Thursday 11 August 2011

Mengajar Matematik Business di Uzbekistan

Di depan Fakulti
Bazar Barang Lama yang masih boleh dipakai














Dalam minda saya telah tertanam satu semangat akhir-akhir ini untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu penulisan sehari. Menurut Kaedah Kawakita Jiro, kita tulislah apa yang kita minat dan terlintas dalam fikiran kita ketika mana kita ingin sangat menulis. Pernah juga saya merungut dalam hati kenapa kesedaran ini tidak timbul masa saya muda-muda dulu sekitar umur 30 hingga 50 tahun? Tetapi saya teringat juga bahwa kita jangan pernah menyesali apa yang telah berlalu. Semua itu sudah menjadi takdir Allah. Pada umur 63 tahun sekarang, minat yang mendalam itu baru muncul dalam hidup saya.
Bersama seorang pelajar Uzbek
Train dalam kota
Saya pernah terdengar suatu hadis Nabi Muhammad saw yang mengatakan bahwa jika ada sebiji benih di tangan dan ketika itu akan segera kiamat, maka tanamlah biji benih itu. Maknanya setiap masa tidak kira bila, kita kena tetap berusaha. Pihak yang akan menilai dan merestui kerja kita ialah Allah.

Kali ini saya ingin sangat menulis tentang pengajaran saya di Tashkent, Uzbekistan dalam matapelajaran “Business Mathematics” selama sebulan dan masa itu dalam bulan puasa. Saya sampai di Uzbekistan beberapa hari sebelum puasa, kemudian puasa selama tiga minggu dan kembali menyambut Raya Puasa di Malaysia.
Pelajar-pelajar Uzbek saya

Saya berangkat pada 28 Disember 1997 dan kembali ke Malaysia pada 25 Januari 1998. Dilantik sebagai Professor Madya dalam Matematik oleh pihak penganjur iaitu Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Renong Berhad. Saya mengajar di “Tashkent State Technology University (TSTU)” di Kota Tashkent, Uzbekistan. Orang yang memungkinkan saya ke Uzbekistan ialah Dr Yahya Mat Hassan, Pengurus Bahagian Pendidikan Renong Berhad. Dr Yahya ialah kawan kami di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkhidmat di Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar (FSAS) sebelum berpindah khidmat dengan Renong Berhad, atas cadangan beliau saya dipilih.
Pasukan Pemandu kami di Uzbek

Catitan saya selama berada di Tashkent masih saya cari, namun nukilan ini saya buat melalui memori yang masih tersisa. Nasib baik saya tidak “delete” memori itu walau pun sudah ada dalam “trash bin”.

Ketika saya tiba di Tashkent, salji sedang turun dengan lebatnya. Suhu ketika itu berada di bawah 10 darjah celcius (minus 10). Melalui pertolongan seorang teman saya terpaksa mencari baju sejuk yang agak tebal di pasar luakan (pasar barang lama) dan membeli satu helai. Saya juga memerlukan kasut tebal dan sarungnya hingga mendekati lutut. Lebih sejuk daripada cuaca ketika saya di England tahun 1977 hingga 1979. Di mana-mana salji tebal disodok (kaut) oleh kereta penyodok yang dicipta khas untuk membuang salji dari jalan raya, kalau tidak kereta tidak boleh jalan. Saya disediakan sebuah kenderaan dan seorang pemandu. Dialah yang membantu saya untuk ke mana-mana, kadangkala saya minta dia tukar wang dollar US dengan wang tempatan. Kata dia di pasar tidak resmi lebih tinggi nilainya.


Bersama Wan Rozaimi dan PA
Waktu itu orang-orang sana tidak simpan wang di bank, sebab kerajaan akan mengambil sedikit  wang mereka apabila sampai tempoh enam bulan. Cukailah tu agaknya. Mereka simpan wang di rumah saja. Kami pun bawa wang secukupnya saja supaya boleh bertahan selama satu bulan.
Saya diberikan satu rumah, duduk seorang sebab isteri tak boleh bawa, jadi kena masak sendirilah untuk sahur. Juadah berbuka boleh beli apa-apa di pasar tetapi biasanya saya akan balik awal untuk masak buat berbuka puasa. Kegemaran saya ialah sop ayam, masukkan sedikit halia, bawang, kentang, cebisan ayam dan sedikit garam dengan air. Tunggu mendidih, angkat dan makan jika ketika bersahur. Ketika berpuasa kenalah tunggu waktu berbuka masuk. Tidak ada TV dan radio pada masa itu. Uzbekistan baru dapat kemerdekaan dari Rusia, jadi masih dalam peringkat pembangunan awal.
Tenaga Pengajar dari Malaysia

Kelas dikendalikan dalam Bahasa Inggeris berdasarkan modul yang disediakan oleh UKM agar seragam dengan silabus UKM, oleh kerana sejuk mereka duduk berdekatan, tak kira lelaki ke wanita. Perangai ini mereka bawa juga masa saya berikan tes dan peperiksaan, puas nak minta mereka duduk jauh tapi tak makan saman diorang ni, sebentar kemudian berdekatan lagi.

Wanita mereka lawa-lawa kata orang Kedah. Ada orang Malaysia sudah terpikat dan berkahwin, cerita mereka seterusnya saya tidak begitu tahu. Saya jumpai ramai orang Arqam yang datang berdakwah di sini ketika itu. Ada mesjid dari bangunan kerajaan yang lama, boleh masuk kasut sekali sebab nak buka kasut tersangat sejuk. Kefahaman mereka tentang Islam juga agak kurang sebab sudah lebih daripada 300 tahun di bawah cengkaman komunis Soviet. Waktu bulan puasa ada dibuat solat tarawikh di Kedutaan Malaysia di Tashkent, tapi saya jarang ke sana sebab cuaca yang sangat sejuk. Biasanya selepas melihat bahan yang akan disampai keesokan harinya saya pun apa lagi melelapkan matalah. Setkan jam loceng, kemudian tidurlah.
Majlis Jamuan Perpisahan

Ketika saya di Tashkent, saya berjumpa dengan Dr Bekbaev Ural dan Dr Rustam Sunchelev, kedua-dua pakar matematik di Institut Matematik Uzbekistan. Kedua-duanya kemudian mengajar di UPM lebih daripada tujuh (7) tahun. Kami bersahabat baik ketika saya kembali bertugas di UPM sehingga pencen pada tahun 2004. Kekuatan mereka ialah dalam sains tulen termasuk matematik tulen yang jarang-jarang boleh dikuasi oleh manusia lain sekiranya tidak betul-betul tekun.
Pengajaran sedang dijalankan

Saya tidak dapat menziarahi makam Imam Al-Bukhari yang disemadikan di Kota Samarkand kira-kira lima jam perjalanan dari Tashkent kerana salji yang sangat tebal dan kenderaan mempunyai risiko untuk hilang kawalan pada musim salji. Rupa-rupanya kepintaran mereka dalam bidang sains bermula dari warisan ulama-ulama lama yang pernah hidup di bumi Uzbekistan. Teringin sangat untuk datang sekali lagi ke sana. Selepas kepulangan saya ramai pakar-pakar ilmu dari Uzbekistan datang menyampaikan ilmu mereka ke Malaysia dan ramai juga yang diambil menjadi tenaga pengajar di university-universiti di Malaysia. Kita kena belajar dari pengalaman mereka dalam membina kekuatan ilmu.
Tenaga Pengajar dan sokongan

Tersangat disayangkan pada masa itu belum ada “digital camera” seperti sekarang, kalau tidak anda boleh melihat kecantikan bumi Uzbekistan dan wanita-wanitanya. Beberapa foto lama saya sertakan sebagai menambah kemas tulisan ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 12 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment