Thursday 15 May 2014

Fajar Islam Dari Sebelah Timur – Bahagian 3 - Terakhir

Jarak antara Lanzhou dan Linxia ialah 200 kilometer dengan masa perjalanan ialah 2 jam. Kami akan berada di Linxia selama dua (2) hari satu malam. Beberapa kegiatan kemasyarakatan dengan jamaah masjid dan sekolah sudah diatur oleh He Ping dan Musa. Kedua-dua mereka ialah pengendali tempatan bagi program “Global Islamic Student Outreach (GISO)” kami di China.

Tepat jam 10.10 pagi bas kami mula bergerak dari Lanzhou ke Linxia. Bandar Linxia mempunyai penduduk seramai 1.5 juta orang dan 1.2 juta orang adalah beragama Islam. Tepat jam 12.20 tengahari kami sampai di Linxia dan terus dibawa melawat Rumah Anak Yatim Muchang (Muchang Orphange) yang memuat seramai 85 orang yang terdiri dari 63 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan. Semua pelajar dikumpulkan dalam satu kelas dan pelajar-pelajar USIM membuat persembahan seperti apa yang mereka rancangkan.

Rumah Anak Yatim ini juga merupakan sekolah pengajian agama Islam pada waktu-waktu kanak-kanak ini tidak ke sekolah biasa. Di sini mereka diajar membaca Al-Quraan dan pengajian subjek-subjek agama yang lain. Pengetuanya Tn Hj. Ibrahim pernah belajar di sebuah pondok di Yala, Selatan Thailand selama lima (5) tahun dan boleh berbahasa Arab dan sedikit-sedikit Bahasa Melayu Selatan Thailand. Kami sempat mengutip derma di kalangan kami untuk diserahkan kepada Sekolah tersebut. Kita memperolehi kutipan sebanyak 700 yuan sebagai sumbangan kecil kami kepada sekolah tersebut.

Seterusnya kami makan tengahari di sebuah restoran muslim yang tidak jauh daripada rumah anak-anak yatim tadi. Lumayan juga makan sebab tengah lapar barangkali. Kami sudah mulai serasi dengan makanan ala China yang banyak menyediakan sayur dan lauk daripada nasi. Ketika kami di rumah anak-anak yatim tersebut terasa sekali persaudaraan Islam antara kami walau pun tidak pernah kenal sebelumnya. Itulah sebenarnya kekuatan Islam yang perlu kita bina.

Selesai makan tengahari kami melawat Masjid Gonbei, sebuah masjid yang terbesar Linxia yang masih dalam pembinaan. Demi keselamatan kami hanya dapat melihatnya dari luar saja. Kemudian kami melawat sebuah binaan lama yang merupakan peninggalan seorang ahli sufi Cina Islam aliran Qadariyah yang dipelopori oleh Sheikh Abdul Kadir Jailani suatu ketika dahulu. Banyak tulisan dan kaligrafi Cina yang terdapat dalam kawasan tersebut, ukiran batu juga dapat dilihat dengan jelas hasil tangan masyarakat Islam.

Selepas itu kami dibawa ke sebuah Tadika Islam Laowang dan sempat solat jamak dan qasar di Masjid Laowang yang menempatkan tadika tersebut. Selepas solat kami dikumpulkan di kawasan tadika dan rombongan kami diperkenalkan kepada kanak-kanak. Kami bernyanyi dan bernasyid walau pun mereka tidak memahami bahasa yang kita gunakan tetapi kelihatan keceriaan di wajah mereka menyambut kehadiran kami. Di seluruh China, pendidikan sekolah rendah dan menengah adalah percuma. Di tadika ini terdapat sekitar 300 orang pelajar yang belajar di sini, kebetulan pemandu kami yang bernama Yusof mempunyai anak yang belajar di tadika ini jadi anaknya mengikuti kami bersama Yusof ke sebuah perdesaan yang menempatkan Persatuan Kaligrafi Cina dan Islam yang bernaung di bawah Institut Penyelidikan Kebudayaan China-Arab (China-Arabic Culture Research Institute).

Mr Zhao Hassan, pemilik tempat ini menyambut kami dengan jamuan buah-buahan tempatan. Kami menikmati hasil tangan tulisan kaligrafi dan tulisan Cina Mr Zhao Hassan yang sungguh halus. Beliau menghadiahkan sebuah buku karya beliau yang memuat karya-karya beliau dalam kaligrafi dan tulisan Cina kepada perpustakaan USIM. Beliau juga menghadiahkan sebuah banner kaligrafi dan tulisan Cina yang beliau hadiahkan kepada rombongan. Beliau mengatakan bahwa Islam dan Adat istiadat Cina yang tidak bercanggah dengan Islam diterima pakai menjadi sebahagian daripada amalan Islam di Cina.

