Wednesday 18 April 2012

Kembara Spiritual - Siri 7

Masjidil Haram dari arah Safa-Marwah
7. Tiba di Mekah dan Umrah

Pada tarikh 10 Mac 2012 (Sabtu), kami diarah untuk bersiap-siap membuat ziarah wida’ dan memasukkan semua barangan masing-masing ke dalam beg dan diingatkan agar semua beg berada di lobi hotel tepat jam 2.30 petang.

Selepas solat subuh seperti biasa kami sarapan dulu dan berehat sebentar, ada jemaah yang mengambil kesempatan untuk membeli belah di sekitar hotel, maklumlah akan meninggalkan Kota Madinah sebentar lagi, mungkin teringat ada pesanan keluarga, sahabat dan kawan-kawan yang belum sempat dibeli sebelum ini.
Saie dari Safa ke Marwah dan sebaliknya

Sekitar jam 10.00 pagi saya dan keluarga memulakan ziarah wida’. Saya memasuki Masjid Nabi melalui Pintu As-Salam kerana sebaik saja kita masuk dan berbaris untuk menziarahi Rasulullah SAW barisannya lurus menuju ke makam Rasulullah SAW, makam Sayidina Abu Bakar As-Sidhiq dan makam Sayidina Umar Al-Khatab. Oleh sebab barisannya agak macet (jem), saya mengambil jalan melalui Raudhah (barisan kelima atau keenam dari depan) dan ternyata ada rezeki untuk solat dua rakaat di situ kerana ada yang mengosongkan tempat itu setelah selesai solat. Saya berdoa untuk boleh datang lagi dan memohon maaf kepada Allah dan Rasulullah SAW kerana berada sebentar di Madinah, cuma tiga hari dua malam. Deraian air mata tidak tertahan lagi, entah bila pula akan dapat saya berkunjung ke sini lagi. Rasanya seperti tidak mahu berpisah dengan Rasulullah SAW dan ingin untuk terus berada di Madinah.

Selesai solat zuhur, makan siang, berkemas-kemas barang dan memeriksa sekali lagi jika ada apa-apa yang tertinggal atau terambil barangan hotel kami pun mula menaiki bas yang telah disediakan, pekerja sudah pun memasukkan barangan kami ke dalam bas dengan dibantu oleh sekumpulan lapan jejaka perkasa. Tepat jam 3.10 petang bas mula bertolak meninggalkan Kota Madinah.

Sebak hati ini untuk meninggalkan Kota Madinah yang di dalamnya ada jasad manusia termulia dan teragung di dunia dan di akhirat. Rasanya baru sebentar kami berada di Kota Suci ini, walau pun secara kiraan hari kami sudah pun berada 3 hari 2 malam di sini. Walau pun ini ialah kali kelima saya berada di Kota Madinah setelah datang pada tahun 1984, 1985, 2006, 2010 dan kini 2012, namun rasa tenang dan tenteram tidak ada di mana-mana tempat yang pernah saya kunjungi. Aura Rasulullah SAW memang membuat saya rindu untuk datang berkali-kali ke Madinah.

Bas mulai bergerak menuju ke Kota Mekah dalam keadaan hatiku belum mahu melepaskan Kota Suci Madinah. Sedih menyelubungi jiwaku, mungkin juga jiwa-jiwa jemaah yang lain untuk meninggalkan kota ini. Penuh harapan dalam jiwa ini untuk dapat datang lagi dan berdoa agar Rasulullah SAW sudi menjemput kami lagi.

Lamunan perasaan tiba-tiba terhenti dan jemaah bingkas bangun dari tempat duduk masing-masing di bas untuk solat sunat ihram di Mesjid Bir Ali dan selepas itu berniat umrah. Jarak 12 kilometer yang ditempuh bas dari Madinah ke Bir Ali tidak terasa.

Perjalanan ke Mekah agak memenatkan juga, jarak yang lebih 400 kilometer itu kami tempoh dengan rela kerana Allah SWT dan kerana Rasulullah SAW. Wakil syarikat Blissful Paradise berulang kali membaca sistem mesej singkat (sms) dari Puan Hayati agar semua jemaah memaafkannya jika hotel di Mekah nanti kurang selesa dan agak jauh dari Masjidil Haram.

Tepat jam 10.00 malam kami tiba di Mekah, bas berhenti betul-betul di depan Hotel Rhashad Nageeb, kumpulan lapan jejaka perkasa terus bekerja menurunkan barangan jemaah dan membawanya memasuki lobi hotel. Terperanjat betul saya dengan hotel ini kerana kelihatannya baru siap dibangun dan sangat cantik, berbeza betul dengan sms Puan Hayati tadi. Ketika mendengar pengumuman Sdr Yunus tadi pun saya sudah pasrah kerana tujuan utama bukan berseronok dengan hotel mewah tapi kami hanya perlukan tempat untuk berehat saja sementara menunggu waktu solat seterusnya, jika ada makanan disediakan kami makan, jika tidak boleh makan di luar.

Jemaah diarahkan untuk makan malam dulu di Tingkat R (Restoran) dan selepas itu masuk ke bilik masing-masing untuk bersiap-siap melakukan tawaf dan saie. Saya dan keluarga mendapat bilik yang agak besar dengan enam katil, bilik bernombor 708 itu luas dan sangat selesa, lengkap dengan pendingin udara, dan bilik air, yang tiada ialah telefon. Televisyen yang disediakan pun kami tak sempat sentuh, cuma dijadikan tempat meletak barangan ringan seperti berus gigi dan sebagainya.

Tepat jam 11.00 malam kami meneruskan kerja umrah yang belum selesai iaitu Tawaf dan Saie. Oleh sebab saya dan isteri pernah datang sebelum ini jadi ibadah Tawaf dan Saie dapat dilakukan dengan agak lancar. Isteri memimpin kedua-dua anak perempuan (sulung dan bongsu) kami dalam mengerjakan kedua-dua ibadah itu kerana inilah pertama kali kedua-duanya menjejakkan kaki ke Mekah. Saya seperti biasa suka bersendirian dan mengambil masa sendiri sambil melayan fikiran yang berbagai-bagai. Memerhatikan gelagat manusia dari seluruh penjuru alam, ada yang besar seperti orang-orang Turki dan Uzbeksitan, ada yang kecil seperti orang-orang Malaysia, Indonesia, Cina, India dan Pakistan. Ramai juga jemaah yang membawa anak kecil, mungkin untuk memberikan pendedahan awal mereka kepada ibadah umrah.

Kasihan sekali saya lihat anak sulung saya menghabiskan Saie. Jalannya semakin lama semakin lemah dan lambat. Nampak sangat kepenatannya. Adik bongsunya agak lancar kerana selalu juga bermain futsal dan boling semasa di Malaysia sebelum berangkat ke Mekah, ada stamina yang agak kuat. Beberapa kali saya ajak anak sulung berhenti rehat bagi menghilangkan kepenatan, dan berjalan semula apabila penat sudah agak reda. Kira-kira jam 1.00 pagi baru selesai Saie dan bertahalul (bergunting rambut) bagi melepaskan diri dari ikatan syarat-syarat ibadah Umrah. Segera kami mengatur langkah pulang ke hotel yang jaraknya sekitar 1,500 meter dari Masjidil Haram, kira-kira jam 2.00 pagi baru boleh melelapkan mata dan kami akan bangun semula jam 4.00 pagi untuk solat Subuh di Masjidil Haram, waktu Subuh ialah 5.15 pagi.

Selepas pulang dari solat Subuh di Masjidil Haram dan bersarapan, kami pun “landing” atas katil seolah-olah meng”qodha”kan keletihan yang dialami semalam dan tertidur hingga jam 10.00 pagi. Namun selepas terjaga, kami bergegas mandi dan bersiap sedia pula untuk melakukan “tawaf kidai” iaitu mengunjungi tempat-tempat menjual barangan yang ingin dijadikan ole-ole apabila pulang ke Malaysia nanti. Saya pulang menyimpan barangan ke hotel sementara isteri dan anak-anak meneruskan perjalanan ke Masjidil Haram untuk menunggu solat Zuhur yang akan masuk pada pukul 12.30 tengah hari. Pada jam 11.45 pagi barulah saya menghayunkan langkah menuju ke Masjidil Haram yang memakan masa selama 15 minit saja dengan langkah perjalanan yang agak laju. Jika diperlahan langkah pun akan hanya mengambil masa 25 minit saja.

Kedudukan Hotel Rhasad Nageeb agak strategik juga kerana depan hotel mengadap jalan besar dan belakangnya menghadap ke Masjidil Haram. Kami akan keluar dari belakang hotel untuk ke Masjidil Haram dan berjalan menuruni bukit menuju ke kawasan Safa-Marwah. Hotel Lembaga Urusan Tabung Haji (LTH) Malaysia yang baru siap dibina berada di seberang jalan Hotel Rhasad Nageeb dan jaraknya dari Masjidil Haram juga adalah sekitar 1.5 km. Pada anggaran saya Hotel LTH boleh menempatkan sekitar 4,000 jemaah haji.

Kami tinggal di Mekah selama 7 hari 6 malam dan dapat melakukan tiga (3) kali umrah termasuk umrah yang pertama ketika datang dari Madinah yang bermiqat di Bir Ali. Umrah kedua bermiqat di Jaaranah dan Umrah ketiga bermiqat di Tana’im. Kami, secara berjemaah dapat melakukan sekali majlis membaca Yasin dan Tahlil bertempat di Tingkat Satu, bahagian Marwah, Masjidil Haram sejurus selepas solat Magrib dan selesai menjelang waktu solat Isya.

Secara rutin, masing-masing jemaah berlomba-lomba untuk melakukan tawaf sunat dan juga melakukan umrah secara pasukan kecil atas inisiatif sendiri-sendiri, namun ketika kami di Mekah “mutawif” yang disediakan untuk ziarah luar tidak begitu bersedia dalam tugas beliau, terutama dari segi pakaian dan persediaan mengenai sejarah tempat-tempat yang dilawati. Adalah diharapkan agar pada masa yang akan datang, mutawif yang lebih kompeten dapat disediakan supaya jemaah dapat manfaat daripada lawatan yang diadakan. Kami sangat berpuas hati dengan mutawif-mutawif yang disediakan di Palestin, Jordan dan Madinah. Mereka menguasai bahan sejarah yang ingin diceritakan dan menguasai cara penyampaian yang baik dan menarik.

Bersambung di Siri 8 …….

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 19 April 2012

No comments:

Post a Comment