanon, Yemen dan Mesir. Banyak rumah-rumah gedung yang dimiliki oleh hartawan Arab dari Negara Arab yang lain yang mendiami rumah-rumah yang mereka beli apabila di Negara masing-masing mengalami musim panas melampau atau sejuk melampau. Siaran televisyen di Jordan juga sudah mendekati Negara-negara Barat yang lebih liberal.

Sayur-sayuran dan buah-buahan dijual di tepi-tepi jalan raya dengan harga yang agak murah kerana mereka menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kentang, tomato, dan lain-lain di tempat yang subur di Lembah Jordan.

Lebih separuh daripada rakyat Jordan berasal dari Palestin, setengah juta berasal dari Iraq dan tiga (3) juga penduduk berasal dari Pergunungan Caucasian. Jumlah penduduk Jordan sekarang dianggarkan sekitar 12 juta orang. Kebanyakan pekerja binaan datang dari Mesir kerana upah yang murah dan rakyat Mesir yang rata-rata miskin. Mereka boleh datang ke Jordan melalui jalan darat melintasi Bandar Aqabah dari Mesir. Ketika lawatan kami pembangunan sedang rancak berlaku di Jordan dengan bangunan-bangunan tinggi mencakar langit dan pembinaan hotel-hotel mewah dan perumahan yang eksklusif.

Selepas melawat Gua Al-Kahfi, kami berhenti untuk makan tengah hari dan jam 3.00 petang melawat pusat beli belah Noumi Market sebelum “check-in” ke Hotel Larsh di Bandar Amman.
Foto di depan Bas yg akan membawa kami ke Palestin

Esok paginya, iaitu pada 6 Mac 2012, kami bersiap sedia menaiki bas untuk ke Palestin, masing-masing sudah “excited”, teruja dan terkesima. Kami akan menginap satu malam di Jurusalem, tempat berdirinya Mesjid Aqsa dan diminta untuk membawa satu beg seorang dan barangan yang minima saja. Sdr Majdi sudah mengingatkan kami agar berhati-hati apabila berada di sempadan kerana pemeriksaan yang agak ketat oleh pihak Israel yang sedang menjajah Palestin sekarang ini. Semua alat komunikasi dimatikan dan kamera jangan diperlihatkan. Semua barangan itu diarah untuk disimpan dalam beg tangan atau “backpack”.

Sejak di Malaysia lagi kami sudah dimaklumkan bahawa hanya seorang saja yang tidak diizinkan masuk ke Palestin, tiga puluh tujuh (37) peserta lain mendapat kebenaran. Ketika di Malaysia kami tidak tahu siapa yang tidak dibenarkan masuk itu. Saya menyangka saya yang tidak dibenarkan kerana saya menyimpan jambang yang kelihatan seperti orang Arab, namun jemaah yang tidak dibenarkan itu ternyata bukan saya, dan alasan tidak membenarkan peserta wanita memasuki Palestin ialah kerana dalam pasport beliau pernah tercatit memasuki Iran, musuh ketat Israel ketika ini.

Ketika hampir ke Jembatan Raja Hussein, barangan kami diimbas terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Jordan bagi memastikan tiada barangan yang tidak dibenarkan dibawa. Selepas itu kami meneruskan perjalan, pengawal sempadan Israel memberhentikan bas kami di sempadan dan memeriksa bas dengan senjata “ready” di tangan, diimbas bas kami dari bawa kerana dikhuatiri membawa bom dan sebagainya.

Kali pertama bas kami diarah pulang semula ke pintu masuk kerana faks dari Amman belum sampai mengenai kebenaran kami memasuki Palestin belum diterima oleh pengawal sempadan. Baru kali kedua, bas kami berupaya melintasi gerbang pertama dan menunggu pula di gerbang kedua beberapa ketika, kerana mereka membenarkan kenderaan lain melintasi terlebih dahulu. Oleh kerana agak terlalu lama, pemandu kami memberanikan diri maju ke penghadang jalan masuk, serta merta diarah oleh pengawal untuk kembali ke tempat penantian tadi.

Selepas beberapa ketika, barulah bas kami dibenarkan melintas gerbang kedua dan memasuki “check-point” terakhir. Semua barangan dalam bas dikeluarkan dan masing-masing diarah untuk membawa barangan sendiri melintasi melintasi “check-point” terakhir ini. Bas yang membawa kami dari Amman berlepas pulang ke Amman, kerana bas lain di sebelah sempadan sana yang sedang menunggu untuk membawa kami menziarahi tempat-tempat di Palestin.