Lama juga kami berada di perdesaan Persatuan Kaligrafi dan tulisan Cina Islam dan tidak terasa yang matahari sudah hampir mau terbenam, namun minat kami terhadap seni kaligrafi semakin membara. Pertemuan yang sungguh bermakna ini terpaksa juga ditamatkan kerana waktu tidak membenarkan kami berada lebih lama di situ. Selepas makan malam di tempat yang sama kami makan tengahari tadi, kami pun mendaftar masuk ke Hotel Linxia milik pemerintah Daerah Linxia. Hotel ini cantik dan murah menurut pandangan Mr Wong. Memang cantik hotel ini dan berada di tengah-tengah kota Linxia. Mengenai harganya kami tidak sempat membuat perbandingan tetapi percaya dengan cakap Mr Wong bahwa hotel ini memang murah dengan kemudahan yang disediakan. Biliknya luas dan bersih.

Pada pagi 9 April 2014 kami bersiap-siap untuk daftar keluar Hotel Linxia dan menjalankan rutin harian sarapan pagi seperti biasa hidangan “mee noodle” yang menjadi kebiasaan masyarakat Cina. Ada yang mulai rasa bosan menikmati hidangan pagi yang sama saja setiap hari, namun terpaksa kerana tiada pilihan lain.

Selepas sarapan kami bergerak menuju ke sebuah Sekolah Bahasa Asing Linxia (Linxia Foreign Language School) yang semua pelajarnya adalah wanita. Kami terkejut juga sebaik tiba di hadapan sekolah ada notis mengatakan lelaki tidak dibenarkan masuk. Namun akhirnya kami dapat masuk sebagai tetamu dari Malaysia. Terdapat lebih kurang 500 pelajar wanita yang belajar di sini dalam berbagai peringkat umur, remaja wanita yang berumur antara 15 hingga 30 tahun datang dari seluruh Cina. Ada juga penduduk tempatan yang datang belajar secara harian, mereka tidak tinggal di asrama yang disediakan untuk pelajar dari luar Linxia.

Ketika pelajar-pelajar wanita USIM membuat program dengan pelajar-pelajar wanita sekolah tersebut kami mempunyai kesempatan yang lama bersama Imam dan juga pemilik sekolah tersebut Tn. Hj. Shidiqi yang berumur 84 tahun. Beliau masih segar bugar dan masih berupaya bercakap mengenai Islam dan peranan kita dalam berdakwah. Kami mengetahui ini melalui terjemahan pendamping kami Mr Musa, Mr Wong dan Mr Yusof. Rata-rata masyarakat Cina tidak boleh berbahasa Inggeris. Kalau ada pun Bahasa Inggeris mereka tidak fasih seperti rata-rata orang di Malaysia. Masalah utama ialah komunikasi lisan kerana kami tidak berupaya berbahasa mandarin dan mereka tiada upaya berbahasa Inggeris.

Tenaga penggerak sekolah ini terdiri dari anak-anak dan cucu-cucu Tn Hj. Shidiqi sendiri. Faktor utama ialah mereka tidak mampu membayar gaji untuk orang lain selain daripada keluarga mereka sendiri yang sanggup menerima bayaran yang rendah untuk melaksanakan tugas dakwah. Di sini juga kami mengumpulkan sedikit derma dan disampaikan kepada pihak pengurusan sekolah yang dikendalikan oleh anak perempuan Hj. Shidiqi sendiri. Walau pun sumbangan kami tidak seberapa, namun kami merasa terpanggil untuk menderma kepada jalan Allah. Begitu gigih mereka menghidupkan syariat Allah di bumi Cina.

Sebaik saja selesai acara di sekolah tersebut, kami meneruskan perjalanan pulang ke Lanzhou dan sampai di Lanzhou jam 3.00 petang. Terus daftar masuk Hotel Ru Hai, hotel yang sama dengan hotel ketika kami sampai di Lanzhou tiga hari yang lalu. Kesempatan yang ada kami berjalan mencari ole-ole untuk dibawa pulang ke Malaysia. Ramai yang gelisah kerana tiada waktu untuk berbelanja. Malamnya kami mengambil teksi dan meminta pemandu teksi menghantar kami ke “Snack Night Market”. Cara berkomunikasi dengan pemandu teksi ialah memberikan secarik kertas yang sudah ditulis destinasi kami oleh pengurus hotel dan untuk pulang nanti kami sudah mengambil beberapa keping kad perniagaan hotel untuk kami tunjukkan alamat hotel kepada pemandu teksi nanti. Komunikasi melalui percakapan langsung tak boleh digunakan. Ramai juga pelajar mengambil kesempatan yang singkat ini untuk ke “Night Market” tersebut walau pun mempunyai risiko sesat, tetapi dengan menggunakan kaedah di atas kemungkinan untuk sesat boleh dikurangkan.

Pada pagi 10 April 2014 kami sudah bersedia untuk menjalankan kerja gotong royong disebuah masjid di tengah-tengah kota Lanzhou selepas sarapan pagi yang biasa. Pagi ini Mr Wong kata ada sarapan yang spesial iaitu “Meat Noodle”, kami minta tambahan telor rebus bagi menambah selera sedikit.

Masjid Nanguan berada betul-betul di tengah kota dan berhampiran dengan “Night Market” yang kami pergi malam tadi. Imamnya bernama Sulaiman dan boleh sedikit berbahasa Arab tetapi tidak fasih. Pelajar-pelajar bergotong royong menyapu ruang masjid tiga tingkat dan membersihkan ruang-ruang kelas yang ada. Kami berada lebih kurang satu jam di masjid berkenaan. Kemudian kami bergerak ke Sekolah Rendah Tshinghua sebelah masjid yang menghimpunkan pelajar dari etnik minoriti seluruh Cina. Pelajar tempatan pun bersekolah di situ, namun pelajar-pelajar dari daerah lain disediakan asrama penginapan untuk mereka. Nampaknya setiap mereka kena berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan tempat di sekolah tersebut. Pelajar USIM membuat aktiviti di kelas dan mendapat sambutan yang meriah daripada pelajar.

Dalam perhimpunan pelajar-pelajar sekolah yang diadakan sekitar jam 12.30 tengahari iaitu waktu mereka akan pulang kami sempat bernyanyi bersama-sama lagu-lagu Malaysia dan lagu-lagu nasyid pujian kepada Rasulullah SAW. Nyanyi ramai-ramai begini sungguh mengashyikkan. Rasa persahabatan Islam yang mendalam dapat dirasakan dalam hati masing-masing.

Selepas aktiviti di sekolah sebelah Masjid Nanguan kami melakukan “shopping” di sekitar kota Lanzhou dan juga di kedai menjual teh yang berbagai jenis. Ramai yang membeli teh di sini. Lepas itu kami makan tengahari dan peserta pergi berbelanja lagi. Saya menunggu di bas bersama dengan pemandu bas selama lebih kurang tiga (3) jam. Kadangkala tertidur dan kadangkala terjaga. Bercampur antara teruja dan bosan. Lepas berbelanja kita solat jamak dan qasar di masjid Nanguan, kemudian makan malam dan pulang ke hotel. Malam itu begitu penat sehingga saya dan isteri hanya ingin berehat saja. Pelajar-pelajar memilih untuk pergi ke “Night Market” sekali lagi, kata mereka hendak cari ole-ole yang belum dapat untuk keluarga dan kawan-kawan di Malaysia.

Pagi 11 April 2012 kami akan menaiki keretapi 21 jam lagi sekali dari Lanzhou ke Chengdu. Terbayang bagaimana lamanya kami akan berada dalam keretapi. Mr Wong memberi arahan agar kami berkumpul di Lobi Hotel Ru Hai tepat jam 6.30 pagi untuk bertolak ke Stesyen Keretapi Lanzhou. Sebelum ke sana kami sarapan pagi biasa iaitu “mee noodle”. Saya membayangkan yang saya dan isteri akan berada dalam sebuah bilik “cubical” keretapi macam dari Chengdu ke Lanzhou. Terkejut besar apabila saya diberitahu yang saya tidak ada bilik sedemikian. Saya terus memberitahu Mr Wong yang saya perlukan sangat sebuah bilik “cubical” dan sanggup bayar untuk mendapatkannya. Kami terus ke kaunter tiket dan bernasib baik mendapat empat tiket untuk “cubical” seperti yang diidamkan, namun dua tiket dalam satu bilik yang sama dan dua lagi dalam bilik yang berasingan. Namun dua tiket lagi dalam bilik berkenaan bukan pelajar USIM tetapi entah siapa.

Timbul persoalan baru bagaimana kami akan bersama dengan orang yang kami tidak kenali dan tidak boleh berkomunikasi langsung. Dua orang pelajar yang saya minta untuk bersama kami dalam satu “cubical” mendapat “cubical” yang lain bersama dengan orang lain yang mereka tidak kenali, entah lelaki atau perempuan. Kebetulan sekali yang akan menjadi pasangan kami itu boleh sedikit berbahasa Inggeris jadi saya memujuk beliau dan pasangannya berpindah ke “cubical” pelajar-pelajar USIM yang dua orang itu dan pelajar USIM berkenaan boleh pindah ke “cubical” kami. Perbincangan saya dengan “kawan baru” saya itu berjaya dan akhirnya selesailah masalah penghuni “cubical” yang semuanya dari USIM. Lain kali kami mesti pastikan yang tiket pergi dan balik ialah tiket untuk “cubical”, kalau tidak keselamatan dan keselesaan tidak terjamin di atas keretapi.

Tepat jam 9.30 pagi keretapi yang kami naiki berlepas menuju ke Chengdu dan akan melalui bandar-bandar kecil dan besar dalam perjalanannya. Kami dapati jadual keretapi diikuti dengan tepat, sama seperti sistem keretapi di Malaysia atau di tempat-tempat lain yang mementingkan ketepatan masa berlepas dan tiba. Kami tiba di Stesyen Keretapi Chengdu tepat jam 7.20 pagi yang memakan masa 22 jam walau pun kata pegawai keretapi yang mundar mandir sepanjang keretapi yang kami akan tiba di Chengdu jam 6.49 pagi. Terlewat lebih kurang satu jam dari jangkaan awal.

Grace yang comel itu sudah menunggu kami di Stesyen Keretapi Chengdu dengan tulisan “USIM” ditangannya. Pemandu pelancong ini boleh berbahasa Inggeris tetapi tidak sepetah Wong yang di Lanzhou. Hampir semua pelajar dan kami suka cara Wong melayani kami. Beliau tidak jemu-jemu melayani kerenah kami yang berbagai.

