Wednesday 28 March 2012

Kembara Spiritual – Siri 3


3. Masjid Aqsa yang kami rindui
Sdr Majdi, Pemandu Pelancong kami di Palestin
Setelah diarahkan memasuki ruangan lain daripada pelawat biasa, kami diarah berbaris panjang satu demi satu mengadap kaunter untuk diteliti paspot masing-masing, setelah puas membelek-belek paspot kami baru dikeluarkan satu kertas kecil yang dilekatkan pada pas sempadan. Pada sebelah sana kaunter ada sesorang yang akan mengambil semula kertas kecil itu dan kami dibenarkan bergerak menuju ke bas.

Oleh kerana saya agak awal keluar dari barisan kumpulan kami, saya sempat membuat tinjauan di sebelah kawasan Palestin yang dijajah oleh Israel. Saya dapati ramai pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi Israel yang menjadi pengawal sempadan sebagai kerahan tenaga ala Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Malaysia. Perkara yang sama sudah pun diterapkan di Singapura.
Foto di sebelah lambang Bandar Jericho

Selesai melepasi “check-point” sempadan rombongan menaiki bas ke kota terdekat Palestin dari sempadan Jordan iaitu Jericho. Kami solat jamak dan qasar di Mesjid Jericho dan sempat berfoto di beberapa tempat di sekitar Jericho. Setelah itu kami menuju ke restoran atas bukit dengan menaiki kereta kabel untuk makan tengah hari. Gayat juga menaiki kereta kabel ini, macam tak percaya di Palestin ada kereta kabel.
Foto di depan kereta kabel di Jericho

Ingatkan di Langkawi, Penang, Genting Highland saja yang ada kereta kabel. Tiga buah kereta kabel untuk naik dan tiga buah lagi untuk turun. Seronok juga melihat Bandar Jericho dari tempat tinggi, sebuah Bandar yang aman dan dikuasai sepenuhnya oleh Palestin.

Selesai makan tengah hari kami bergegas untuk ke Jurusalem, tempat tujuan kami yang sebenarnya kerana solat di Mesjid Aqsa mendapat 500 kali pahala bersolat di tempat lain. Jadi, masing-masing sudah teruja untuk terus berada di sana.

Rupanya jalan dari Jericho ke Jurusalem agak jauh juga dan berliku-liku. Pihak Israel sudah membuat tembok pemisah antara penempatan rakyat keturunan Palestin dengan rakyat Yahudi. Sebelah Yahudi, pembangunan pesat berlaku, sebaliknya kemunduran di mana-mana pada sebelah Palestin.
Di Depan "Dome of Rock"

Akhirnya bas kami sampai ke bukit Zaitun dan kami dapat melihat “dome of rock” dengan sangat jelas dari Bukit Zaitun ini. Waktu yang diberikan untuk berada di Bukit Zaitun sangat singkat kerana kami ingin mengejar solat magrib di Masjid Aqsa, bergegas pula kami menaiki bas dan menuju ke bawah bukit untuk ke kawasan Masjid Aqsa.

Penat juga kami memanjat bukit yang menempatkan kawasan Masjidil Aqsa, oleh kerana misi belum tercapai kami dengan semangat wira bergegas lagi menuju ke Mesjid berkubah emas yang disebut sebagai “dome of rock” kerana di dalamnya ada tapak batu yang dipijak oleh Nabi Muhammad SAW apabila akan menaiki bouroq menuju ke langit berjumpa Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Hamparan batu (rock) tersebut masih tersimpan di dalam mesjid itu. Namun ketika kami sampai mesjid ini sedang direnovasi.
Jamaah foto bersama di depan Mesjidil Aqsa

Setelah bersolat tahayatul mesjid kami bergegas pula ke Mesjid Aqsa yang berada di bawah sedikit daripada “dome of rock” di mana jamaah sekitarnya melakukan solat waktu. Sebenarnya seluruh kawasan bukit yang memuat “dome of rock” dan masjid yang di bawahnya dinamakan kawasan Masjidil Aqsa.

