Tuesday 1 May 2012

Kembara Spiritual – Siri 8


8. Ziarah Luar di Mekah dan sekitarnya

Jabal Thur
Hari ketiga kami di Mekah, iaitu pada 13 Mac 2012 pihak Blissful Paradise telah mengatur acara Ziarah Luar. Rencananya akan melawat Gua Thur, Jabal Rahmah, Arafah, Muzdalifah dan Mina. Akhir sekali akan singgah di Mesjid Jaaranah untuk solat sunat Ihram bagi yang akan melakukan umrah dan berniat di miqat itu.

Jemaah umrah kami hanya melihat Gua Thur ini dari jauh saja kerana masa tidak mengizinkan untuk berada lama di sini.

Tempat pertama yang kami ziarahi adalah Jabal Thur, di bawah kami kongsikan dengan para pembaca sekelumit sejarah yang pernah berlaku di Jabal Thur ini.
1.      
S   8.1 Sejarah Jabal Thur

Di Jabal Thur, Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar RA berlindung atas perintah Allah daripada ancaman pembesar Quraish yang ingin memusnahkan perjuangan beliau. Peristiwa ini berlaku ketika baginda sedang dalam perjalanan melakukan Hijrah ke Madinah.
Unta utk berfoto

Gua tersebut memiliki 2 pintu iaitu disebelah barat dan sebelah timur. Pintu disebelah baratlah yang digunakan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar untuk masuk. Pintu gua barat tingginya hanya 1 meter sekaligus lebih kecil dari pintu timur. Pintu timur hanya baru dikorek bagi membolehkan pelawat masuk dan melihat keadaan gua. Pendaki atau pelawat yang berhasrat masuk ke gua thur harus mendaki sampai ke pintu gua, pendakian memakan masa 1 jam setengah bergantung kepada kekuatan stamina.

Gua Thur banyak menyimpan sejarah pahit getir Rasullullah S.A.W. dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh umat manusia. Dalam kisah Hijrah Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah. Rasulullah telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah pada malam hari, umat Islam pada waktu itu telah berbondong-bondong meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah lebih awal, Rasulullah dan Saidina Abu Bakar pula menyusul kemudian.
Fiza dan Umi di Jabal Thur

Pada malam hari 26 Safar 1 Hijrah Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah meninggalkan rumah baginda dan berhijrah ke Madinah. Sebelum Nabi Muhammad meninggalkan rumah Nabi telah meminta Saidina Ali Bin Abi Talib dengan izin Allah untuk menggantikan baginda tidur diatas katil baginda.

Nabi Muhammad juga telah membaca Surah Yaasin sebelum meninggalkan rumah, dalam pada itu para pemuda dan pemuka Qurasy yang sedang mengawal rumah Nabi telah tertidur nyenyak beramai-ramai atas kuasa Allah. Tujuan mereka semua mengawal di perkarangan rumah Nabi adalah untuk memastikan mereka dapat membunuh Nabi apabila Nabi keluar menunaikan Solat Subuh.

Menjelang larut malam, Rasulullah SAW keluar tanpa pengetahuan pemuda Quraisy. Bersama-sama dengan Abu Bakar baginda bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur. Sesampai ke pintu gua, Saidina Abu Bakar akan memasuki dahulu pintu gua, beliau akan memastikan tiada kelibat ular, kala jengking, dan lain-lain binatang atau duri bahaya di dalam gua.

Sesudah dipastikan tiada binatang dan anasir bahaya, barulah Nabi memasuki gua. Dalam perjalanan malam itu, mereka berdua juga ditemani oleh Abdullah bin Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar). Pada waktu siang hari keesokannya, Abdullah telah meninggalkan mereka dan kembali ke Makkah untuk melihat keadaan di kota Makkah serta mengkhabarkan berita dari Makkah kepada Nabi.

Pada malam seterusnya Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar telah tidur dalam gua, Nabi telah membaringkan kepalanya diatas paha Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar membiarkan Nabi tidur diatas paha dan tidak meggerakkan kakinya sedikit pun kerana beliau tidak mahu mengganggu Nabi tidur.
Tiba-tiba tapak kaki Saidina Abu Bakar yang dikujurkan itu telah dipatuk oleh ular berbisa. Dalam menahan kesakitan dan kepedihan yang amat atas patukan ular itu, Saidina Abu Bakar telah menitiskan air matanya, dan jatuh ke pipi Rasulullah, dan membuat Rasulullah terjaga dari tidur.

Melihat Saidina Abu Bakar menangis, Rasulullah terus bertanya mengapa beliau menangis, Saidina Abu Bakar memberitahu bahawa kakinya telah dipatuk ular sehingga beliau tidak dapat menahan kesakitan akibat patukan itu.

Mendengar jawapan itu, Rasululah terus meludahi kesan patukan dan mengusapnya, maka secara langsung kesan patukan hilang serta-merta dan tiada lagi rasa sakit. Kerana mukjizat Rasul suci itu mereka berdua bersyukur atas rahmat Allah.

Paginya, kelihatan pihak Quraisy berusaha sungguh-sungguh mencari mereka berdua. Pemuda-pemuda Quraisy membawa pedang dan tongkat sambil mundar-mandir mencari ke segenap penjuru.

Ketika itu pemuka Quraisy telah bergerak menuju ke gua tempat persembunyian Nabi dan Abu Bakar. Lalu orang-orang Quraisy itu terdengar bunyi bising cicak yang datang dari arah gua. Pemuka Quraisy mula syak bahawa adanya orang di dalam gua tersebut. Nabi telah membaling batu ke arah cicak, dan langsung cicak itu mati.

Pemuda Quraisy tetap datang menaiki gua itu, tetapi kemudian ada yang turun kembali. Pemuda Quraisy berbicara sesama sendiri “Kenapa kau tidak menjenguk ke dalam gua?” tanya kawan-kawannya. “Ada sarang labah-labah di tempat itu, yang memang sudah ada sejak sebelum Muhammad lahir,” jawabnya. “Saya melihat ada dua ekor burung merpati hutan membuat sarang di lubang gua itu. Jadi saya mengetahui tak ada orang di sana.”

Demikanlah kuasa Allah yang Maha Esa menyelamatkan hambaNya sekelip mata sahaja, jika pemuka-pemuka itu ada yang menjengok ke dalam gua pasti akan melihat Nabi dan Sayidina Abu Bakar di dalam. Tetapi orang-orang Quraisy itu makin yakin bahawa dalam gua itu tidak ada manusia tatkala dilihatnya ada cabang pohon yang terkulai di mulut gua. Tak ada jalan orang akan dapat masuk ke dalamnya tanpa membuang dahan-dahan itu. Sesungguhnya Allah telah membuat sesuatu itu dengan sekelip mata tanpa ada yang menduga. Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar tinggal dalam gua itu selama tiga hari tiga malam.

Kini gua ini masih kekal dikunjungi sebagai salah satu destinasi pelancongan ziarah ke tanah suci oleh penganut Islam (Muslim) khususnya ketika Ummat Islam menunaikan ibadah Umrah atau pada musim Haji di bulan Zulhijjah.

Tempat lawatan kami yang kedua adalah Jabal Rahmah. Ia terletak dalam kawasan Arafah. Tempat Ummat Islam berwukuf nanti ketika mengerjakan Ibadah Haji.
2.      
J    8.2 Jabal Rahmah