Pada sangkaan kami, bas akan menuju ke hotel penginapan namun sangkaan kami meleset dan selepas menurunkan pelajar-pelajar yang akan pulang pada 13 April 2014, yang lain semuanya dibawa ke Lapangan Terbang Chengdu untuk penerbangan pulang ke Malaysia walau pun waktu penerbangan masih lama. Terjadi sedikit pertengkaran antara Grace dengan pemandu bas. Walau pun mereka bertengkar dalam Bahasa Mandarin, kami dapat merasakan mereka bertengkar tentang kami. Pemandu ini tidak sedikit pun membantu kami mengangkat beg atau menyusun beg seperti yang dilakukan oleh Feng di Lanzhou.

Kami sampai di Lapangan Terbang Lanzhou jam 9.00 pagi dan penerbangan jam 2.55 petang. Jarak masa yang lama ini kami gunakan untuk pergi ke kamar mandi bagi membersihkan diri yang semalaman dalam keretapi dan tentunya kepenatan. Kaunter tiket akan dibuka jam 12.30 tengahari. Lepaklah kami yang 17 orang ini di beberapa kursi panjang di lapangan terbang sementara menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Ketika kami berbaris di kaunter AirAsia barulah kami tahu bahwa kami tidak dibenarkan memasukkan “powerbank” yang kami beli ke dalam beg yang akan dimasukkan ke dalam kapal terbang, terjadilah proses membongkar beg masing-masing untuk mengeluarkan “powerbank” yang dibeli dan memasukkan ke dalam beg bawaan dalam kabin. Proses daftar masuk agak dilambatkan dengan peraturan yang kami tidak diberitahu lebih awal ini.

Selepas daftar masuk kami segera ke tempat berlepas untuk menaiki kapal terbang dan ternyata ada surau di tempat menunggu dan kami pun secara bergilir-gilir melakukan solat jamak dan qasar zuhur-asar.

Dalam penerbangan ini majoriti penumpang ialah berbangsa Cina. Mungkin juga campuran antara Cina Malaysia dan Cina Tanah Besar yang akan ke Kuala Lumpur. Isteri saya kebetulan berjumpa dan berbual dengan seorang Cina berasal Kelantan. Beliau mengatakan dia sendiri pun tidak begitu faham dengan percakapan orang-orang Cina Tanah Besar, mungkin dialek yang berbeza. Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 Mei 2014.


Thursday 8 May 2014

Fajar Islam Dari Sebelah Timur – Bahagian 2

Keretapi bergerak tepat jam 11.00 pagi seperti dijadualkan dan pada jam 12.00 tengahari kami sampai di Stesyen De Yang. Saya bersandar di dinding bilik sementara menunggu masuknya waktu zuhor jam 1.06 petang. Sesekali saya melayangkan pandangan melewati jendela keretapi melihat pemandangan indah dalam perjalanan. Umi pun sedang bersandar sambil bermain dengan iPad beliau yang pasti dibawa ke mana-mana setiap ketika. Selain untuk mengambil foto, iPad juga digunakan sebagai media komunikasi dengan kawan-kawan melalui fesbuk dan email.

Keretapi berhenti dibanyak tempat dan ada ketika memberi laluan kepada keretapi lain untuk melintas. Sebelum naik Grace berpesan agar kami jangan turun di mana-mana tempat sehinggalah kami sampai di Lanzhou jam 8.30 pagi esoknya. Di Stesyen Lanzhou nanti ada seseorang yang akan menunggu kami dengan kertas bertulis USIM di tangannya. Maklumlah di tempat orang pesan pemandu pelancong perlu sangat diberi perhatian, jika tidak sesat nanti. Jangan berlagak pandai kalau betul-betul tidak tahu.

Faktor yang melambatkan perjalanan ialah keretapi kerap sangat berhenti untuk memberi laluan kepada keretapi lain. Jika ada rel berkembar perjalanan ini sudah pasti akan cepat. Saya dengar berita yang rel berkembar sedang dibangun dan akan siap sekitar tahun 2015 nanti. Jika itu siap perjalanan antara Chengdu dan Lanzhou akan mengambil masa selama empat (4) jam sahaja.

Saya dapati juga keretapi melalui banyak sekali terowong yang ditebuk dengan teknologi canggih Cina. Pembangunan di Cina mengalami kemajuan pesat sejak dua puluh tahun kebelakangan ini. Kini mereka sudah mulai menguasai penyelidikan angkasa lepas dengan berupaya menghantar robot ke bulan. Mungkin banyak lagi ilmu-ilmu lain yang dimiliki oleh Negara Cina yang kita tidak ketahui. Mungkin juga atas alasan itu Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk menuntut ilmu sehingga ke negeri Cina.

