Thursday 13 June 2013

Jauh tetapi dekat - Sebuah perjalanan ke Romania

Pada 6 Jun 2013 jam 8.50 malam waktu tempatan Bucharest kami tiba dari Istanbul dengan “Turkish Airline”. Perjalanan sejauh 457 kilometer itu ditempoh pesawat “Turkish Airline” dalam masa 1 jam 25 minit. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Henri Cuanda, Bucharest telah menunggu Dato Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad, Duta Besar Malaysia ke Romania, Greece dan Bulgaria untuk menjemput kami ke kediaman resmi beliau.

Jarak antara Kuala Lumpur dan Bucharest ialah lebih kurang 11,707 km. Perjalanan dengan pesawat terbang “Air Bus” atau “Boeing” akan mengambil masa antara 11 hingga 12 jam, oleh kerana tidak ada penerbangan terus ke Bucharest dari Kuala Lumpur, kita boleh mengambil Istanbul sebagai destinasi pertama, kemudian baru ke Bucharest. Boleh juga kita mengambil lapangan terbang lain di Eropa seperti Paris, Amsterdam dan lain-lain sebelum ke Bucharest. Perjalanan melalui jalan darat dianggarkan mengambil masa selama 159 jam dengan kelajuan sederhana dan hanya digalakkan bagi yang berhati besar saja.

Walau pun kami jarang bertemu dengan Dato Nik Mustafa Kamal dan Datin Siti Fatimah Karim serta keluarga, namun terasa sekali keakraban mereka menyambut kami seperti sudah lama kenal. Lawatan selama empat (4) hari ke Bucharest itu berlalu begitu cepat sekali. Tidak terasa sangat kami berada sejauh lebih daripada 11,000 km dari Malaysia, terutama sekali apabila mendapat santapan nasi lemak dan roti canai buatan Datin Siti Fatimah sendiri.

Dato Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad ialah sepupu dengan menantu kedua kami, iaitu Nik Sahazeman Nik Abdul Majid, suami kepada ananda kami Rina Fadhila Ismail. Lawatan ini sekaligus mempereratkan silaturahim keluarga yang jauh tetapi dekat.

Di perkarangan rumah Dato kami boleh memetik sendiri buah cherry yang berbuah lebat dan sangat enak dimakan begitu saja. Musim panas (summer) di Romania cuacanya sangat nyaman, kadang-kadang panas terik, tetapi sejuk apabila tiupan angin menerpa muka yang tidak berbalut.

Perjalanan kami ke Constanta dan Tucea keesokan harinya sangat teruja dengan ladang gandum sejauh mata memandang. Terdapat kincir angin dipasang di merata kawasan luas tanaman gandum bagi memerangkap angin yang akan menghasilkan tenaga letrik. Beberapa panel suria juga dijumpai di beberapa tempat bagi tujuan yang sama. Ucapan “subhanallah” tidak putus-putus keluar dari mulut saya dan isteri apabila melihat alam Allah yang begitu luas dan berwarna warni. Warna yang berbagai mengikut tanaman yang ditanam seperti gandum, jagung dan lain-lain.

Di Constanta (sebutan orang tempatan ialah Constanza), saya dan Dato Nik dapat bersolat Jumaat di Masjid Hunchiar bersama masyarakat tempatan yang beragama Islam, kebanyakannya berasal dari Turki. Sebelum solat Jumaat, kami sempat makan tengahari di sebuah Restoran Turki dengan menu ala Turki. Selepas solat Jumaat, kami meneruskan perjalanan ke Tucea dan melihat dari dekat Sungai Danube yang merentas sebahagian besar Eropah. Salah satu cara pengangkutan yang utama di Eropah ialah melalui sungai yang belum kenal dengan istilah “jam” kerana sungai yang terbentang luas dan air yang dalam. Oleh kerana sungai menjadi salah satu cara pengangkutan, sungai-sungai di Eropah dirawat dan dijaga jaga dengan baik. Macam mana kalau kita jadikan sungai-sungai yang luas di Sabah dan Serawak sebagai salah satu cara pengangkutan yang mungkin tidak kenal “jam” seperti yang dialami oleh pengangkutan darat di mana-mana di dunia.