Ketat sungguh pemeriksaan di “check-point” terakhir ini. Tali pinggang, kasut, dompet, jam dan jaket diperintah supaya dikeluarkan. Beg duit saya diimbas berkali-kali kerana khuatir saya membawa “chip computer” yang kecil dalam beg duit tersebut. Passport saya ditahan bagi pemeriksaan lanjut. Kami semua diarah untuk memasuki ruang lain yang dikhaskan untuk negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel kerana passport tidak boleh di”chop”. Saya percaya saya tidak melawat Israel, tetapi saya melawat Palestin, dan ingin sungguh bersujud di Masjid Aqsa, tempat Rasulullah SAW berpijak untuk menaiki buroq ke langit dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

….. bersambung di siri ketiga (3) berikutnya …..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Mac 2012.

Tuesday 27 March 2012

Kembara Spiritual – Siri 1


1.      Memulakan perjalanan melalui Singapura
Penulis sedang memikirkan perjalanan yang akan ditempoh
Pemergian saya beserta isteri, anak pertama dan anak bungsu merupakan suatu perjalanan yang agak unik dan istimewa. Pertama, kos yang dikenakan adalah murah dan kedua kami melintasi lima (5) buah Negara untuk berumrah kali ini. Paling gembira sekali ialah buat pertama kali kami dapat menjejakkan kami ke tanah Palestin yang di dalamnya ada Masjid Aqsa dan persekitarannya yang diberkati.

Pakej yang dikelolakan oleh Blissful Travel (www.blissfulparadise.com) ini hanya mengenakan RM3,875 untuk setiap peserta. Ini tidak termasuk visa melawat Palestin, Visa Umrah dan beberapa bayaran tambah lain yang jika dikira keseluruhannya tidak pun melebih RM1,000.00, jadi pakej keseluruhan kurang dari RM5,000.00. Lawatan ke Palestin, dan Jordan, ziarah Madinah dan juga umrah di Mekah dikendalikan oleh Mujadeed Travel sebagai rakan kepada Blissful Travel dari Malaysia.

Perancangan asal kami agak berbeza, iaitu isteri dan dua anak saya akan mengikuti pakej Blissful Travel pada minggu pertama dan kedua Mac 2012 dan saya akan mengikuti rombongan ahli matematik dari Malaysia ke konferensi matematik di Universiti Ummul Qura di Mekah pada pertengahan April 2012, sambil menghadiri konferensi kami akan berumrah.

Sebahagian drp ahli rombongan
Rancangan asal pakej isteri dan anak-anak saya ialah ke Mesir, kemudian mengambil jalan darat dengan bas melalui Aqabah ke Medinah, kemudian ke Mekah dan berumrah. Saya mengambil keputusan untuk bersama isteri dan anak-anak kerana memikirkan perjalanan yang jauh dengan bas melintasi Aqabah dari Mesir ke Makkah ialah 1,280 kilometer dan dengan kehadiran saya mereka akan rasa selamat dan saya dapat membantu dalam urusan-urusan yang memerlukan tenaga seorang lelaki. Saya terus membatalkan rancangan ke Konferensi Ummul Qura pada bulan April 2012 dan mengambil keputusan bersama isteri dan kedua anak saya.

Famili Berfoto bersama Pramugari Emirate Air
Oleh kerana pergolakan di Mesir masih belum reda dan masih ada tempat-tempat panas pemberontakan di Mesir, pihak penganjur mengubah haluan ke Palestin dengan perjalanan yang agak berliku iaitu Kuala Lumpur ke Singapura (dengan bas), Singapura ke Colombo (Penerbangan Emirate), Colombo ke Amman (Penerbangan Royal Jordan (RJ)), Amman ke Palestin (dengan bas), Palestin balik ke Amman (dengan Bas), Amman ke Jeddah (Penerbangan Royal Jordan), Jeddah ke Medinah (dengan bas), Medinah ke Mekkah (dengan bas), Mekkah ke Jeddah (dengan bas), Jeddah ke Amman (dengan Penerbangan Royal Jordan), Amman ke Colombo (dengan Penerbangan Royal Jordan) dan Colombo ke Malaysia (dengan Penerbangan AirAsia). Kami mengambil masa 17 hari melaksanakan perjalanan tersebut. Puas kerana harga pakej sangat murah dan dapat melawat lima (5) Negara iaitu Singapura, Jordan, Palestin, Saudi dan Sri Langka.

Rombongan kami yang terdiri dari tiga puluh lapan (38) orang ini berasal dari dua tempat saja iaitu dua puluh lapan (28) orang dari Kampong Raja Uda, Kelang dan sepuluh (10) orang lagi dari kawasan Bangi. Terdapat lapan (8) lelaki dewasa yang perkasa, tiga (3) remaja lelaki dan dua (2) kanak-kanak lelaki. Bakinya, dua puluh lima (25) orang adalah wanita. Jadi, suatu komposisi yang baik kerana lapan lelaki perkasa akan bertugas mengangkat beg-beg rombongan sebanyak tujuh puluh dua beg semuanya, ini tidak termasuk beg “hand carry” masing-masing.