Tepat jam 1.10 minit tengahari saya melakukan solat jamak takdim atas kenderaan sehingga selesai. Apabila selesai solat saya membangunkan Umi yang tertidur kerana kepenatan untuk mengerjakan solat jamak takdim. Mungkin sangat penat selepas solat masing-masing tertidur sehingga kami terjaga ketika hari sudah hampir maghrib. Tidak teringat bahwa kami sebenarnya belum makan tengahari. Apa lagi Umi mencari maggie yang beliau simpan dalam salah satu beg kami dan menggunakan paip air panas yang berada di hujung gerabak kami menyiapkan mee maggie. Selera juga kami makan kerana lapar.

Tepat jam 7.28 minit malam masuklah waktu magrib di perjalanan kami, info ini saya dapati melalui aplikasi telefon pintar samsung galaxy S4 yang saya lengkapkan dengan perisian yang berkaitan. Juga melalui aplikasi peta saya dapat mengetahui tempat mana yang kita lalui dan berapa jauh lagi kami akan sampai. Sungguh canggih telefon pintar sekarang ini dengan berbagai aplikasi.

Selesai melakukan solat jamak takdim Magrib – Isya kami menyiapkan diri untuk tidur. Perut masih kenyang kerana sebelum solat Magrib tadi kami sudah mengisi perut dengan mee maggie. Keretapi bergoyang seperti dalam buaian yang membuat kami dalam waktu yang tidak berapa lama tertidur walau pun deruan keretapi yang bingit dan semboyang keras keretapi yang melintas.

Seperti biasa dan adat orang tua, tidurnya tidak lama dan tidak selena mana. Terjagalah saya sekitar jam 4.00 pagi dan selepas membuat semakan melalui “Geographical Positioning System (GPS)” saya mendapat maklumat bahwa suboh masuk jam 5.11 pagi di suatu daerah yang akan kami lalui iaitu di Dingxi dengan jarak perjalanan ke Lanzhou sekitar 2 jam dengan keretapi. Saya segera ke bilik air untuk berwudhu sementara menunggu masuknya waktu subuh.

Terasa lega sangat selepas dapat melaksanakan solat subuh tepat jam 5.11 pagi. Umi saya bangunkan untuk solat subuh dan ambil menunggu sampai di Lanzhou jam 8.30 pagi kami membuat sarapan ringkas berupa roti kering yang kami bawa dan nescafe. Kami minum satu cawan berdua bagi memudahkan urusan. Lagi pun ini hanya untuk melapik perut saja.

Tepat jam 8.30 pagi pada 7 April 2014 kami selamat sampai di Lanzhou dan di hujung sana sudah menunggu pemandu pelancong kami dengan kertas bertulis USIM seperti dijanjikan. Nama pemandu pelancong kami ialah Wong. Profesinya peguam dan sekarang sedang membuat program master dalam bidang yang sama di Western University Lanzhou. Beliau fasih berbahasa Inggeris dan tentunya fasih berbahasa Mandarin. Umurnya masih cukup muda iaitu 24 tahun. Suatu pakej lengkap seorang pemandu pelancong yang kami perlukan. Menurutnya umur minimum kawin bagi seorang lelaki di Cina ialah 22 tahun dan wanita 20 tahun. Ketika ditanya kenapa beliau belum kawin. Katanya belum ada kawan wanita. Tentunya saya sangat tidak yakin memandangkan beliau seorang yang hensem dan peramah. Tentu ada sebab lain kenapa beliau belum kawin. Hal kenapa itu tidak beliau ceritakan kepada kami. Mungkin itu hak peribadi beliau untuk berbuat demikian.

Wong membawa kami dengan bas yang sudah disediakan ke restoran muslim sekitar hotel. Kami pun memenuhi ruang restoran tersebut dan hanya ada satu menu saja iaitu sup “noodle” atau mee sup, sama seperti di Chengdu pada hari pertama kami sampai. Rupanya itulah kebiasaan mereka. Samalah dengan di Malaysia kita biasa makan Nasi Lemak atau Roti Canai untuk sarapan pagi. Di Cina hanya sup mee tanpa air kerana kuahnya sudah cukup sebagai air dimakan diminum panas-panas agar kedinginan pagi terhapus dengannya. Logik juga. Penduduk Lanzhou sekitar 2 juta orang sementara penduduk Chengdu seramai lebih 20 juta manusia.

Selesai sarapan kami menaiki semula bas untuk ke hotel yang jaraknya dengan steysen keretapi Lanzhou ialah sekitar 5 kilometer. Jam 12.00 tengahari kami diarah berkumpul di Lobi Hotel Ru Hai, Lanzhou. Sempatlah kami daftar masuk hotel, mandi dan berehat sebentar. Pemandu bas kami di Lanzhou ialah Mr. Feng, dialah yang mengangkat beg dan menyusun beg-beg kami ke dalam bas dengan susunan yang kemas. Sebelum jam 12.00 tengahari Wong sudah berada di Lobi Hotel dan meminta kami semua memasuki bas yang sudah tersedia di luar hotel.

Hotel yang sedang dibaiki ini agak berhabuk dan kami terpaksa menerima keadaan ini. Acara pertama ialah makan siang, kemudian melawat Jambatan Besi Zhongshan (Zhongshan Steel Bridge) yang mengikat secara tegaklurus kedua-dua tebing Sungai Kuning (Yellow River). Jambatan ini hanya untuk lalu lalang orang sahaja, tiada kenderaan dibenarkan mengguna jambatan ini untuk menyeberang. Kemudian kami melawat Taman Kincir Air (Water-Wheel Park) dan Masjid Jame Xiguan di Lanzhou.

Kami hanya sebentar di Taman Kincir Air kerana tidak ada apa-apa yang boleh dilihat selain daripada binaan kincir air yang besar yang digunakan untuk mengalihkan air dari sebuah sungai ke sebuah terusan untuk tujuan pertanian. Dalam buku geografi dan sejarah banyak diceritakan tentang hal ini. Kami hanya berada di Taman Kincir Air selama 30 minit dan kemudian bergerak ke Masjid Jame Xiguan.

Di Masjid Jamik Xiguan ini kami sempat Solat Asar berjamaah dengan penduduk tempatan yang mengamalkan Mazhab Hanafi. Kemudian kami menjamak dan mengqasarkan solat zuhor kami selepas solat asar tamam itu. Kemudian kami diajak melawat Pusat Didikan Kanak, seperti Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di Malaysia. Taman ini berada di sebelah masjid dan di bahagian bawah masjid. Lengkap dengan tempat rehat pelajar pada waktu tengahari dan dilengkapi juga dengan dapur memasak makanan pelajar. Peralatan yang disediakan lengkap dan sesuai dengan alam pembelajaran kanak-kanak. Sempat bertemu dengan Imam dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid. Juga, masjid ini dilengkapi dengan kelas pengajian menengah dan dewasa. Menurut Imam dan beberapa AJK Masjid, orang-orang Cina Islam rata-rata lebih kaya daripada orang-orang Cina yang bukan Islam.

Kami singgah makan malam sebelum balik ke hotel penginapan. Makan malam atau pun makan siang, lauk pauknya agak mewah. Nasinya yang diberikan kemudian agak sedikit kuantitinya. Ini sama dengan cara atau adat orang-orang Cina di Malaysia makan. Mereka lebih banyak makan sayur dan lauk daripada banyak makan nasi. Mungkin sebab itu jarang sangat berjumpa dengan orang Cina yang gemuk-gemuk macam di Malaysia. Selepas balik ke hotel, pelajar-pelajar berbincang sesama mereka mengenai kegiatan seterusnya.

Pada pagi 8 April 2014, kami diminta bersiap-siap daftar keluar dari hotel untuk ke sebuah bandar bernama Linxia yang 80% penduduknya beragama Islam. Bandar Linxia digelar sebagai “The Little Mecca of China”. Jam 9.00 pagi Wong sudah membawa kami sarapan pagi di sebuah Restoran Muslim yang berdekatan dengan Hotel Ru Hai dan tepat jam 9.30 pagi bas kami bergerak menuju Linxia.

Dalam bahagian 3 dan terakhir, saya akan ceritakan pengalaman kami melaksanakan misi “Global Islamic Students Outreach (GISO)” di Linxia, tempat utama sasaran kami.

***** Bersambung *****

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 Mei 2014.


Saturday 3 May 2014

Fajar Islam Dari Sebelah Timur – Bahagian 1

Pada 4 hingga 13 April 2014 serombongan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan seorang pengiring telah melawat Linxia yang disifatkan sebagai “The Little Mecca of China”. Terkesima kami dengan bandar yang berpenduduk 1.5 juta manusia, dengan 80% penduduknya beragama Islam bermazhab Hanafi. Tinggal lagi 300,000 penduduknya yang belum menerima Islam. Terdapat lebih daripada 40,000 buah masjid di dalam Bandar Linxia yang bersih dan teratur. Di mana-mana kami dapati Restoran Muslim yang papan tandanya berwarna hijau bertulisan karakter Cina disertakan dengan tulisan jawi perkataan halal. Mereka masih mengekalkan tradisi adat istiadat Cina, namun agamanya ialah Islam.

Kapal terbang AirAsia X dengan kod penerbangan D7326 mendarat di Chengdu pada 4 April 2014 jam 10.05 malam setelah berlepas dari terminal tambang murah LCCT, Sepang pada jam 6.20 petang waktu Malaysia. Pesawat Air Bus 330 – 300 dengan kapasiti melebihi 400 orang meluncur melebihi 40,000 kaki di atas paras laut. Penerbangan Sepang ke Chengdu mengambil masa 4 jam dengan kelanjuan purata 880 km per jam. Lebih daripada 90% penumpang bersama kami terdiri dari warga Cina. Mungkin campuran antara Cina Malaysia dengan Cina Tanah Besar. Waktu di Chengdu adalah sama dengan waktu di Malaysia. Cuaca di Chengdu ketika itu ialah 18 darjah celcius.

Setibanya kami di Lapangan Terbang Chengdu pihak imigresen bertanya untuk apa kami ke sini dan sebagainya. Mulanya kami rasa curiga dengan sambutan yang sedemikian sementelah pula sedang kemuncaknya persoalan kehilangan pesawat MH370. Lantas saya terus memberikan nombor telefon bimbit Yi Ying yang ditugaskan menyambut kami di Lapangan Terbang Chengdu. Setelah pegawai tinggi imigresen bercakap dengan Yi Ying beberapa saat kami dibenarkan keluar dari pintu imigresen menuju ke bas yang sedang menunggu untuk membawa kami ke hotel penginapan. Mungkin ada baiknya rombongan membawa surat tujuan lawatan yang ditulis dalam Bahasa Mandarin dan Inggeris untuk tujuan imigresen. Selepas pemeriksaan imigresen kelihatan Yi Ying menunggu kami dengan placard bertulis “USIM”.

Sejam kemudian kami tiba di Hotel Kaibin yang terletak di tengah-tengah Kota Chengdu dan terus mendaftar masuk untuk berehat. Cuaca yang sejuk di Chengdu membuat kami cepat-cepat bergerak menuju ke bilik masing-masing untuk melepaskan penat lelah penerbangan dan kekhuatiran tentang kemarahan penduduk Cina dengan kehilangan pesawat MH370 yang hingga pada masa itu belum diketahui nasibnya. Kami disediakan empat (4) bilik untuk saya dan isteri, dua bilik untuk pelajar perempuan dan satu bilik untuk pelajar lelaki. Kami sembilan orang yang tiba awal dan baki rombongan seramai 17 orang akan tiba keesokan harinya.

Pada pagi 5 April 2014, saya cuba menghubungi bahagian pertanyaan hotel mengenai tempat sarapan pagi, tapi tidak boleh berkomunikasi kerana saya tidak pandai Bahasa Mandarin dan penerima telefon tidak tahu sepatah pun Bahasa Inggeris. Saya ingat Yi Yang menyatakan bahwa sarapan di Tingkat 11. Jadi saya pun ke sana dan mendapati yang tidak ragu dimakan hanyalah telur rebus, saya dan isteri mengambil dua biji telur seorang untuk sarapan pagi dengan mee maggie yang kami bawa bersama dari Malaysia.

Biasanya makan nasi lemak atau roti sebagai sarapan, jadi jam 10.00 pagi kami mula merayau di sekitar hotel kalau-kalau ada restoran halal yang boleh kami singgah untuk mengisi perut. Setelah mencari ternampak tulisan halal dalam tulisan Arab, jadi apa lagi kami pun serbu masuk dan minta apa makanan yang ada.

Mungkin masih teringat dengan nasi dan lauk pauk di Malaysia, jadi kami pesan nasi puteh dan lauk ayam masak kari ala “tomyam” campur kentang. Masakan mereka tidak pedas seperti masakan Malaysia. Puas juga makan kerana lapar dalam cuaca dingin minus satu darjah selsius. Saya belanja makan pelajar-pelajar saya yang semua berjumlah sembilan orang termasuk saya dan isteri. Harganya Cuma 118 yuan untuk sembilan orang makan atau sekitar RM59.00. Lumayan murahnya fikirku.

Biasanya di Cina, sarapan yang paling terkenal ialah mee sup yang panas-panas atau mee goreng. Mee biasanya mereka buat sendiri di depan kedai dan kami dapat lihat bagaimana mereka membuat mee daripada tepung yang diuli dan kemudian diproses dengan tangan juga menjadi benang mee yang panjang. Selepas mee itu agak halus dan tidak boleh dikecilkan lagi si pembuat mee akan memasukkan mee ke dalam periuk masak yang sudah menggelegak airnya untuk merebus mee.

Mee yang sudah direbus akan dimasukkan ke dalam mangkuk dan masukkan kuah dan perencah sayur yang dihiris kecil-kecil, kemudian dimasukkan perencah pedas seperti lada hitam, saya tidak tahu pasti nama sebenar perencah pedas tersebut. Kami belum cuba makan tetapi pasti akan kami temui setiap hari kemudian.

Katanya mee sup itu rasanya pedas tapi tidak menyakitkan. Selepas makan rasa lidah seperti “peda” kata orang Baling, tempat kelahiran saya. Mungkin di tempat lain disebut pahit atau istilah lain yang sesuai. Kata yang biasa makan makanan begini mereka akan buang air besar beberapa ketika selepas itu. Rupanya ianya melawaskan pembuangan air besar, sebab itu kami jarang berjumpa dengan orang Cina yang gemuk-gemuk kerana makanan mereka seperti itu.

Kemudian kami berjalan pulang ke Kaibin Hotel dalam hujan renyai-renyai. Kedinginan pagi minus satu darjah membuat badan menggigil bagi melawan cuaca sejuk begitu. Kami berehat di bilik masing-masing sambil menunggu rombongan 17 orang lagi yang akan sampai tengah hari ini.

Jam 3.00 petang kumpulan kedua yang terdiri dari 17 orang pelajar sampai di Chengdu, maka lengkaplah ahli rombongan kami seramai 26 orang menunggu untuk ke Lanzhou (baca Lanzhu) dan seterusnya ke Linxia, tempat aktiviti utama yang akan kami lakukan di sana. Setelah semua pelajar yang baru sampai itu berehat sebentar, kami keluar makan dan ingin mencuba tempat lain pula. Jika pada pagi 5 April 2014 kami menaiki tangga untuk ke seberang, kali ini kami memilih untuk terus dan belok kiri. Rupa-rupanya terdapat banyak restoran halal yang dikendalikan oleh peniaga Cina Islam dengan ciri kedai mempunyai papan tanda hijau bertulisan karakter Cina dan ada logo halal dalam tulisan jawi.

Pilihan makanan mengikut selera masing-masing. Ada yang makan mee sup, nasi dan mee goreng. Nasi dengan kari daging dengan kentang ala tomyam sangat digemari pelajar kerana ada sedikit persamaan dengan makanan di Malaysia walau pun kurang pedas. Lepas makan kami membeli buah di kedai berhampiran sebelum balik ke hotel untuk berehat sebelum berangkat ke Lanzhou esok sekitar jam 11.00 pagi.

Pada pagi 6 April 2014 jam 9.00 pagi kami keluar hotel dan menaiki bas menuju ke Stesyen Keretapi Chengdu untuk ke Lanzhou. Perjalanan akan memakan masa sekitar dua puluh satu (21) jam untuk jarak sekitar seribu (1000) kilometer. Mungkin sejauh jarak antara Johor Bahru ke Kangar. Saya dan isteri belum pernah menaiki keretapi dalam jangka masa selama itu. Diperkirakan kami akan sampai di Lanzhou sekitar jam 8.30 pagi Isnin tanggal 7 April 2014. Menurut pengatur program He Ping, Saudara Musa akan menunggu kami di Stesyen Keretapi Lanzhou. Beliau akan memegang kertas yang tertera nama USIM sebagai cara pengenalan.

Di Stesyen Keretapi Chengdu kami diturunkan kira-kira dalam jarak 500 meter dari stesyen dan timbul masalah barang yang nak dibawa ke Lanzhou. Oleh kerana terlalu banyak dan tidak upaya diangkat oleh pelajar ke dalam keretapi, maka barangan itu dikirim secara kargo melalui keretapi yang sama tetapi urusannya mengambil masa hampir setengah jam. Kumpulan kami tersadai setengah jam di jalan raya tempat kami diturunkan tadi.

Apabila urusan kiriman barangan selesai masa tinggal kira-kira 45 minit lagi keretapi akan bergerak. Tergesa-gesalah masing-masing membawa barangan sendiri untuk naik kereta api. Nasib baik Grace masih bersama kami untuk bercakap dengan penjaga pintu masuk dan juga sewaktu barangan kami diimbas. Tercocoh-cocoh kami mencari landasan keretapi untuk dinaiki. Pertama kami terpaksa menaiki tangga setinggi 20 kaki dan kemudian melintasi landasan dan turun semula tangga setinggi 20 kaki untuk ke landasan keretapi untuk memasuki gerabak. Penat, tetapi terpaksa diteruskan juga kerana waktu yang terbatas. “Rehat dalam keretapi saja nanti”, pujuk hatiku.

Saya dan isteri membawa tiga beg besar dan satu “backpack” yang saya galas dibahu ke arah belakang. Kedua-dua tangan saya mendorong beg besar sementara Umi mendorong satu lagi beg yang agak kecil. Kesian Umi. Tentunya dia juga penat. Pelajar-pelajar lain terus memburu tempat duduk masing-masing di gerabak lain dengan tempo yang cepat. Saya dan Umi menaiki gerabak nombor 10 bersama dengan dua orang pelajar wanita USIM. Kami mendapat bilik nombor 5 dalam gerabak nombor 10 tersebut.

Tiap orang dalam bilik atau “cubical” dikenakan bayaran sebanyak 485 yuan seorang dari Chengdu ke Lanzhou bagi satu perjalanan, sementara tiap orang dalam bilik di luar yang menempatkan 6 orang, hanya perlu membayar 285 yuan sahaja. Dalam bilik ada empat katil berbanding dengan bilik-bilik di luar gerabak nombor 10 yang memuat enam katil atau pun dua set katil bertingkat tiga atau “triple decker”. Bilik mereka hanya dipisahkan oleh dinding sementara bilik kami dilengkapi dengan pintu yang boleh dikunci dari dalam.

“Benar. Kami dapat berehat dengan tenang selama perjalanan 21 jam ini”, bisikku dalam hati dan merasa lega dengan kedudukan ini. Ketika naik tiket kertas kami ditukar dengan tiket plastik yang kemudian apabila akan turun ditukar kembali ke tiket kertas kepunyaan kami. Pada hujung gerabak ada paip air panas yang boleh kami gunakan untuk membancuh kopi dan pada hujung satu lagi ada kafetaria. Kedua-dua hujung gerabak ada kamar kecil untuk buang air kecil dan besar tetapi agak kotor dan terpaksa membawa botol kosong sendiri kerana kedudukan paip yang tinggi dan tiada paip sambungan untuk urusan membersihkan kotoran seperti keadaan kita di Malaysia di mana setiap bilik air ada baldi air yang mudah kita capai untuk membersihkan diri selepas menyelesaikan hajat kita itu.

Dalam bahagian berikutnya, akan saya ceritakan pengalaman kami menempuh perjalanan selama 21 jam dalam keretapi dari Chengdu ke Lanzhou.

**** bersambung *****

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 Mei 2014.