Thursday 13 June 2013

Jauh tetapi dekat - Sebuah perjalanan ke Romania

Pada 6 Jun 2013 jam 8.50 malam waktu tempatan Bucharest kami tiba dari Istanbul dengan “Turkish Airline”. Perjalanan sejauh 457 kilometer itu ditempoh pesawat “Turkish Airline” dalam masa 1 jam 25 minit. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Henri Cuanda, Bucharest telah menunggu Dato Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad, Duta Besar Malaysia ke Romania, Greece dan Bulgaria untuk menjemput kami ke kediaman resmi beliau.

Jarak antara Kuala Lumpur dan Bucharest ialah lebih kurang 11,707 km. Perjalanan dengan pesawat terbang “Air Bus” atau “Boeing” akan mengambil masa antara 11 hingga 12 jam, oleh kerana tidak ada penerbangan terus ke Bucharest dari Kuala Lumpur, kita boleh mengambil Istanbul sebagai destinasi pertama, kemudian baru ke Bucharest. Boleh juga kita mengambil lapangan terbang lain di Eropa seperti Paris, Amsterdam dan lain-lain sebelum ke Bucharest. Perjalanan melalui jalan darat dianggarkan mengambil masa selama 159 jam dengan kelajuan sederhana dan hanya digalakkan bagi yang berhati besar saja.

Walau pun kami jarang bertemu dengan Dato Nik Mustafa Kamal dan Datin Siti Fatimah Karim serta keluarga, namun terasa sekali keakraban mereka menyambut kami seperti sudah lama kenal. Lawatan selama empat (4) hari ke Bucharest itu berlalu begitu cepat sekali. Tidak terasa sangat kami berada sejauh lebih daripada 11,000 km dari Malaysia, terutama sekali apabila mendapat santapan nasi lemak dan roti canai buatan Datin Siti Fatimah sendiri.

Dato Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad ialah sepupu dengan menantu kedua kami, iaitu Nik Sahazeman Nik Abdul Majid, suami kepada ananda kami Rina Fadhila Ismail. Lawatan ini sekaligus mempereratkan silaturahim keluarga yang jauh tetapi dekat.

Di perkarangan rumah Dato kami boleh memetik sendiri buah cherry yang berbuah lebat dan sangat enak dimakan begitu saja. Musim panas (summer) di Romania cuacanya sangat nyaman, kadang-kadang panas terik, tetapi sejuk apabila tiupan angin menerpa muka yang tidak berbalut.

Perjalanan kami ke Constanta dan Tucea keesokan harinya sangat teruja dengan ladang gandum sejauh mata memandang. Terdapat kincir angin dipasang di merata kawasan luas tanaman gandum bagi memerangkap angin yang akan menghasilkan tenaga letrik. Beberapa panel suria juga dijumpai di beberapa tempat bagi tujuan yang sama. Ucapan “subhanallah” tidak putus-putus keluar dari mulut saya dan isteri apabila melihat alam Allah yang begitu luas dan berwarna warni. Warna yang berbagai mengikut tanaman yang ditanam seperti gandum, jagung dan lain-lain.

Di Constanta (sebutan orang tempatan ialah Constanza), saya dan Dato Nik dapat bersolat Jumaat di Masjid Hunchiar bersama masyarakat tempatan yang beragama Islam, kebanyakannya berasal dari Turki. Sebelum solat Jumaat, kami sempat makan tengahari di sebuah Restoran Turki dengan menu ala Turki. Selepas solat Jumaat, kami meneruskan perjalanan ke Tucea dan melihat dari dekat Sungai Danube yang merentas sebahagian besar Eropah. Salah satu cara pengangkutan yang utama di Eropah ialah melalui sungai yang belum kenal dengan istilah “jam” kerana sungai yang terbentang luas dan air yang dalam. Oleh kerana sungai menjadi salah satu cara pengangkutan, sungai-sungai di Eropah dirawat dan dijaga jaga dengan baik. Macam mana kalau kita jadikan sungai-sungai yang luas di Sabah dan Serawak sebagai salah satu cara pengangkutan yang mungkin tidak kenal “jam” seperti yang dialami oleh pengangkutan darat di mana-mana di dunia.

Dalam perjalanan pulang dan waktu hampir senja, kereta yang kami naiki terlanggar anjing yang tiba-tiba melintas jalan. Radiator kereta bocor dan perjalanan terhenti di suatu tempat yang namanya Malu (aneh ya?). Sementara menunggu ketibaan kereta tarik, kami singgah di sebuah restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam dan sempat berkenalan dengan seorang janda muda beranak dua bernama Morari Morinela, isteri saya sempat berfoto dengannya dan terus masuk fesbuk. Sejak itu kami berkenalan dengan Morari dan mengetahui nama tempat itu ialah Malu.

Setelah menunggu selama 3 jam barulah kereta tarik itu sampai dan buat pertama kali kereta kami menaiki kereta tarik dan kami berempat berada di dalam kereta Duta. Pemandu kereta Duta berada bersama pemandu kereta tarik.

Tiba di penginapan sekitar jam 1.00 pagi waktu tempatan dan terlalu letih dan setelah solat jamak kami pun hilanh dibuai mimpi.

Hari terakhir kami ditemani Putri Aulia untuk ke kompleks membeli belah dan barulah kami tahu yang duit Romania dengan duit kita hampir sama. Inilah yang dikatakan “jauh tetapi dekat” kerana berbelanja seperti di Malaysia dan harganya agak lebih murah berbanding dengan di Malaysia. Di Turki kami agak takut berbelanja kerana wang Turki dua setengah kali ganda mahal berbanding dengan wang Malaysia, wang Turki hampir menyamai wang Singapura.

Itulah sekelumit kisah kami di Romania, cerita di Turki akan dimuatkan dalam kisah travelog yang lain pula.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 13 Jun 2013.


No comments:

Post a Comment