Wednesday 28 March 2012

Kembara Spiritual – Siri 2


2.      Pertama kali menapak di Bumi Palestin

Peta Palestin - Jordan

Sepanjang penerbangan yang memakan masa lebih daripada 11 jam dari Colombo ke Amman, Jordan ramai jamaah dan penumpang lain terlentok dibuai mimpi yang berbagai, namun saya sesekali tertidur dan sesekali terjaga. Dalam usia 64 tahun ini mana boleh tidur berterusan macam Mohd Faiz, peserta muda berumur 18 tahun dalam jamaah kami yang boleh tidur sepanjang perjalanan tanpa menjamah makanan sedikit pun. Sungguh bahagia dia dapat tidur sedemikian rupa. Saya memilih untuk merawat hati dengan mendengar bacaan Al-Quraan melalui system audio-visual pesawat terbang. Sesekali menitis air mata mengenangkan hidup yang dilalui tanpa ada pun jasa yang boleh diwariskan kepada bangsa dan agama.
Foto di depan Gua Ashabul Kahfi

Kapal Terbang Royal Jordan RJ194 mendarat selamat di Lapangan Terbang “Queen Alia International Airport (QAIA)” Amman, Jordan tepat jam 10.18 pagi waktu Jordan. Sambil mengeliat badan, ahli-ahli jamaah mula bangun dari tidur dan bersiap untuk meninggalkan pesawat dan memasuki lapangan terbang QAIA. Di Jordan agen tempatan yang dikendalikan oleh Mujadeed Travel (Pengurusnya Sdr Mohd Mustakeem) menguruskan semua barangan kami. Melalui bantuan kumpulan yang kami gelar lapan lelaki perkasa dalam kumpulan kami, semua barangan dapat dimuat masuk dalam bas yang disediakan dalam masa kurang dari 20 minit. Cuaca Amman ketika kami sampai sangat sejuk, menurut pemandu pelancong kami Sdr. Majdi (Jordanian) suhu ketika itu adalah sekitar 10 darjah Celsius.
Kelihatan Cahaya Matahari memasuki Gua

Menurut Majdi, terdapat lebih daripada 1,500 pelajar Malaysia belajar di Jordan sekarang ini. Nama lapangan terbang ini mengambil sempena isteri Raja Jordan, King Hussein yang bernama Alia yang terbunuh dalam kemalangan helicopter pada tahun 1977. Raja Hussein pula meninggal pada tahun 1999. Jordan telah menjadi Negara yang dijajah oleh British sejak tahun 1919 hingga tahun 1946. Seramai 97% rakyat Jordan beragama Islam dan sekitar 3% beragama Kristian Orthodox.

Tempat pertama yang kami lawati setelah tiba di Amman ialah Gua Ashabul Kahfi, di mana tujuh (7) pemuda ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun. Kawasannya telah dipercantikkan dengan pagar dan masjid buat pengunjung melakukan solat bila mana perlu. Jalan ke Gua telah diletakkan batu besar sebagai tempat berpijak jamaah dan didalamnya sudah diperbaiki bagi keselesaan pelawat. Saya turut melihat ruang yang membolehkan cahaya matahari pagi dan petang memasuki gua bagi memberikan vitamin D kepada pemuda Al-Kahfi tersebut. Pembaca boleh rujuk Surah Al-Kahfi, ayat 18 bagi mendapat fakta dan juga merujuk tafsir-tafsir yang muktabar bagi menjelaskan perkara ini. Menurut Majdi (Pemandu Pelancong kami), Allah SWT menyahfungsikan sebahagian daripada subsistem dalaman diri pemuda Al-Kahfi sehingga selama 309 tahun mereka tidak lapar, tidak dahaga, tiada mimpi dan sebagainya. Itulah kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa yang Dia mahu.
Foto Kumpulan di depan Gua Al-Kahfi

Menurut Sdr Majdi, terdapat 17 juta pokok Zaitun di seluruh Jordan dan merupakan pengeksport terbesar minyak Zaitun ke seluruh dunia. Pada kanan jalan menuju ke Gua Al-Kahfi terdapat pembentong air yang sedang dipasang sepanjang 330 km dari sebuah empangan di Selatan Jordan ke Amman bagi membekalkan air ke Amman yang dilakukan oleh syarikat dari Turki. Mereka perlu mengatasi masalah bekalan air sebelum penduduk Amman bertambah ramai.

Di Bandar Amman juga ternampak kereta dan kenderaan lori dari rantau Arab yang lain seperti dari Arab Saudi, Qatar, Iraq, Syria dan lain-lain. Ini dapat dikenali dengan nombor plet kereta yang membezakan asal kereta tersebut. Buat masa ini kebanyakan Negara Arab sudah bersambung melalui jalan raya yang terbentang luas di padang pasir mereka.

Negara Jordan mendapat limpahan kunjungan dari jiran-jiran mereka seperti Palestin, Syria, Arab Saudi, Iraq, Lebanon, Yemen dan Mesir. Banyak rumah-rumah gedung yang dimiliki oleh hartawan Arab dari Negara Arab yang lain yang mendiami rumah-rumah yang mereka beli apabila di Negara masing-masing mengalami musim panas melampau atau sejuk melampau. Siaran televisyen di Jordan juga sudah mendekati Negara-negara Barat yang lebih liberal.

Sayur-sayuran dan buah-buahan dijual di tepi-tepi jalan raya dengan harga yang agak murah kerana mereka menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kentang, tomato, dan lain-lain di tempat yang subur di Lembah Jordan.

Lebih separuh daripada rakyat Jordan berasal dari Palestin, setengah juta berasal dari Iraq dan tiga (3) juga penduduk berasal dari Pergunungan Caucasian. Jumlah penduduk Jordan sekarang dianggarkan sekitar 12 juta orang. Kebanyakan pekerja binaan datang dari Mesir kerana upah yang murah dan rakyat Mesir yang rata-rata miskin. Mereka boleh datang ke Jordan melalui jalan darat melintasi Bandar Aqabah dari Mesir. Ketika lawatan kami pembangunan sedang rancak berlaku di Jordan dengan bangunan-bangunan tinggi mencakar langit dan pembinaan hotel-hotel mewah dan perumahan yang eksklusif.

Selepas melawat Gua Al-Kahfi, kami berhenti untuk makan tengah hari dan jam 3.00 petang melawat pusat beli belah Noumi Market sebelum “check-in” ke Hotel Larsh di Bandar Amman.
Foto di depan Bas yg akan membawa kami ke Palestin

Esok paginya, iaitu pada 6 Mac 2012, kami bersiap sedia menaiki bas untuk ke Palestin, masing-masing sudah “excited”, teruja dan terkesima. Kami akan menginap satu malam di Jurusalem, tempat berdirinya Mesjid Aqsa dan diminta untuk membawa satu beg seorang dan barangan yang minima saja. Sdr Majdi sudah mengingatkan kami agar berhati-hati apabila berada di sempadan kerana pemeriksaan yang agak ketat oleh pihak Israel yang sedang menjajah Palestin sekarang ini. Semua alat komunikasi dimatikan dan kamera jangan diperlihatkan. Semua barangan itu diarah untuk disimpan dalam beg tangan atau “backpack”.

Sejak di Malaysia lagi kami sudah dimaklumkan bahawa hanya seorang saja yang tidak diizinkan masuk ke Palestin, tiga puluh tujuh (37) peserta lain mendapat kebenaran. Ketika di Malaysia kami tidak tahu siapa yang tidak dibenarkan masuk itu. Saya menyangka saya yang tidak dibenarkan kerana saya menyimpan jambang yang kelihatan seperti orang Arab, namun jemaah yang tidak dibenarkan itu ternyata bukan saya, dan alasan tidak membenarkan peserta wanita memasuki Palestin ialah kerana dalam pasport beliau pernah tercatit memasuki Iran, musuh ketat Israel ketika ini.

Ketika hampir ke Jembatan Raja Hussein, barangan kami diimbas terlebih dahulu oleh pihak berkuasa Jordan bagi memastikan tiada barangan yang tidak dibenarkan dibawa. Selepas itu kami meneruskan perjalan, pengawal sempadan Israel memberhentikan bas kami di sempadan dan memeriksa bas dengan senjata “ready” di tangan, diimbas bas kami dari bawa kerana dikhuatiri membawa bom dan sebagainya.

Kali pertama bas kami diarah pulang semula ke pintu masuk kerana faks dari Amman belum sampai mengenai kebenaran kami memasuki Palestin belum diterima oleh pengawal sempadan. Baru kali kedua, bas kami berupaya melintasi gerbang pertama dan menunggu pula di gerbang kedua beberapa ketika, kerana mereka membenarkan kenderaan lain melintasi terlebih dahulu. Oleh kerana agak terlalu lama, pemandu kami memberanikan diri maju ke penghadang jalan masuk, serta merta diarah oleh pengawal untuk kembali ke tempat penantian tadi.

Selepas beberapa ketika, barulah bas kami dibenarkan melintas gerbang kedua dan memasuki “check-point” terakhir. Semua barangan dalam bas dikeluarkan dan masing-masing diarah untuk membawa barangan sendiri melintasi melintasi “check-point” terakhir ini. Bas yang membawa kami dari Amman berlepas pulang ke Amman, kerana bas lain di sebelah sempadan sana yang sedang menunggu untuk membawa kami menziarahi tempat-tempat di Palestin.

Ketat sungguh pemeriksaan di “check-point” terakhir ini. Tali pinggang, kasut, dompet, jam dan jaket diperintah supaya dikeluarkan. Beg duit saya diimbas berkali-kali kerana khuatir saya membawa “chip computer” yang kecil dalam beg duit tersebut. Passport saya ditahan bagi pemeriksaan lanjut. Kami semua diarah untuk memasuki ruang lain yang dikhaskan untuk negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel kerana passport tidak boleh di”chop”. Saya percaya saya tidak melawat Israel, tetapi saya melawat Palestin, dan ingin sungguh bersujud di Masjid Aqsa, tempat Rasulullah SAW berpijak untuk menaiki buroq ke langit dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

….. bersambung di siri ketiga (3) berikutnya …..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 28 Mac 2012.

No comments:

Post a Comment