Wednesday 4 April 2012

Kembara Spiritual – Siri 5


5. Doa untuk Rakyat Palestin dan ziarah ke Madinah
Semoga Rakyat Palestin tetap istiqomah dlm solat dan amal

Kami meninggalkan Hebron dengan hati yang sayu kerana kita hanya dapat melihat penderitaan mereka, memberikan sedikit sumbangan dan kemudian pulang. Apa yang dapat kita buat untuk mereka selain mendoakan agar mereka mendapat semula tanah air mereka yang sudah hilang ke tangan orang lain.

Ketika keluar dari sempadan kami tidaklah mengalami hal yang teruk, mereka hanya melihat paspot kami dan kemudian mengembalikan semula paspot setelah data dicatit dalam computer mereka mungkin menandakan bahwa kami telah keluar dari Negara mereka. Keluar dari pihak kawalan sempadan bas dari Jordan sudah sedia menunggu, sementara bas dari Palestin pulang semula ke Palestin.
Salah satu tembok pemisah Yahudi dan Palestin

Saya dapat melihat rakyat Palestin yang kuat agama mereka bersolat di mana-mana saja tempat yang bersih, ada yang solat berjamaah bersama kawan-kawan mereka. Fenomena ini tidak aneh di sana dan juga di negara-negara Arab yang lain. Hal begini kita jarang nampak di Malaysia, berbagai alasan untuk tidak solat, seluar kotorlah, susah nak berwudhu dan berbagai alasan. Tetapi di sini bila masuk saja waktu solat dan di mana saja yang agak bersih dan tidak sibuk mereka akan membentangkan surat khabar atau selendang yang dibawa untuk melakukan solat.

Setelah melintasi sempadan Israel-Jordan, kami dibawa melawat Laut Mati untuk makan tengah hari secara buffet (prasmanan kata orang Indonesia), dan mandi manda di Laut Mati bagi siapa yang mahu, atau berendam kaki. Saya hanya memilih untuk mengambil foto sekitar Laut Mati, dan turun ke gigi laut untuk merasai air di Laut Mati.
Di Lapangan Terbang Jeddah

Laut yang menjadi sempadan antara Palestin dan Jordan ini disebut sebagai Laut Mati kerana tiada hidupan laut yang dapat hidup di dalamnya, tetapi kadang-kadang ada juga yang mengatakan bahawa laut ini bukan laut mati, tetapi Laut Hidup kerana hasil selut (mud) dari dalamnya dapat menghidupkan rakyat Jordan dari hasil eksport selut laut ini. Kadar garam memang sangat tinggi dan laut ini berada pada aras paling rendah sekali berbanding paras laut iaitu -330 kaki di bawah paras laut.

Rombongan kemudian bergerak ke utara Jordan iaitu ke Makam Nabi Shuaib sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang QAIA untuk ke Jeddah. Kami melakukan solat jamak dan qasar bagi solat Zuhur dan Asar di Mesjid Nabi Shuaib. Tempatnya di atas dataran tinggi, katanya tempat ini berada di aras yang paling tinggi berbanding dengan paras laut, Cuma saya belum dapat fakta berapakah ketinggiannya yang sebenar.
Di Makam Nabi Shuaib di Jordan

Kelihatan di kejauhan gunung-ganang melintangi Jordan dan terdapat antaranya Lembah Jordan yang terkenal kaya dengan berbagai produk tanaman sayur-syuran dan buah-buahan. Pemandu pelancong kami mengatakan diperlukan 5 atau 7 hari untuk benar-benar menikmati percutian yang lengkap di Jordan kerana banyak lagi tempat-tempat menarik yang belum sempat kami kunjungi. Kami belum lagi berkhemah di tengah-tengah pada pasir berhampiran dengan oasis (kawasan yang ada air di padang pasir), dan beberapa tempat menarik yang lain.

Oleh kerana ketika kami sampai di Lapangan Terbang QAIA, waktu magrib sudah masuk kami terus melakukan solat jamak dan qasar untuk waktu Magrib dan Isya sebaik saja selesai “check-in” kerana masih ada waktu sebelum “boarding”. Pesawat Royal Jordan ke Jeddah bertolak sekitar jam 12.00 tengah malam, dan sampai di Jeddah jam 2.00 pagi.
Di Makam Nabi Shuaib, Jordan

Kami berada di Lapangan Terbang Jeddah selama 1 jam sambil menunggu bas yang akan membawa kami ke Madinah. Tepat jam 3.00 pagi baru rombongan kami dapat bertolak ke Madinah. Kami singgah bersolat Subuh di sebuah R&R antara Jeddah dan Madinah pada jam 6.00 pagi, dan dapat juga menikmati teh Arab yang panas pada pagi yang dingin itu.