Sejarah mesjid ini sangat lama dan telah dikuasai oleh berbagai-bagai pemerintahan, para pembaca dapat merujuk buku-buku sejarah mengenai perkara ini. Apa yang ingin menulis nyatakan ialah kawasan ini berada di bawah kawalan Israel sepenuhnya. Siapa saja yang ingin memasuki kawasan ini diperiksa dan jika mereka curiga yang ingin memasuki kawasan masjid ini akan ditahan.
Tembok Ratapan Yahudi

Sdr Majdi seterusnya membawa kami melawat “wall of grieve” atau tembok ratapan yang digunakan oleh Kaum Yahudi bersembahyang cara mereka dengan mengangguk kepala mereka ke dinding ratapan ini. Mereka percaya di sebelah dinding tersebut dulunya ada berhala mereka yang dirobohkan dan mereka ingin dirikan semula berhala itu. Pada waktu yang sama tempat di sebelah tembok itu beradanya kawasan Masjidil Aqsa.

Di sini terjadi satu kontradiksi yang sangat tajam dan menunggu saja untuk berlaku satu pertelingkahan dahsyat. Menurut pemerhati di bawah kawasan Masjidil Aqsa, pihak Yahudi telah menggali dan membuat laluan di bawahnya, dengan harapan suatu hari kawasan itu akan ranap dan mereka dapat mendirikan berhala yang mereka ratapi itu.

Ketika Sdr Majdi menerangkan tentang tembok ratapan, kelihatan beberapa spy Yahudi berada di sekitar kami. Saya segera mengingatkan Sdr Majdi mengenai ini dan dia dengan sepantas kilat mengarahkan kami mengikutinya keluar melalui pintu rahsia yang dia sendiri tahu kerana sebagai “tourist guide” beliau mesti tahu menyelamatkan kami.
Satu lagi foto Tembok Ratapan Yahudi

Saya mendengar beberapa rabai Yahudi membuat “yell” kepada kami ketika beberapa orang dari kami cuba mengambil foto mereka yang sedang menggoyangkan kepala mereka ke arah tembok ratapan itu. Pada hujung pintu rahsia itu sudah menunggu bas kami untuk membawa kami pulang ke Hotel Strand, tempat penginapan. Dalam perjalanan kaki dan dalam bas kami bersepakat untuk datang solat Subuh di Mesjid Aqsa keesokan harinya.

Bas meluncur laju ke hotel penginapan yang tidak berapa jauh dari kawasan yang kami lawati tadi, namun kami terpaksa menaiki tangga ke tingkat tiga kerana hotel tersebut tiada “lift”, juga tiada saluran TV yang lain selain daripada TV Poland, ketika saya tanyakan ke kaunter kenapa demikian, mereka mengatakan hotel ini khas untuk orang-orang Poland jadi mereka hanya menyediakan apa yang mereka perlukan saja. Walau bagaimana pun kami akur kerana hotel ini milik orang Palestin.

Cuaca di sekitar Jurusalem sangat sejuk, jadi yang ada di bilik penginapan kami bukan pendingin udara tetapi pemanas udara. Oleh kerana baru dengan hotel ini ada jamaah yang tidak pandai menggunakan “heater” jadi kesejukanlah mereka hingga ke pagi. Keesokan pagi sejam sebelum solat subuh kami sudah bersedia menaiki bas untuk solat subuh di Mesjid Aqsa, bersemangat betul ahli-ahli jamaah ini.

Semua hadir kecuali beberapa orang jamaah wanita yang uzur. Dalam kesejukan pagi itu, kami sekali memanjat bukit kawasan masjidil Aqsa setelah bas memuntahkan kami di kaki bukit. Pemandu bas berjanji akan menunggu di tempat kami turun dan kami diingatkan agar tepat masa.
Foto Bersama di Depan Masjid Aqsa

Selesai solat subuh dan berfoto dengan imam Mesjidil Aqsa, kami bergegas turun menuju ke tempat bas kami menunggu. Terasa sangat cepat letih dalam umur senja ini, namun semangat mengatasi segala-galanya. Pada setiap penjuru pintu masuk ke mesjid ada saja pengawal Yahudi yang berkawal, mengawasi jamaah solat subuh dan orang masuk keluar kawasan mesjidil Aqsa.

…… Bersambung siri berikutnya dengan lawatan ke Hebron ……

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Mac 2012.

No comments:

Post a Comment