Dalam perjalanan pulang dan waktu hampir senja, kereta yang kami naiki terlanggar anjing yang tiba-tiba melintas jalan. Radiator kereta bocor dan perjalanan terhenti di suatu tempat yang namanya Malu (aneh ya?). Sementara menunggu ketibaan kereta tarik, kami singgah di sebuah restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam dan sempat berkenalan dengan seorang janda muda beranak dua bernama Morari Morinela, isteri saya sempat berfoto dengannya dan terus masuk fesbuk. Sejak itu kami berkenalan dengan Morari dan mengetahui nama tempat itu ialah Malu.

Setelah menunggu selama 3 jam barulah kereta tarik itu sampai dan buat pertama kali kereta kami menaiki kereta tarik dan kami berempat berada di dalam kereta Duta. Pemandu kereta Duta berada bersama pemandu kereta tarik.

Tiba di penginapan sekitar jam 1.00 pagi waktu tempatan dan terlalu letih dan setelah solat jamak kami pun hilanh dibuai mimpi.

Hari terakhir kami ditemani Putri Aulia untuk ke kompleks membeli belah dan barulah kami tahu yang duit Romania dengan duit kita hampir sama. Inilah yang dikatakan “jauh tetapi dekat” kerana berbelanja seperti di Malaysia dan harganya agak lebih murah berbanding dengan di Malaysia. Di Turki kami agak takut berbelanja kerana wang Turki dua setengah kali ganda mahal berbanding dengan wang Malaysia, wang Turki hampir menyamai wang Singapura.

Itulah sekelumit kisah kami di Romania, cerita di Turki akan dimuatkan dalam kisah travelog yang lain pula.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 13 Jun 2013.


Sunday 14 April 2013

Wisata Hutan Ciwidey dan Kg Daun di Bandung

Ketika kami sampai di Ciwidey hujan lebat mencurah-curah. Mungkin, Ahad 7 April 2013 bukan harinya untuk kami melawat Ciwidey. Hujan sepanjang hari itu. Dingin. Sedikit membosankan. Perjalanan dari Bandung mengambil masa sekitar empat (4) jam kerana jalan sesak dan agak berlubang-lubang. Jalan sesak dengan manusia dan juga kenderaan. Jarak antara Bandung dan Ciwidey hanyalah sekitar 40 kilometer ke arah Selatan dan Barat (lihat peta). Kawasan pergunungan yang dingin dan nyaman untuk berehat.

Esoknya cuaca agak cerah dan kami berlima dapat melihat Kawah Putih dari dekat. Ketika musim hujan kawah putih berwarna kebiruan dan dipenuhi dengan air tetapi ketika musim kering warna belerang akan timbul agak kekuning-kuningan. Kami tidak lama berada di Kawah Putih kerana bau belerang yang agak kuat menusuk hidung dan menyesakkan nafas.

Dalam perjalanan turun dari Kawah Putih, kami singgah di Cimanggu untuk merendam kaki di air panas selama setengah jam. Ada tiga kolam air panas yang besar untuk penggunjung mandi dan ada bilik-bilik kecil yang disiapkan kolah air panas untuk merendam kaki atau mandi manda. Tiket masuk ke kawasan kolam air panas Cimanggu ialah 70,000 rupiah (RM21.00) dan merendam kaki dalam kolam air panas selama 30 minit dikenakan bayaran 10,000 rupiah (RM3.00).

Acara untuk melihat ladang strawberi dan ladang peternakan rusa terpaksa dibatalkan kerana hujan sudah mulai turun semula sebaik saja kami berangkat meninggalkan kolam air panas di Cimanggu menuju Bandung. Wisata hutan tidak terlaksana sepenuhnya kali ini atas sebab cuaca.

Dalam perjalanan ke Bandung dari Ciwidey banyak perkara yang dibincangkan antara Onn Yusuf dan saya. Juga antara Sofia (isteri Onn) dengan Umi (isteri saya). Dr Khairi sekali sekali mencelah perbualan dan perbincangan kami. Pada dasarnya musafir kami berlima dapat mengeratkan tali silaturahim antara satu sama lain. Onn dan saya pernah menuntut di Institut Teknologi Bandung (ITB) antara tahun 1970 hingga 1976 dalam bidang yang berlainan, namun pada dasarnya kami sama alma mater. Juga, saya dapati banyak persamaan antara saya dan Onn dari segi kegemaran, makanan dan hobi.