Perjalanan ke Madinah agak perlahan, saya menikamti cahaya matahari yang sedang naik dan menyinar dari celah-celah bukit di kejauhan, sempat juga merakam beberapa keping foto matahari pagi tetapi lama kelamaan sudah tidak terdaya lagi melawan pertautan bulu mata yang membuat saya terlena beberapa ketika. Kira-kira jam 10.00 pagi kami sampai di Madinah, jemaah yang masih nyenyak tidur dibuai mimpi turut terjaga ketika suasana riuh menandakan sudah sampai di Madinah.
Di Makam Nabi Shuaib

Kumpulan lapan jejaka perkasa dengan dibantu oleh pasukan “ground handling” mula menurunkan barangan jemaah di depan hotel penginapan yang cukup baik, baru siap dibina dan cantik. Kedudukannya berhampiran dengan Masjid Nabi, kalau jalan pun belum sempat meletihkan jemaah. Udara di Madinah nyaman dan agak sejuk tetapi tidak sesejuk di Amman yang membuat badan mengigil kesejukan.

Sementara proses “check-in” dijalankan di kaunter oleh En Yunus, wakil Blissful Travel yang ikut sama kami dengan dibantu oleh En. Omar dan isteri beliau Pn Aznee, kami menyusun beg-beg kami mengikut keluarga masing-masing di suatu sudut tertentu dan bersiap-siap untuk ziarah dalaman “bertemu” dengan Rasulullah SAW dan menyatakan betapa seronoknya kami dapat berkunjung dan bermesra dengan beliau. Jam 11.00 pagi kami mula menziarahi Rasulullah SAW, bersesak-sesak-sesak jemaah dari berbagai-bagai negara menuju makam Nabi yang dicintai itu.
Matahari Pagi ketika ke Madinah dari Jeddah

Saya sempat melihat satu kekosongan tempat di Raudhah, dan secepat kilat tidak melepaskan peluang itu untuk solat sunat “tahiyatul masjid Nabi” dan kemudian solat hajat. Selesai solat, bingkas saya bangun kerana tidak mahu lama di situ dan memberi peluang kepada jemaah lain pula untuk bersolat. Segera saya menuju dan berbaris melintasi makam Rasulullah SAW, dengan linangan air mata saya mengucapkan salam kepada beliau dan menyatakan bahwa ramai sahabat-sahabat di Malaysia kirim salam dan memohon agar Rasulullah SAW memanggil mereka untuk datang berumrah dan menziarahi Nabi yang tercinta ini.

Kami tidak boleh lama berjumpa Rasulullah SAW dan meneruskan salam kepada Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar, jemaah di belakang saya bersesak-sesak untuk maju dan kami terpaksa keluar ke arah Perkuburan Bakeq di mana jemaah kita akan meneruskan ziarah ke perkuburan itu sebagai mengenang jasa para shuhada yang dikebumikan di situ.
Kanopi di luar Masjid Nabi

Saya mengambil keputusan untuk masuk semula ke kawasan Raudhah untuk menunggu solat Zuhur jam 12.30 tengah hari. Jam di tangan saya baru menunjukkan pukul 11.30 pagi, jadi satu jam lagi masa untuk menunggu dengan solat sunat dan membaca Al-Quraan. Al-hamdulillah, saya mendapat tempat di barisan ketiga dari depan (dari Imam) dan dikira sudah baik kerana baris pertama dan kedua sudah penuh dan setelah saya “scan” kiri kanan hanya baris ketiga yang masih ada beberapa tempat kosong.

Di sini kita menunggu azan, tetapi di Malaysia azan yang tunggu kita. Nampak sangat berbeza beribadah di tanah haram dengan di tempat lain. Apakah kerana ganjaran 1,000 kali solat di Masjid Nabi dengan di masjid lain selain Masjidil Haram yang diganjar 100,000 kali dan Masjidil Aqsa sebanyak 500 kali. Sebenarnya ada lagi bonus yang Allah SWT berikan iaitu mendapat 27 kali jika solat berjemaah berbanding dengan solat sendirian.
Mutawwif Sdr Amri dari Perlis

Hingga jumpa di Siri 6 ……

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 5 April 2012.

No comments:

Post a Comment