Saturday 5 May 2012

Kembara Spiritual - Siri 9


9. Perjalanan Pulang Melalui Jordan
Wawan dan Keluarga di Mekah

Selepas Ziarah Luar sekitar Kota Mekah dan kemudian kami solat Zuhur di Mesjidil Haram kami membuat temujanji pertemuan dengan Wawan. Beliau ialah anak saudara kami sebelah isteri saya yang tinggal di Jeddah sejak enam tahun yang lalu. Sudah dua kali kami bertemu beliau, kali pertama tahun 2010 ketika berumrah pada awal puasa tahun tersebut dan ini kali kedua.

Ibu Wawan, yang kami panggil sebagai Mbak Narti (Sunarti) yang tinggal di Bandung sering berpesan agar kami jumpa Wawan kalau ke Mekah, jadi untuk silaturahim keluarga kami pasti meluangkan masa untuk bertemu Wawan dan isteri serta dua anak-anaknya yang lucu yang masih kecil. Mbak Narti ialah sepupu sebelah ibu isteri saya yang berasal dari Semarang, Jawa Tengah.
Kawan Wawan dari Qatar

Temujanji di Mekah agak mudah sekarang kerana banyak bangunan tinggi yang boleh dijadikan titik pertemuan. Kami memilih untuk bertemu di bawah jam besar, di Safa Tower. Sambil bersembang panjang kami menikmati minuman petang bersama Wawan dan keluarga, dan secara kebetulan juga kawan baik mereka yang bekerja di Qatar juga hadir sama. Lebih meriah kali ini kerana pertemuan tiga keluarga, dua keluarga dari Indonesia dan satu keluarga dari Malaysia.

Selain bertanya khabar dan sedikit pertukaran buah tangan kami juga mengucapkan terima kasih kepada Wawan kerana bersusah payah dari Jeddah ke Mekah untuk bertemu kami, patuh betul Wawan dengan pesan ibunya agar setiap kali kami ke Mekah beliau pasti akan mengunjungi kami di Mekah. Kami berpisah sebelum azan Asar dilaungkan, sempat kami mencari tempat solat yang biasanya di sebelah atas bahagian Safa dan Marwah.

Pada 17 Mac 2012 (Sabtu), selesai solat Zuhur di Mesjidil Haram kami diarahkan untuk menurunkan barangan ke lobi dan bersiap sedia untuk perjalanan pulang melalui Jeddah sebelum jam 2.30 petang. Entah apa yang berlaku dan diluar pengetahuan kami, bas hanya tiba jam 4.00 petang. Lewat satu jam setengah. Oleh kerana kami sedang berumrah dan ingin melatih diri untuk banyak bersabar, maka kejengkelan ini disimpan saja dalam hati, namun hati ini tertanya-tanya kenapa begitu lewat kedatangan bas.
Barangan Jamaah di Lobi Hotel

Seperti biasa, jejaka perkasa lapan orang dengan dibantu oleh pemandu bas, kami memasukkan semua barangan jamaah ke dalam bas secara teratur dan pantas. Jamaah wanita kami arahkan untuk menaiki bas dan jangan menggangu kami memasukkan semua barangan jamaah ke dalam bas. Kami memberi jaminan tiada satu beg pun yang akan ditinggalkan. Semuanya beres dalam masa lima belas minit.

Bas mula bergerak meninggalkan Mekah sekitar jam 4.30 petang, rasa lega kerana boleh berehat dalam bas selepas mengalami tawaf wida’ (tawaf perpisahan) yang sesak yang kami lakukan selepas zuhur tadi. Rasa syukur yang amat sangat kerana berhasil mengerjakan umrah dengan baik, semoga Allah SWT menerima amal kami. Saya dan keluarga hanya boleh melakukan tiga kali umrah pada kesempatan ini kerana cuaca yang sangat panas dan tidak mahu memberatkan kedua anak kami yang baru pertama kali berumrah. Insya Allah, pada kesempatan yang lain kami akan cuba mengajak anak-anak kami yang lain untuk sama-sama mengerjakan umrah sebelum mereka mengerjakan haji.
Bangunan LTH di Mekah

Amalan umrah boleh dianggap sebagai suatu persiapan awal untuk mengerjakan haji kemudian nanti. Pengalaman saya mengerjakan dua kali haji sangat berbeza dengan umrah kerana jumlah kehadiran manusia yang akan melakukan ibadah haji. Ramainya manusia pada musim haji boleh dikatakan melebihi 3 juta orang, tetapi umrah hanya sekitar ratusan ribu sahaja. Tahun 1985, ketika membawa ibu saya mengerjakan haji, bangunan pencakar langit masih belum banyak seperti sekarang ini. Berbeza sungguh keadaannya ketika saya membawa isteri dan kakak saya Aishah mengerjakan haji pada tahun 2006, bangunan pencakar langit mulai dibangun dan ketika itu Al-Safa Tower sudah siap dibangun dengan ketinggian 117.98 meter dan mempunyai 16 tingkat. Manakala yang sedang dibangun dengan pesat ketika itu ialah “Makkah Clock Royal Tower” atau Menara Jam Diraja Mekah yang berada dalam kompleks Abraj Al-Bait. Menara jam yang setinggi 601 meter, dan mempunyai 95 tingkat telah siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Dari dataran Kaabah kita boleh melihat jam besar yang terpampang di bangunan Menara Jam Diraja Mekah itu dengan jelas dan sangat membantu dalam perancangan masa yang rata-rata kurang diperhatikan oleh ummat Islam tentang pentingnya pengurusan masa yang berkesan. Mungkin dengan tujuan itu jam setinggi itu didirikan.

Ketika berumrah pada tahun 2010 bersama Pakej Andalusia pimpinan Ustaz Daud Che Ngah, saya sempat berbuka puasa di Restoran D’Saji, milik Felda yang berada di sekitar kompleks Abraj Al-Bait, tingkat empat. Restoran D’Saji di Mekah telah dirasmikan pada 3 April 2007. Selesai saja berbuka puasa, semua jamaah yang berada di sekitar restoran tersebut ikut solat magrib berimamkan Imam Masjidil Haram yang suaranya jelas kedengaran melalui pembesar suara. Memang sudah disiapkan tanda-tanda saf solat di bangunan itu sehingga jamaah tidak terkejar-kejar untuk turun ke Mesjidil Haram yang penuh sesak dengan jamaah yang datang satu jam lebih awal ke Masjidil Haram.
Masjidil Haram dari Arah Abraj Al-Bait

Mungkin juga ada jamaah yang memilih untuk solat di bangunan-bangunan berdekatan atau di tempat penginapan mereka yang berdekatan dengan Masjidil Haram bagi mengelak kesesakan jamaah yang bagitu ramai. Saya tidak pasti apakah hukumnya mengerjakan solat yang secara demikian itu. Para ustaz dan ustazah yang lebih arif dapat memberikan petunjuk yang lebih jelas.

Lamunan saya ke masa lalu terhenti apabila bas sampai ke Mesjid Terapung di Jeddah setelah menempuh perjalanan selama 2 jam. Jarak antara Jeddah dengan Mekah hanya 64 km, namun oleh kerana kesesakan jalan waktu yang diambil untuk perjalanan itu agak lama. Sebenarnya Mesjid Terapung ini bukan benar-benar terapung seperti perahu atau kapal di atas air, namun sebahagian daripada mesjid itu menjulur ke Laut Merah dan air laut boleh lalu pada bahagian bawah mesjid tersebut. Tidak ada apa-apa yang dapat kita lihat selain daripada mesjid itu. Angin laut waktu petang menerpa dengan ganas ke wajah pelawat, ada pelawat yang bermain air di gigi pantai, namun ombak petang yang agak kuat membuat mereka lari kembali ke darat bagi mengelak percikan air Laut Merah itu.
Di depan Mesjid Terapung Jeddah

Seterusnya, kami bergerak ke Lapangan Terbang Jeddah untuk check-in ke Amman, Jordan. Destinasi Amman, Jordan memang sudah diatur oleh pengendali pakej, keinginan kami ialah terus ke Kuala Lumpur, tapi kami terpaksa juga mengikuti pakej ini sampai ke destinasi yang diatur. Ketika kami sampai di Lapangan Terbang King Abdel Aziz ramai pekerja lapangan dari Bangladesh berebut untuk mengangkat barang-barang kami, namun seperti biasa kami ingin urus sendiri

Kami membuat temujanji dengan kawan facebook kami, Hajar Anas yang bekerja di Hospital Jeddah sebagai nurse. Teruja juga untuk bertemu beliau kerana kami tidak sempat bertemu beliau di Mekah atau Madinah. Setelah bersahabat melalui facebook untuk lebih daripada tiga (3) bulan, inilah pertama kali kami akan bersua muka secara nyata. Saya dan isteri memang tertunggu-tunggu kesempatan untuk pertemuan ini.
Mesjid Terapung Jeddah

Hajar membawa seorang teman bersamanya berjumpa saya dan isteri di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, namanya Ya Wei.  Kedua-dua mereka berasal dari Ipoh, Perak.

Walau pun sebentar tapi perjumpaan itu sungguh bermakna kerana sebelum ini kami hanya berjumpa di “facebook” saja, tetapi kali ini secara bersemuka. Beliau membawakan kami mee goreng yang beliau masak sendiri, siap dengan lauk udang dan ayam di dalamnya. Kebetulan pula kami pun sedang lapar, jadi apa lagi lahaplah kami makan mee goreng itu. Banyak juga mee goreng yang dibekalkan itu sehingga boleh dikongsi bersama beberapa orang teman yang lain.
Di Lapangan Terbang Jeddah bersama Hajar

Flight kami ke Amman, Jordan yang sepatutnya bertolak jam 1.05 pagi, diundurkan ke jam 3.00 pagi. Jadi terpaksalah kami melepak di ruang menunggu lapangan terbang bersama dengan ramai lagi penumpang “Royal Jordan” ke Amman. Disebabkan kami keletihan, maka kami pun tertidur dalam keadaan duduk hampir dua jam sehinggalah kami dikejutkan untuk mula menaiki kapal terbang “Royal Jordan” ke Amman. Penerbangan dari Jeddah ke Amman mengambil masa 1 jam dan kira-kira jam 4.00 pagi kami sampai di Amman dam ditempatkan di Golden Tulip, sebuah hotel bertaraf lima (5) bintang. Barangan jamaah sudah diurus oleh “Royal Jordan” untuk terus ke Colombo, destinasi kami selepas Amman. Kami hanya membawa barangan dalam beg kecil saja ketika berehat di Hotel Golden Tulip.
Hajar Anas, Umi dan Ya Wei

Jam 4.00 petang kami diarah untuk berkumpul di lobi hotel, untuk dibawa ke Lapangan Terbang Queen Alia, Amman untuk penerbangan jam 7.30 malam ke Colombo.
Cuaca dingin Amman mengigit persendian saya, maklumlah umur sudah enam (6) siri, sudah mula terasa sakit sana sini kalau memaksakan diri dalam sesuatu pekerjaan, namun rasa puas menjalar dalam hati kerana diberikan layanan istimewa di Amman yang kotanya bersih dan teratur. Jordan menjadi negara kedua rakyat palestin kerana separuh dari penduduk Jordan berasal dari Palestin. Mereka diusir secara keras dan juga halus untuk meninggalkan Palestin, dan negara jiran terdekat ialah Jordan.

**** hingga jumpa di Siri ke-10 *****

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 5 Mei 2012.

No comments:

Post a Comment