Satu hal yang sangat saya kagumi tentang Onn ialah kekuatan beliau berlari maraton walau pun pada usia 65 tahun sekarang. Beliau pernah terlibat dengan larian maraton sejauh 65 kilometer dan tamat dalam masa yang ditetapkan. Suatu stamina yang jarang dimiliki oleh orang seumur beliau. Larian 30 kilometer adalah biasa bagi beliau dan melalui acara larian maraton beliau telah menjelajah ke beberapa negara. Tabik spring Onn.

Setiba kami di Bandung dan selepas mendaftar di hotel, kami di bawa untuk melawat Saung Angklung Mang Udjo di Jalan Padasuka no. 118, Bandung. Sepetang kami berada di Pusat Angklung tersebut dan sempat belajar beramai-ramai daripada anak Pak Udjo cara-cara bermain Angklung yang merupakan sebuah warisan seni dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. Acara persembahan Angklung diadakan setiap hari dari jam 3.30 petang hingga jam 5.30 petang. Katanya pada setiap hujung minggu Sabtu dan Ahad, stadium mini Pusat Angklung ini penuh sesak dengan pengunjung melihat persembahan lagu-lagu yang dimainkan melalui alat angklung ini. Kami sungguh terhibur dengan persembahan yang ditampilkan oleh Saung (rumah) Angklung Mang Udjo tersebut.

Tangkuban Perahu tidak ketinggalan dalam acara lawatan kami kerana Dr Khairi baru pertama kali mengunjunginya. Onn dan saya sudah selalu ke Tangkuban Perahu dan sekitarnya seperti Maribaya dan Ciatel ketika belajar di Bandung selama 7 tahun, tetapi yang belum saya pergi ialah Restoran Kg Daun yang sering disebut-sebut oleh pelawat dari Malaysia. Sebelum sampai ke Kg Daun dari arah Tangkuban Perahu ada sebuah pusat rekreasi kanak-kanak yang dinamakan Kg. Gajah. Ini tidak sempat kami kunjungi. Pada mulanya pemandu (sopir) kereta sewa kami mengatakan agak lama menunggu makanan selepas dipesan kerana orang dijangka ramai. Saya sebagai ketua rombongan berkeras untuk ke sana biar berapa lama pun kita akan menunggu makanan. Satu sebab logik ialah kami dalam kelaparan setelah tenaga dihabiskan ketika berjalan kaki melawat persekitaran Tangkuban Perahu, dan kami sedia menunggu kerana belum pernah ke sana.

Ternyata jangkaan sopir sangat meleset kerana setelah menunggu sepuluh minit, kami diberikan pondok bernombor 13 dan kami diminta untuk menunggu di pondok berkenaan dan memesan makanan. Pondok-pondok kecil sekitar 25 buah didirikan dalam suasana hutan yang dicipta khas dan menarik. Tiap kumpulan pengunjung akan diberikan pondok tertentu yang boleh memuat sekitar 10 orang. Sementara menunggu kita boleh tidur-tiduran kerana alas duduk pengunjung adalah tilam yang empuk dan disediakan bantal sandaran, sekaligus boleh juga dijadikan bantal tiduran. Sofia dan Umi sibuk membuat pesanan makanan sementara kami bertiga berbincang macam-macam persoalan.

Makan dalam keadaan santai di Kg Daun sangat menyenangkan dan mendamaikan. Suara air terjun kecil di sana sini dalam kawasan Kg Daun sungguh menenteramkan jiwa. Tersedia kemudahan kamar kecil untuk mencuci muka dan buang air, serta kedai cenderamata bagi tetamu luar yang datang dari jauh untuk membeli ole-ole untuk keluarga dan sahabat handai nanti. Suasana harum semerbak persekitaran Kg Daun membuat kami ingin berkunjung lagi ke sini. Mungkin juga untuk mencari kedamaian suasana kampong yang melambai-lambai.

Itulah sedikit kenangan kami berlima yang melawat Ciwidey, Cimanggu, Bandung, Tangkuban Perahu dan Kg Buah antara 7 hingga 13 April 2013. Semoga kenangan lawatan ini mendamaikan fikiran.

Ismail Abdullah, Kg Teras Jernang, 14 April 2013.