Thursday 11 August 2011

Kenduri kawin Alvy dan Murni di Phnom Penh


Hanya diberitahu seminggu sebelum berangkat untuk menghadiri majlis perkahwinan Alvy dan Murni di Pnom Penh pada 25 hingga 28 Mac 2011. Nasib baik paspot masih berlaku dan segera kami cari tiket ke Phnom Penh.

Foto 1 : Alvy dan Murni

Fatimah Murni Binti Ateman, nama lengkap pengantin perempuan cantik yang kuliah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak. Murni, panggilan ringkas bertemu Alvy juga seorang mahasiswa Islam Kemboja yang melanjutkan pelajarannya di university yang sama. Asam di darat dan garam dilaut, dalam kuali mereka bertemu, itulah metafora tepat bagi jalinan Murni dan Alvy. Itulah namanya jodoh. Murni dan Alvy saling jatuh cinta. Bertuah betul Murni mendapat Alvy, pemudanya hensem dan kaya lagi.

Foto 2 : Alvy dan Murni
 
Mereka sudah menikah dan bersanding di Kuala Terengganu sebelum sambutan di Phnom Penh diadakan. Di Phnom Penh diadakan sambutan dua hari, hari pertama di hadiri oleh pembesar Kamboja dan hari kedua oleh keluarga dan orang awam. Meriah sekali sambutan di kedua-dua hari berturut-turut itu. Tugasan kami hanya menyaksikan peristiwa itu berlaku sebab semua kerja sudah ada yang buat. Sudah dikontrakan majlis ini kepada pengusaha-usaha berkaitan. Saya buat kerja tambahan iaitu jadi tukang mengambil gambar dengan kamera sendiri dan gambar-gambar jadi koleksi sendiri saja sebagai kenang-kenangan.

Foto 3 : Umi dan Juruacara Majlis
 
Juru acara juga yang cantik dan hensem dari sebuah TV dan radio tempat. Kami sertakan foto pasangan juru acara majlis tersebut (Foto 3). Majlis diiringi gema nasyid yang dibawakan dari Terengganu (Foto 8) kerana ayah Alvy tertarik dengan persembahan mereka waktu majlis di Terengganu dan terus memesan untuk majlis di Kemboja.

Foto 4 : Van yang digunakan
 
Sebuah van dan seorang pemandu disediakan untuk membawa kami ke mana-mana dan bila masa saja yang diperlukan. Waktu makan memang dijaga dan kami makan di Restoran kepunyaan ayah Alvy, Dato Othman. Menginap pun di hotel yang ayah Alvy mempunyai saham di dalamnya. Hotel Puncak ini dimiliki bersama antara Puncak Niaga, bisnes dari Malaysia dan ayah kepada Alvy. Dato Othman ialah seorang usahawan Muslim berjaya di Phnom Penh.

Dua tempat membeli belah utama di Pnom Penh ialah “Central Market” dan “Russian Market”. Kedua-dua tempat ini kami lawati. Di “Central Market”, yang diserbu pengunjung ialah batu pertama. Di sini saya berjumpa dengan seorang penjual muslim yang namanya Mustafa Saplavy. Ayah orang Melayu Malaysia dan ibu orang Kemboja. Katanya ayah tinggal di Klang dan ibu di Phnom Penh, ayah buka bisnes di Malaysia dan sering datang ke Phnom Penh menjengok keluarga.

Sementara isteri menjamu mata di ruangan batu permata, saya mencuri masa ke kedai-kedai buku sekitar Pasar Sentral. Banyak buku-buku dalam Bahasa Inggeris dan menceritakan tentang perang di Kemboja.

Di Pasar Rusia pula konsepnya agak berbeza kerana di situ banyak dijual hasil kraftangan Kemboja. Ada lukisan, barangan alat ganti kenderaan, segala jenis baju dari kaos kaki, singlet dan lain-lain pakaian. Keset filem, lagu dan rakaman national geography dan lain-lain turut dijual, mungkin cetak rompak rasanya.

Foto 5 : Kami bersama Pemandu
 
Pemandu (foto 5) sungguh setia menunggu kami berbelanja dan membawa kami ke mana-mana yang kami minta. Selepas puas di Pasar Rusia kami ajak pemandu ke “Killing Fields” tempat Polpot membantai rakyat Kemboja yang enggan masuk komunis. Loya rasanya bila melihat himpunan tengkorak dalam ruang kaca di muzium “Killing Fields” itu.

Geram dan tak berhati perut betul Polpot. Ambil nyawa rakyat Kemboja sesuka hati. Kami dibawa berjalan keliling medan pembantaian dan ditunjukkan tempat-tempat orang yang kena tuduh dibunuh, kanak-kanak dianiaya dan berbagai kejahatan lain. Kesan-kesannya masih dapat dilihat hingga kini dan menjadi atraksi pelawat yang datang dari pelbagai pelosok dunia.

Bila melihat ini, saya terus teringat peristiwa “Lubang Buaya” di Jakarta, tempat beberapa jeneral tentera Indonesia disiksa komunis semasa Gestapo 30 September 1965 (G30S). Ganasnya tidak jauh beza kerana ideologi yang sama. Mustafa Seplavy, teman saya penjual barangan ukiran perak di Pasar Sentral pernah menceritakan peritnya hidup kerana terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain masa perang. Tidur, makan dan rehat sudah tentu tidak terurus. Malah kehidupan kekeluarga menjadi berantakan. Saya membeli sebuah buku yang menceritakan kisah perang di Kemboja sebagai koleksi buku kembara.

 Foto 6 : Ibu dan Ayah Alvy

Foto 7: Ibu dan Ayah Murni
Semua ahli rombongan adalah dari Besut, Terengganu keluarga Murni. Ada ayah dan ibunya, PakCiknya, Atok saudaranya. Hanya saya dan isteri dari Selangor. Kami berkenalan rapat melalui acara ini. Menantu ketiga kami, Wan Muzlina Wan Mustafa ada sangkutan saudara dengan Murni. Peluang ikutserta diperolehi secara indirect melalui Muzlina. Betul juga kata ibuku yang aku mempunyai tahi lalat di kaki yang menunjukkan aku suka berjalan. Tidak kepalang berjalan kerana perjalanan ku selalunya jauh-jauh belaka. Rezeki, katakan. Catitan perjalanan yang lain akan saya ceritakan dalam tulisan yang lain.

Foto 8 : Kumpulan Nasyid dari Kuala Terengganu
  
Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment