Friday 18 May 2012

Kembara Spiritual Siri – 10


10. Singgah di Sri Langka Dalam Perjalanan Pulang
Foto di Depan Hotel Garden Tulip, Amman

Terasa begitu cepat masa berlalu apabila kami berada dalam nikmat mendapat kemudahan hotel berbintang lima di Amman, Jordan. Jam lima pagi masuk hotel dan jam empat petang sudah harus meninggalkan hotel mewah Garden Tulip, hanya sebelas jam. Kalau boleh ingin lebih lama menikmati kemewahan ini dengan udaranya yang sejuk, makanan yang sedap dan kemudahan hotel yang sungguh cantik. Cuba kita bayangkan kemudahan yang lebih baik dari itu di syurga nanti, dengan air sungai yang mengalir dan bidadari (bidadara) yang sejuk mata memandang.

Penerbangan dari Amman ke Colombo tiada mengalami sebarang perubahan, jam 7.30 malam pada 18 Mac 2012 waktu Amman, kami berangkat ke Sri Langka dan tiba di Colombo jam 5.00 pagi waktu Sri Langka pada 19 Mac 2012. Kami singgah di Colombo dan dibawa ke Palace Hotel di Negombo, kira-kira 30 minit perjalanan dengan bas dari Lapangan Terbang Bandaranaike, Colombo. Hotel berbintang dua (2) ini menyediakan sarapan dan makan malam. Tiada kemudahan “lift” di hotel 3 tingkat ini. Kami diberikan bilik di tingkat dua, jadi terpaksalah mengangkat barangan sendiri dengan menggunakan tangga berpusing, bukan tangga itu bergerak tetapi kita kena naik tangga itu dengan mengikut tangganya yang berbentuk melingkar.
Hotel Penginapan kami di Negombo
Melalui kudrat yang masih tersisa, saya pun terpaksalah angkat beg keluarga ke tingkat atas, saya seorang saja lelaki, yang lain (anak sulung dan bungsu kedua-dua perempuan dan isteri) semua perempuan, jadi tak “macho”lah suruh perempuan angkat  beg berat-berat, lagi pula mereka tiada kudrat untuk angkat berat-berat kerana badan pun kurus.

Dapatlah berehat sebentar kerana jam 10.00 pagi kami mesti berkumpul di lobi hotel untuk dibawa “putar-putar” Negombo, sebuah bandar nelayan dan membeli belah apa yang patut di sekitar bandar sederhana besar ini. Soal membeli belah saya serahkan kepada isteri dan anak-anak, yang saya minat ialah memerhatikan gelagat manusia. Rata-rata warna kulit dan perwatakan hampir sama dengan kaum India di Malaysia kerana mereka serumpun, mungkin sebahagian besar penduduk Sri Langka berasal dari Selatan India seperti Tamil Nadu.
Menikmati Roti Canai di Negombo

Menurut pemandu pelancong yang berbicara dalam Inggeris, 90% penduduk Negombo beragama Kristian, dan saya lihat pun banyak gereja di sana sini dan jarang sekali nampak mesjid. Majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan kerana kedudukan Negombo berhampiran dengan laut. Di tepi-tepi pantai kelihatan nelayan mengeringkan ikan dan banyak terdapat kapal-kapal yang digunakan untuk menangkap ikan. Ada kapal untuk laut dalam dan ada juga kapal kecil untuk laut pinggiran. Kapal-kapal tersusun rapi di tepi pantai seperti keadaan “parking” kereta di daratan. Sekali pandang seperti lukisan pada ufuk langit yang tersusun indah berwarna warni.
Di sebuah Mini Market di Negombo

Kemudian kami di bawa ke tempat membeli belah, biasanya orang-orang perempuan suka sangat tempat ini. Apa lagi bingkas adik-adik, kakak-kakak dan makcik-makcik bergegas memasuki kedai menjual pakaian, kami yang lelaki ini hanya membelek-belek saja kain-kain itu, tidak minat sangat.

