Thursday 5 April 2012

Kembara Spiritual – Siri 6

Mutawwif Ziarah Luar
6.  Ziarah Luar dan Lambaian Ladang Kurma

Pada pagi 9 Mac 2012 (Jumaat), selepas Solat Subuh dan sarapan pagi di hotel, kami diarah bersiap-siap untuk melakukan Ziarah Luar. Kami akan ke Mesjid Quba, Gunung Uhud, Ladang Kurma dan Mesjid Dua Kiblat (Qiblatain). Oleh sebab hari itu adalah hari Jumaat, kami terpaksa sampai balik ke hotel di Madinah sebelum waktu solat Jumaat (sebelum jam 12.30 tengah hari).

Masing-masing jemaah sudah siap berwudhu di hotel kerana ada hadis Nabi yang mengatakan, “Sesiapa yang berwudhu di rumahnya, kemudian pergi ke Mesjid Quba untuk
solat, akan diberi ganjaran pahala menunaikan umrah” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Ketika kami sampai di Mesjid Quba, jemaah umrah dari negara lain sudah ramai berhimpun untuk solat sunat dan mana-mana yang sudah siap solat mengambil kesempatan untuk membuat sedikit “shopping” di kedai-kedai berhampiran masjid. Macam-macam ada, kebanyakan barangan ialah buat Cina, mungkin kerana harganya murah dan boleh beli banyak untuk dijadikan ole-ole bila pulang nanti.

Mesjid Quba
Masjid Nabi
Saya mengambil kesempatan untuk membeli sedikit kurma untuk dimakan dalam bas dan juga di hotel nanti. Cuaca agak panas dan kita akan cepat haus, bekalan air mesti senantiasa ada agar kehausan kita tidak berpanjangan.

Menurut sejarah, pada 8 Rabiul Awwal tahun pertama hijrah atau bersamaan dengan 23 September 622 Masihi, Rasulullah SAW tiba di perkampungan Quba dalam perjalanan hijrah dari Mekah. Selama 4 hari baginda berkampung di situ bersama bani Amru bin Auf di rumah Kalthum bin Al-Hadm. Pada hari pertama itulah Rasulullah SAW terus membina masjid yang akhirnya dinamakan sebagai Masjid Quba, masjid pertama dalam sejarah dunia.

Mesjid Quba yang dibangun atas dasar taqwa disebut dalam Al-Quraan dalam surah At-Taubah ayat 108 dan 109.  Selepas solat di Mesjid Quba, dan semua jemaah sudah berada di bas, maka kami pun bertolak ke Gunung Uhud untuk menziarahi makam para syuhada di sana dan melihat gunung-ganang tempat peperangan Uhud berlangsung pada zaman Rasulullah SAW.

Di kawasan pergunungan Uhud, ada sebuah bukit yang biasanya dinaiki oleh ramai jemaah iaitu bukit yang Rasulullah SAW tempatkan pemanah tepat sebagai kawalan kedatangan musuh ketika Perang Uhud. Sejarah mencatatkan bahwa pasukan pemanah ini meninggalkan posisi masing-masing kerana berebut rampasan perang (ghanimah), ketika itulah pihak musuh menyerang balas dan pasukan Rasulullah SAW mengalamai kekalahan dalam perang tersebut.
Kawasan Pergunungan Uhud

Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu 11 Syawal tahun ke 3 hijrah bersamaan dengan 26 Mac 625 Masihi. Pasukan musuh Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb berjumlah 3,000 orang, sementara pasukan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW pada mulanya berjumlah 1,000 orang berkurang menjadi 700 orang kerana Abdullah bin Ubai dan pengikutnya serama 300 orang pulang ke Madinah.

Dalam pertempuran di kaki Gunung Uhud, 71 orang dari pasukan Muslimin syahid sementara hanya 23 orang musyrikin tewas. Pahlawan Islam yang mati syahid antaranya ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, bapak saudara Nabi sendiri. Rasulullah SAW patah gigih dan mengalami luka-luka. Ternyata kesilapan besar pihak Muslimin ialah ketidakpatuhan pasukan memanah terhadap perintah Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan posisi strategik mereka di atas bukit yang sederhana tingginya itu.
Di Kawasan Pergunungan Uhud

Gunung Uhud berwarna kemerah-merahan kerana batunya berwarna kemerah-merahan dan gunung itu agak condong sedikit kerana ketika 71 syuhada yang terkorban akan dikebumikan jauh sedikit darinya gunung itu bergerak mengikuti jasad para syuhada itu, tetapi segera dilarang oleh Nabi SAW dan gunung Uhud pun berhenti bergerak dengan tiba-tiba, maka terjadilah bentuk condong sedikit itu dan bentuk itu kekal hingga sekarang.

