Saturday 4 October 2014

Yogyakarta Menjelmakan Sebuah Nostalgia Segar

Yogyakarta hampir sinonim dengan Malioboro. Pertama kali orang bertemu dan berbicara mengenai Yogyakarta mereka pasti akan menyentuh mengenai ramainya manusia di Jalan Malioboro. Meredah lautan manusia agak sukar, kadang-kadang terpaksa berhenti sebentar memberi laluan kepada manusia lain. Berkunjung ke Yogyakarta merasa tidak sah kalau tidak mampir atau singgah di Jalan Malioboro. Selain ramainya manusia mengerumuni kedua-dua jalur jalan sehala Malioboro, banyak juga hotel-hotel murah berada di kiri kanan Jalan Malioboro. Harga bilik hotel adalah antara 250,000 hingga 370,000 rupiah semalam. Kalau ditukar kepada ringgit Malaysia harga sebuah kamar hotel tersebut ialah antara RM77 hingga RM114. Cukup murah bagi wisatawan kelas menengah dan rendah.

Yogyakarta sudah jauh maju berbanding kali pertama kami menjejakkan kaki di bumi bertuah ini pada tahun 1972. Ketika itu kami serombongan pelajar dari Bandung berkunjung ke Yogyakarta bagi acara sukan pelajar Malaysia sepulau Jawa. Ketika itu kami bernaung di bawah Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI). Tiba tiba nostalgia segar bangkit kembali apabila dalam kunjungan kali ini saya dan kawan-kawan Persatuan Alumni Perguruan Tinggi Indonesia (PAPTI) mengundang beberapa pelajar Malaysia di Yogyakarta untuk makan malam bersama. Imbauan nostalgia tahun tujuh puluhan hidup kembali. Walau pun kini Yogyakarta semakin panas dengan bertambahnya manusia dan kenderaan, namun masih terasa juga kesejukan Yogyakarta pada waktu pagi, namun tidak lagi sesejuk kaliurang pada tahun tujuh puluhan.

Kami memilih untuk makan di Warung Bu Ageng di Jalan Tirtodipuran No 13, Mantrujer, Yogyakarta. Sejumlah 13 orang pelajar hadir bersama dengan 6 orang ahli PAPTI. Kami bertukar-tukar berita dan saya mengambil kesempatan untuk mempromosi PAPTI kepada pelajar-pelajar tersebut yang rata-rata tidak pun mengetahui kewujudan PAPTI. Terdapat sekitar 250 orang pelajar Malaysia. Kami mendapat informasi daripada pelajar bahwa terdapat sekitar 600 pelajar Malaysia di Bandung dan 1,200 pelajar Malaysia di Medan. Kebanyakan pelajar mengambil bidang perubatan, pergigian dan farmasi. Melalui biasiswa RM1,200 sebulan pelajar Malaysia di Indonesia boleh hidup lumayan dengan pembantu rumah dua orang, namun mereka memilih untuk berdikari dengan masak, mencuci rumah dan kerja-kerja rumah yang lain secara bergilir-gilir. Suatu sifat yang terpuji dan belajar untuk berdikari.

Ismail Abdullah, Yogyakarta, 13 September 2014.


No comments:

Post a Comment