Thursday 11 August 2011

Lawatan Kerja ke Hanoi 20 – 24 Okt 2003


Empat orang kami mewakili Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia dalam lawatan kerja ke Hanoi pada 20 hingga 24 Oktober 2003. Prof Dr Kamel Ariffin Mohd Atan, Prof Dr Abdul Halim Shaari, Dr Mohd Rashdan Mohd Said dan saya telah ke sana untuk melihat perkembangan matematik di Vietnam secara lebih dekat.

Prof Dr Kamel Ariffin Mohd Atan ialah Pengarah INSPEM, Prof Dr Halim Shaari ialah Timbalan Pengarah, Dr Mohd Rashdan Mohd Said ialah Ketua Laboratory Matematik Tulen dan saya ketika itu ialah Ketua Laboratori Sains Bermatematik.

Kemajuan pesat matematik Vietnam dapat dirasakan dengan adanya pakar-pakar matematik dalam pelbagai bidang matematik. Dalam Olimpiad Matematik Antarabangsa, Vietnam berada pada ranking ke-31 daripada 90 buah negera yang mengambil bahagian dalam Olimpiad Matematik Antarabangsa ke-52 yang diadakan di Belanda pada 23 Julai 2011.

Negara Cina pertama, Amerika Syarikat kedua dan Singapura ke-3. Empat daripada lima orang dalam pasukan Vietnam telah memenangi 18 pingat dan satu sijil kepujian, satu pingat emas dalam Fizik, empat prak dalam Fizik dan Kimia dan 13 gangsa dalam pertandingan di atas. Olimpiad Matematik Antarabangsa ke-53 dijangka diadakan di Argentina pada tahun 2012.

Sejarah Malaysia dalam pertandingan matematik dunia tidak begitu cemerlang. Pada tahun 1995, Malaysia berada ditangga ke 72 daripada 73 negara yang mengambil bahagian. Pada tahun 2001, Malaysia berada pada kedudukan 59 daripada 83 negara yang mengambil bahagian. Barulah pada tahun 2008, pencapaian Malaysia berada pada ranking ke-55 daripada 93 buah Negara yang bertanding. Tren peningkatan ini diharap akan berterusan.

Kami diberitahu bahwa route kami ke Hanoi telah bertukar dari skedul asal. Perjalanan sekarang akan singgah di Bangkok dan meneruskan perjalanan ke Hanoi setelah singgah sebentar di Bangkok. Bagi menyedapkan hati kami, pihak MAS telah menaiktaraf tiket kami ke kelas perniagaan tanpa tambahan bayaran. Penerbangan dari KLIA ke Bangkok mengambil masa 1 jam 40 minit dan dengan menaiki pesawat Air France AF172 kami hanya mengambil masa 50 minit untuk sampai ke Hanoi dari Bangkok. Tukaran wang pada masa itu ialah USD24 sama dengan 950 bhats.

Perbezaan waktu Vietnam dengan Malaysia ialah 1 jam, iaitu Malaysia lambat 1 jam. Ini bermakna waktu di Vietnam sama dengan waktu di Indonesia bahagian Barat. Tukaran wang di Vietnam ialah 15,000 Dong bagi setiap 1USD. Setibanya kami di Hanoi, kami ditempatkan di Hotel Trade bertaraf 3 bintang. Pada 21 Oktober 2003, secara resmi bermulalah lawatan kami ke Vietnam dengan jadual pertama melawat Institute of Mathematics pada jam 8.15 pagi.

Institut Matematik Vietnam telah ditubuhkan pada tahun 1970, mereka membentuk kumpulan penyelidik matematik Vietnam. Mereka menerbitkan laporan tahunan dan juga menerbitkan Jurnal Acta Mathematica Vietnam. Jurnal ini menerima makalah dalam Bahasa Inggeris dan Perancis. Jurnal ini dihantar ke luar Negara dan sebagai balasan mereka akan mendapat jurnal luar Negara sebagai tukaran. Jurnal yang berjudul “Vietnam Journal of Mathematics” diterbitkan di bawah Persatuan Matematik Vietnam. Kegiatan Persatuan Matematik Vietnam boleh dilihat secara rincian melalui laman web mereka, http://www.math.ac.vn/. Mereka mempunyai perpustakaan secara fizikal dan juga koleksi digital. Perpustakaan mereka adalah yang terbaik di seluruh Vietnam dalam bidang Matematik.

Pada sebelah petangnya, kami melawat “Institute of Information Technology” bersebelahan dengan bangunan “Institute of Mathematics”. Kerajaan Vietnam memberikan geran berjumlah USD 300,000 setahun. Ketika lawatan kami itu, terdapat 160 penyelidik dalam Institut Teknologi Maklumat itu. Informasi lanjut mengenai institute ini boleh didapati melalui, http://www.ioit.ncst.ac.vn/. Mereka membuat rekacipta untuk perisian yang diperlukan di Vietnam.

Institut Teknologi Maklumat terlibat dalam penyelidikan “Speech Technology”, “Natural Language Processing (NLP)”, “Soft Computing” dan lain-lain.

Pada sebelah petangnya, kami lakukan sedikit “shopping” untuk insan tercinta apabila pulang nanti. Ketika itu kain sutera paling mahal berharga USD7 dan yang termurah ialah USD3 per meter. Lepas shopping kami makan di Restoran Nissa, di no. 9, Jalan Hang Trung, Hanoi.  Restoran ini milik orang Malaysia bernama Ben Taat Alias, asal Muar. Dulu beliau ialah jurulatih permainan Sepak Takraw bagi Vietnam. Beliau menyewa sebuah bangunan 7 tingkat yang mempunyai 21 bilik dan sewa bilik per malam ialah USD21. Beliau menyewa bangunan itu seharga USD5500 per bulan. Kami menaiki teksi untuk pulang ke hotel dengan harga tambang sebanyak 42,000 dong (RM8).

Jam 9.00 pagi 22 Oktober 2003, kami membuat lawatan ke “Temple of Literature”, kemudian jam 10.05 kita melawat “Ho Chi Minh Square” atau Dataran Ho Chi Minh. Lepas itu kami dibawa melawat Muzium Ho Chi Minh yang memuat khazanah beliau mengenai pendidikan, ajaran komunis, falsafah beliau dalam pembangunan Vietnam, pandangan beliau yang jauh melampaui zamannya.

Tengahari jam 12.10 kami sampai semula ke Restoran Nissa untuk makan tengahari kerana petangnya akan melawat Universiti Hanoi pada jam 2.15 petang. Dalam pertemuan petang itu kami dibawa ke “Faculty of Mathematics, Mechanical and Informatics”, Universiti Hanoi. Mereka mempunyai 90 tenaga pengajar, 50 orang mempunyai Ijazah PhD. Universiti Hanoi mempunyai 1,200 tenaga sepenuh masa dan 2,500 tenaga separuh masa bagi menguruskan university besar itu. Mereka mempunyai Jabatan Biomatematik.

Pada 23 Oktober 2003, kami bertemu semula dengan Professor Toa yang menjadi perantara kami selama di Vietnam. Beliau pernah ke Universiti Putra Malaysia memberikan seminar. Kami berjumpa dengan Jawatankuasa Saintifik peringkat Vietnam yang terdiri dari pakar-pakar yang terpilih dalam pelbagai bidang sains. Agenda mesyuarat biasanya menyangkut perkara-perkara penting yang timbul dari masa ke semasa.

Bagi menyelesaikan Ijazah Master di sini, mahasiswa perlu mengambil 20 matapelajaran dengan membuat tesis selama 6 hingga 8 bulan. Tiap matapelajaran per semester mempunyai sebanyak 120, 90, 60, atau 45 jam kuliah bergantung kepada kepentingan matapelajaran itu dalam kurikulum yang direka. Ini akan memakan masa selama 2 tahun 6 bulan. Kami juga membincangkan kemungkinan UPM menawarkan Ijazah Master dengan penyelia dari Institut Matematik Vietnam di Universiti Hanoi. Pelajar boleh dating selama 3 bulan untuk membuat konsultasi. Cadangan tersebut perlu dimatangkan di peringkat UPM sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Itulah hasil lawatan kami ke Vietnam pada 20 hingga 24 Oktober 2003.

Nota: menulis semula dari catitan lama dan tiada foto dapat dikesan bagi menambahbaik laporan ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment