Tuesday 27 March 2012

Kembara Spiritual – Siri 1


1.      Memulakan perjalanan melalui Singapura
Penulis sedang memikirkan perjalanan yang akan ditempoh
Pemergian saya beserta isteri, anak pertama dan anak bungsu merupakan suatu perjalanan yang agak unik dan istimewa. Pertama, kos yang dikenakan adalah murah dan kedua kami melintasi lima (5) buah Negara untuk berumrah kali ini. Paling gembira sekali ialah buat pertama kali kami dapat menjejakkan kami ke tanah Palestin yang di dalamnya ada Masjid Aqsa dan persekitarannya yang diberkati.

Pakej yang dikelolakan oleh Blissful Travel (www.blissfulparadise.com) ini hanya mengenakan RM3,875 untuk setiap peserta. Ini tidak termasuk visa melawat Palestin, Visa Umrah dan beberapa bayaran tambah lain yang jika dikira keseluruhannya tidak pun melebih RM1,000.00, jadi pakej keseluruhan kurang dari RM5,000.00. Lawatan ke Palestin, dan Jordan, ziarah Madinah dan juga umrah di Mekah dikendalikan oleh Mujadeed Travel sebagai rakan kepada Blissful Travel dari Malaysia.

Perancangan asal kami agak berbeza, iaitu isteri dan dua anak saya akan mengikuti pakej Blissful Travel pada minggu pertama dan kedua Mac 2012 dan saya akan mengikuti rombongan ahli matematik dari Malaysia ke konferensi matematik di Universiti Ummul Qura di Mekah pada pertengahan April 2012, sambil menghadiri konferensi kami akan berumrah.

Sebahagian drp ahli rombongan
Rancangan asal pakej isteri dan anak-anak saya ialah ke Mesir, kemudian mengambil jalan darat dengan bas melalui Aqabah ke Medinah, kemudian ke Mekah dan berumrah. Saya mengambil keputusan untuk bersama isteri dan anak-anak kerana memikirkan perjalanan yang jauh dengan bas melintasi Aqabah dari Mesir ke Makkah ialah 1,280 kilometer dan dengan kehadiran saya mereka akan rasa selamat dan saya dapat membantu dalam urusan-urusan yang memerlukan tenaga seorang lelaki. Saya terus membatalkan rancangan ke Konferensi Ummul Qura pada bulan April 2012 dan mengambil keputusan bersama isteri dan kedua anak saya.

Famili Berfoto bersama Pramugari Emirate Air
Oleh kerana pergolakan di Mesir masih belum reda dan masih ada tempat-tempat panas pemberontakan di Mesir, pihak penganjur mengubah haluan ke Palestin dengan perjalanan yang agak berliku iaitu Kuala Lumpur ke Singapura (dengan bas), Singapura ke Colombo (Penerbangan Emirate), Colombo ke Amman (Penerbangan Royal Jordan (RJ)), Amman ke Palestin (dengan bas), Palestin balik ke Amman (dengan Bas), Amman ke Jeddah (Penerbangan Royal Jordan), Jeddah ke Medinah (dengan bas), Medinah ke Mekkah (dengan bas), Mekkah ke Jeddah (dengan bas), Jeddah ke Amman (dengan Penerbangan Royal Jordan), Amman ke Colombo (dengan Penerbangan Royal Jordan) dan Colombo ke Malaysia (dengan Penerbangan AirAsia). Kami mengambil masa 17 hari melaksanakan perjalanan tersebut. Puas kerana harga pakej sangat murah dan dapat melawat lima (5) Negara iaitu Singapura, Jordan, Palestin, Saudi dan Sri Langka.

Rombongan kami yang terdiri dari tiga puluh lapan (38) orang ini berasal dari dua tempat saja iaitu dua puluh lapan (28) orang dari Kampong Raja Uda, Kelang dan sepuluh (10) orang lagi dari kawasan Bangi. Terdapat lapan (8) lelaki dewasa yang perkasa, tiga (3) remaja lelaki dan dua (2) kanak-kanak lelaki. Bakinya, dua puluh lima (25) orang adalah wanita. Jadi, suatu komposisi yang baik kerana lapan lelaki perkasa akan bertugas mengangkat beg-beg rombongan sebanyak tujuh puluh dua beg semuanya, ini tidak termasuk beg “hand carry” masing-masing.

Turut bersama dalam rombongan ialah wakil Blissful Travel iaitu En Yusz atau En Yunus. Beliaulah yang memegang passport, menguruskan tiket, merundingkan apa-apa hal dengan pihak “ground handling” di mana-mana kami singgah atau tiba. Boleh kita katakan bahwa beliau orang pertama yang akan menghadapi apa-apa masalah dan kami sedia membantu sebagai peserta.

Bas bertolak dari Kampung Raja Uda, Kelang jam 12.00 tengahari dan sampai di Mesjid As-Solihin, Teras Jernang sekitar jam 1.30 petang. Bergegas kami menaiki bas dan berniat untuk solat jamak qasar Zuhur dan Asar di perjalanan. Masih banyak waktu kerana waktu penerbangan Emirate di Singapura ialah 12.30 tengah malam. Kami singgih di R&R Pagoh untuk solat Zuhur dan Asar jamak jam 4.10 petang dan kami meneruskan perjalanan ke Singapura selepas solat dan menyelesaikan hajat-hajat lain dan memasuki Tol Senai Utara jam 6.28 petang.

Lepak di LT Colombo
Jam 7.00 malam selesai pemeriksaan kastam memasuki Singapura yang memakan masa selama lebih kurang 30 minit, pihak kastam Singapura hanya meminta kad pengenalan Malaysia saja sebagai pengenalan diri untuk melepasi kastam mereka. 

Kami tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 8.00 malam dan lelaki perkasa lapan (8) orang di kalangan kami telah membantu memunggahkan semua barangan jamaah ke troli dan bersama-sama kami menolak troli ke kaunter daftar masuk untuk penerbangan ke Colombo. Kami diingatkan agar berat beg “handcarry” tidak melebihi 10 kilogram (kg) dan kami mula menimbang beg “handcarry” masing-masing agar tidak melebihi 10 kg. Jika lebih kami terpaksa memasukkan ke beg besar, jika tidak melebihi kami rasa aman membawanya nanti. Beg “handcarry” ini penting kerana kami hanya dibenarkan membawa beg “handcarry” saja untuk perjalanan ke Palestin selama dua hari satu malam.

Selesai pendaftaran kami mencari surau untuk solat jamak Magrib dan Isya, dan surau berada di tingkat bawah Lapangan Terbang Changi. Sambil menunggu penerbangan kami sempat berkenalan dengan rombongan umrah dari Surabaya dan bertanya khabar di Indonesia. Ternyata penerbangan mereka terus ke Madinah dan kemudian ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Penulis mengambil kesempatan untuk rehat

Tepat jam 12.30 pagi kapal terbang Emirate yang membawa kami ke Colombo memulai perjalanan, waktu yang diambil dari Singapura ke Colombo ialah 3 jam. Kami tiba di Colombo tepat jam 1.40 pagi waktu Colombo. Kami terpaksa berehat di Lapangan Terbang Bandaranaike Colombo selama lebih kurang 3 jam sementara menunggu penerbangan berikutnya ke Amman jam 6.25 pagi waktu Colombo. Kami mendapat “boarding pass” pada jam 4.00 pagi dengan tempat duduk yang terpisah-pisah, maklumlah kami transit dan akan mengisi ruang kosong yang ada dalam penerbangan itu ke Amman, Jordan.

Tepat jam 5.10 pagi kami solat berjamaah subuh di Surau Terminal Lapangan Terbang Colombo dan bergegas selepas itu menuju ke terminal untuk berlepas ke Amman. Rupanya kawalan keselamatan lapangan terbang Colombo agak ketat, kami terpaksa membuka tali pinggang, dan kasut. Jika siren berbunyi, kami terpaksa undur dan buang apa-apa yang menyebabkan siren berbunyi. Cara terbaik ialah dengan memasukkan semua benda-benda kecil dalam seluar seperti telefon bimbit, jam, dompet dan lain-lain ke dalam beg tangan atau “backpack” dan membiarkannya diimbas oleh mesin.
Jamaah melepaskan penat di LT Colombo

Jarak Colombo ke Amman, Jordan ialah 3,289 kilometer dan kami dijangka sampai di Amman jam 10.27 pagi waktu Jordan. Perjalanan memakan masa 7 jam 11 minit.  
Jumpa di siri kedua nanti….….. (bersambung)…..

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Mac 2012  





No comments:

Post a Comment