Turut bersama dalam rombongan ialah wakil Blissful Travel iaitu En Yusz atau En Yunus. Beliaulah yang memegang passport, menguruskan tiket, merundingkan apa-apa hal dengan pihak “ground handling” di mana-mana kami singgah atau tiba. Boleh kita katakan bahwa beliau orang pertama yang akan menghadapi apa-apa masalah dan kami sedia membantu sebagai peserta.

Bas bertolak dari Kampung Raja Uda, Kelang jam 12.00 tengahari dan sampai di Mesjid As-Solihin, Teras Jernang sekitar jam 1.30 petang. Bergegas kami menaiki bas dan berniat untuk solat jamak qasar Zuhur dan Asar di perjalanan. Masih banyak waktu kerana waktu penerbangan Emirate di Singapura ialah 12.30 tengah malam. Kami singgih di R&R Pagoh untuk solat Zuhur dan Asar jamak jam 4.10 petang dan kami meneruskan perjalanan ke Singapura selepas solat dan menyelesaikan hajat-hajat lain dan memasuki Tol Senai Utara jam 6.28 petang.

Lepak di LT Colombo
Jam 7.00 malam selesai pemeriksaan kastam memasuki Singapura yang memakan masa selama lebih kurang 30 minit, pihak kastam Singapura hanya meminta kad pengenalan Malaysia saja sebagai pengenalan diri untuk melepasi kastam mereka. 

Kami tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 8.00 malam dan lelaki perkasa lapan (8) orang di kalangan kami telah membantu memunggahkan semua barangan jamaah ke troli dan bersama-sama kami menolak troli ke kaunter daftar masuk untuk penerbangan ke Colombo. Kami diingatkan agar berat beg “handcarry” tidak melebihi 10 kilogram (kg) dan kami mula menimbang beg “handcarry” masing-masing agar tidak melebihi 10 kg. Jika lebih kami terpaksa memasukkan ke beg besar, jika tidak melebihi kami rasa aman membawanya nanti. Beg “handcarry” ini penting kerana kami hanya dibenarkan membawa beg “handcarry” saja untuk perjalanan ke Palestin selama dua hari satu malam.

Selesai pendaftaran kami mencari surau untuk solat jamak Magrib dan Isya, dan surau berada di tingkat bawah Lapangan Terbang Changi. Sambil menunggu penerbangan kami sempat berkenalan dengan rombongan umrah dari Surabaya dan bertanya khabar di Indonesia. Ternyata penerbangan mereka terus ke Madinah dan kemudian ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Penulis mengambil kesempatan untuk rehat

Tepat jam 12.30 pagi kapal terbang Emirate yang membawa kami ke Colombo memulai perjalanan, waktu yang diambil dari Singapura ke Colombo ialah 3 jam. Kami tiba di Colombo tepat jam 1.40 pagi waktu Colombo. Kami terpaksa berehat di Lapangan Terbang Bandaranaike Colombo selama lebih kurang 3 jam sementara menunggu penerbangan berikutnya ke Amman jam 6.25 pagi waktu Colombo. Kami mendapat “boarding pass” pada jam 4.00 pagi dengan tempat duduk yang terpisah-pisah, maklumlah kami transit dan akan mengisi ruang kosong yang ada dalam penerbangan itu ke Amman, Jordan.

Tepat jam 5.10 pagi kami solat berjamaah subuh di Surau Terminal Lapangan Terbang Colombo dan bergegas selepas itu menuju ke terminal untuk berlepas ke Amman. Rupanya kawalan keselamatan lapangan terbang Colombo agak ketat, kami terpaksa membuka tali pinggang, dan kasut. Jika siren berbunyi, kami terpaksa undur dan buang apa-apa yang menyebabkan siren berbunyi. Cara terbaik ialah dengan memasukkan semua benda-benda kecil dalam seluar seperti telefon bimbit, jam, dompet dan lain-lain ke dalam beg tangan atau “backpack” dan membiarkannya diimbas oleh mesin.
Jamaah melepaskan penat di LT Colombo

Jarak Colombo ke Amman, Jordan ialah 3,289 kilometer dan kami dijangka sampai di Amman jam 10.27 pagi waktu Jordan. Perjalanan memakan masa 7 jam 11 minit.  
Jumpa di siri kedua nanti….….. (bersambung)…..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Mac 2012