Beberapa saat kemudian kami yang lelaki mencari kedai mamak. Rupanya ada juga kedai mamak yang buat roti canai, teh tarik dan lain-lain makanan India seperti di Malaysia. Apa lagi “order” pun dibuat dan sambil menunggu kaum hawa berbelanja sakan, kami pun menikmati teh tarik dan roti canai. Teh tariknya agak bagus, tapi roti canainya tak begitu sedap seperti di Malaysia. Tidak tahu pula apa ramuan roti canai yang di Malaysia itu yang membuatnya sedap.  
Ifa, Yati dan Umi

Agak lama juga kaum hawa mengadap kedai pakaian itu, letihlah menunggunya tapi lama-lama penat juga mereka. Kami pun mula bergerak mengelilingi Negombo. Luas juga kawasan ini dan waktu magrib kami singgah untuk solat magrib dan Isya sekali di sebuah mesjid yang biayai oleh Arab Saudi. Lepas solat jumpa Imam Mesjid dan jamaah memberi derma ala kadar kepada Imam untuk menampung sedikit perbelanjaan mesjid. Menurut Iman, penduduk membantah pembinaan mesjid pada peringkat awal. Namun atas perundingan yang berterusan diadakan dengan berbagai pihak akhirnya pembinaan mesjid ini dijalankan dan siap. Mesjid sangat penting bagi perkembangan Islam dan merupakan syiar Islam yang perlu kita tegakkan demi kesucian Islam.
Anak2 dalam grup kami

Lepas solat di Mesjid berkenaan kami ronda-ronda lagi dengan bas sekitar Negombo dan akhirnya kembali ke hotel. Ada yang kepenatan dan terus rehat dan ada yang masih bersemangat untuk berjalan sekitar hotel sambil membeli apa yang patut kerana esok pagi-pagi sebelum subuh kami sudah mesti berada di Lapangan Terbang Bandaranaike untuk berlepas ke Kuala Lumpur. Kami tidak menyangka dapat terbang terus ke Kuala Lumpur dengan AirAsia, kami fikir kena singgah di Singapura dulu kemudian naik bas ke Kuala Lumpur. Penat sangat kalau naik bas sebab di bahagian Singapura kena turun dan bawa semua barangan untuk pemeriksaan kastam mereka dan lambat pula nanti nak sampai ke Kuala Lumpur. Pengalaman pergi melalui Singapura masih menghantui kami.
Di Kaunter "Check-In" di LT Colombo

Malam itu saya, isteri dan anak-anak, juga beberapa kawan-kawan mengambil keputusan untuk berjalan kaki sekitar hotel sambil melihat ole-ole yang masih boleh dibeli. Siang tadi saya masih ingat masalah pertukaran yang agak merugikan antara wang Sri Langka dengan wang Malaysia, saya bertekad untuk menuntut kerugian itu dan melaporkan kepada pemandu pelancong. Melalui telefon bimbit pemandu pelancong memarahi pihak hotel yang membuat pertukaran yang murah itu. Sekembali ke hotel saya menuntut semula lebihan yang sepatutnya kami dapat dan dengan wang lebihan itu kami belanja lagi untuk membeli ole-ole tambahan.

Jam tiga pagi waktu Sri Langka pada 19 Mac 2012, kami berkumpul di lobi hotel. Bersemangat sekali kerana hendak pulang ke Malaysia, tanah air tercinta. Walau pun waktu berangkat jam 7.30 pagi tapi kami mesti berada di Lapangan terbang jam 5.30 pagi dan waktu subuh di Sri Langka ialah jam 5.00 pagi. Setelah memasukkan semua barangan ke bas kami pun bergerak dan tiba di lapangan terbang dalam waktu 30 minit, jalan tidak sibuk sebab masih terlalu pagi. Manusia Negombo waktu itu sedang diulit mimpi barangkali.
Jamaah dalam bas ke LT Colombo

Tepat jam 5.00 pagi saya mencari-cari sudut untuk solat subuh. Saya bertanya arah utara kepada pemandu pelancong yang menghantar kami dan berdasarkan arah utara saya boleh menentukan arah kiblat iaitu sekitar 15 darjah ke arah barat. Maka solatlah saya dengan seorang teman lagi sebagai makmum di sebuah sudut di luar lapangan terbang sambil diperhatikan oleh orang sekeliling. Saya tidak kisah apa yang akan mereka kata kerana tugas kita terhadap Allah dalam waktu macam mana sekali pun wajib ditunaikan, baik dalam keadaan susah atau pun senang.

Oleh kerana ramai penumpang yang memasuki ruangan dalam lapangan terbang, “check-point” pintu masuk agak lama, ini memberikan kesempatan kepada beberapa orang ahli rombongan untuk menunaikan solat di mana-mana sudut yang agak bersih untuk menunaikan solat suboh, kalau sudah masuk ke dalam lapangan terbang mungkin kesempatan untuk menunaikan solat subuh agak terbatas.
Penulis mencuba "toot-toot" Sri Langka

Selepas berjaya memasuki pintu pertama lapangan terbang, masing-masing yang menolak troli penuh muatan beg bergegas untuk ke kaunter “check-in” AirAsia dan di sini berlaku kelambatan yang amat sangat kerana biasanya semua barangan dalam rombongan akan dikira sekali. Misalnya masing-masing boleh membawa 7 hingga 10 kilogram barangan di tangan dan 15 hingga 20 kilogram barangan untuk masuk ke “luggage”. Kami ada 38 orang ahli rombongan, jadi secara mudah kami diperuntukkan 760 kilogram untuk satu rombongan. Sepatutnya semua barangan jamaah disatukan dan ditimbang, jika jumlah lebih daripada 760 kilogram, kita boleh membayarnya dan kemudian membuat kutipan secara purata kepada jamaah. Pihak penjaga kaunter mengelompokkan kami kepada kumpulan kecil yang terdiri dari 7 orang dan menimbang barangan dalam kumpulan kecil 7 orang itu. Jadi terdapat 6 kumpulan yang mesti diuruskan secara bergilir-gilir, jadi inilah yang melambatkan proses “check-in” di kaunter AirAsia Colombo. Mengenai barangan yang dibawa di tangan, tiap orang mesti menimbang agar jangan melebihi 10 kilogram. Proses ini mengambil masa hampir 1 jam.
Umi (kiri) dan Yati (Kanan)

Kemudian kami berpusu-pusu pula untuk beratur menaiki pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur. Pemeriksaan pintu terakhir ini agak ketat juga, kasut kena buka, tali pinggang juga kena buka. Kalau penggera pada pintu masuk berbunyi, si empunya badan mesti berundur dan cari apa yang membuat penggera itu berbunyi, jika terjumpa barangan demikian mesti dimasukkan dalam kotak khas untuk masuk ke pengimbas lain. Sekali lagi imbasan akan dibuat terhadap badan kita dan jika penggera tidak berbunyi, kita akan dibenarkan masuk ke ruang menunggu masuk ke pesawat AirAsia.

Pemeriksaan ketat ini berlaku di pintu masuk lapangan terbang di Sri Langka, dan Amman, Jordan. Sementara ketika kami ingin masuk ke Palestin, pemeriksaan lebih ketat dijalankan. Bukan saja kasut dan tali pinggang dibuka, tetapi kad SIM “handphone” mesti dipisahkan dengan “handphone”, dompet duit pula mesti dikeluarkan untuk diimbas secara lebih teliti. Ini terjadi dengan beg duit saya yang diimbas secara sangat teliti melihatkan perwatakan saya yang berjambang dan nampak macam “pejuang” Palestin. Inilah gambaran ketakutan mereka terhadap manusia lain yang mereka anggap jahat macam mereka (Yahudi) juga.
Isteri penulis (Umi) di Depan Garden Tulip

Penerbangan dari Colombo ke Kuala Lumpur berjalan dengan baik dan hampir separuh daripada penumpang AirAsia ialah warga Malaysia. Sepanjang perjalanan tiada apa yang boleh dilihat, saya mengambil kesempatan ini untuk banyak berehat dan membaca apa-apa bahan yang ada di poket depan saya. Kadang-kadang kerana terlalu penat tertidur. Kami selamat tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) jam 2.30 petang waktu Malaysia setelah menempuh perjalanan selama lebih kurang 4 jam.

Anak kedua kami, Rina Fadhilah menunggu untuk menjemput kami pulang ke rumah dengan banyak barangan yang dibawa pulang.

Begitulah cerita dalam Kembara Spiritual saya kali.

Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Kg. Teras Jernang, 19 Mei 2012.

No comments:

Post a Comment