Seterusnya kami ke Ladang Kurma, sebenarnya kami tidak melawat pohon kurma dan mendengar penerangan bagaimana pohon kurma di tanam dan bagaimana merawatnya. Kami hanya ke sebuah kedai, tempat penjualan barangan yang dihasilkan daripada buah kurma. Kedai ini terletak dalam kawasan tanaman kurma atau ladang kurma. Di bahagian belakang kedai itu ada kursi sofa untuk berehat sambil minum teh Arab. Jika ada yang ingin bergambar dengan pohon kurma juga boleh dilakukan di sini. Jika kebetulan musim kurma berbuah, kita boleh mengambil foto buah kurma muda yang hampir sama dengan buah kelapa sawit tetapi buah kurma tidak berkelompok seperti buah kelapa sawit.
Kurma Muda

Di kedai ini jemaah membeli barangan yang dibuat daripada kurma untuk ole-ole apabila pulang ke Malaysia nanti. Ladang kurma ini senantiasa melambai-lambai jemaah untuk datang kepadanya dan berbelanja. Kita boleh rasa bermacam-macam-macam jenis kurma yang ada di kedai ini dengan mengambil sebiji buah kurma dan mengatakan “halal” kepada penjaga kedai dan biasanya mereka mengatakan “naam” (ya).

Akhirnya kami ke Masjid Kiblatain (dua kiblat) sebagai destinasi terakhir Ziarah Luar. Di sini ketika solat Asar, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu untuk berubah kiblat ke Masjidil Haram walau pun ketika itu Nabi bersolat berkiblatkan Masjidil Aqsa di Palestin. Nabi melakukan pusingan 180 darjah untuk mengadapkan arah solatnya ke kiblat yang baru iaitu ke Masjidil Haram.
Di Ladang Kurma

Persoalan mengenai pertukaran kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Mekah ini disentuh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 142 dan 143.

“Orang-orang yang kurang akal di antara manusia akan berkata, “Apakah yang memalingkan mereka (muslim) dari kiblat yang dahulu mereka (berkiblat) kepadanya?” Katakan (Muhammad), “Milik Allahlah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus” (Al-Baqarah, ayat 142).

“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) “umat pertengahan” agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Kami tidak menjadikan kiblat yang (dahulu) kamu (berkiblat) kepadanya melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berbalik ke belakang. Sungguh (pemindahan kiblat) itu sangat berat, kecuali bagi orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sungguh Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada manusia” (Al-Baqarah, ayat 143).

Pengajaran daripada peristiwa dua kiblat ini ialah Allah ingin melihat siapakah manusia yang mengikuti Rasulullah SAW dan siapakah yang ingkar atas perintah ini. Semuanya milik Allah dan Allah akan memilih hambaNya yang taat kepada perintahNya dan rugilah manusia yang ingkar kepada perintah Allah.
Menikmati Teh Arab di Ladang Kurma

Oleh sebab lawatan ziarah luar cepat selesai, maka ada jemaah yang meminta untuk ke pasar kurma yang letaknya bersebelahan dengan Masjid Nabi. Maka waktu 30 minit diberikan untuk jemaah yang ingin ke pasar kurma tersebut kerana ada yang mengatakan harga kurma di ladang agak mahal dan di pasar kurma agak murah. Pihak penganjur membiarkan sendiri jemaah membandingkan harga. Tepat 30 minit jemaah pun sudah berkumpul dalam bas yang menunggu dan kami terus pulang ke hotel penginapan yang berada tidak jauh dari Masjid Nabi dan jemaah akan bersiap-siap untuk solat Jumaat. Petangnya jemaah bebas untuk berbelanja kali terakhir di Madinah kerana selepas subuh esoknya (Sabtu, 10 Mac 2012), jemaah akan segera bertolak ke Mekah untuk umrah dengan miqat di Bir Ali dan lengkap berpakaian ihram untuk solat sunat Ihram dan meneruskan perjalanan ke Mekah.

Bersambung ke Siri 7 di Mekah….

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 6 April 2012.

No comments:

Post a Comment