Di Hadapan Jabal Rahmah
Jabal Rahmah ini menjadi destinasi utama penziarah kerana Jabal Rahmah mempunyai tarikan tersendiri dalam kisah cinta Nabi Adam dan Hawa. Setelah dikeluarkan dari syurga angkara godaan Iblis laknatullah, Nabi Adam dan Hawa bertemu kembali setelah berpisah selama 40 tahun lamanya. Sehingga kini, bukit ini masih dalam bentuk batu bongkah dengan sebuah tugu sebagai tanda titik pertemuan Nabi Adam dan isterinya Hawa. Ramai jamaah yang mendaki bukit yang sederhana curamnya serta berdoa agar Allah SWT merahmati kehidupan rumah tangga mereka agar aman, bahagia dan berkat. Jabal Rahmah yang membawa makna bukit penuh rahmat, selalu dipenuhi peziarah karena mempunyai sejarah penting dalam Islam. Bagi yang belum berkahwin, mereka akan berdoa agar diberikan Allah jodoh yang baik.

Menikmati "Ice-Cream" di Jabal Rahmah
Infrastruktur di Jabal Rahmah ini agak bagus kerana sudah disediakan tangga untuk menaiki bukit ini sehingga ke puncak bukit, juga di sekitar bukit dan di tempat letak kereta terdapat papan tanda bagi mengingati jamaah tentang larangan ketika berada di Jabal Rahmah ini.

Terdapat ramai peniaga di sekitar Jabal Rahmah ini yang menjual bermacam-macam jualan untuk jamaah, dan tidak ketinggalan “ice-cream” dan minuman yang dijual di atas kenderaan “pick-up”. Ketika waktu panas begini, “ice-cream” dan minuman sejuk sangat laris.

Juga terdapat unta yang dihiasi dengan bunga-bungaan berwarna warni bagi menarik pelancong untuk menaiki unta dan mengambil gambar dengan harga sekitar 20 riyal Saudi, namun harga boleh dirundingkan dengan pemilik unta tersebut bagi mendapatkan harga yang lebih murah.

Tugu di atas Jabal Rahmah
Antara barang jualan lain ialah bermacam-macam cincin, tasbih, “key chains” serta barangan elektronik buatan Cina, tetapi jangan lupa menawar dan mereka fasih berbahasa Melayu dan Indonesia.

Saya memilih untuk berada di bas kerana sudah lima kali ke sini, dan kemudian turun dari bas untuk menikmati “ice-cream” dalam cuaca panas begini dan mengambil beberapa foto pribadi. Berderet-deret bas membawa penziarah ke Jabal Rahmah yang sangat terkenal ini.

8. 3.     Arafah, Mudzalifah dan Mina

Seterusnya kami menziarahi sekitar padang Arafah, Muzdalifah dan Mina dari atas bas sahaja kerana masa yang suntuk. Terdapat bangunan-bangunan kekal dan separuh kekal berada di kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina. Suasana sangat sunyi kerana tempat itu hanya digunakan setahun sekali untuk ibadah haji kerana dalam ibadah umrah tidak termasuk kunjugan ke kawasan ini. Dalam Ibadat umrah yang kita lakukan hanyalah berihram, kemudian berniat di miqat, tawaf, saie dan tahalul (bergunting), semua tempat-tempat itu berada di sekitar Masjidil Haram kecuali miqat (tempat mula umrah) berada di Tanaaim atau Jaaranah.

Oleh kerana tiada sesi penerangan oleh mutawwif ketika dalam bas melawat Arafah, Muzdalifah dan Mina, maka jamaah hanya melihat saja suasana itu. Seharusnya ada penerangan oleh mutawwif agar ingatan jamaah yang pernah datang ke sini kembali segar atau jamaah yang belum pernah datang mendapat informasi baru dalam episod mengerjakan haji nanti.

8.4.     Bermiqat di Jaaranah

Kemudian jamaah dibawa ke Mesjid Jaaranah untuk berwudhuk, kemudian bersolat sunat dua rakaat dan berniat umrah dari Jaaranah. Suasana di Mesjid Jaaranah ketika itu sangat sesak kerana jamaah umrah yang ramai. Kesesakan berlaku di sekitar tempat mengambil wudhuk kerana ada jamaah yang ingin membuang air kecil dan besar dan ada juga jamaah yang hanya ingin berwudhuk.

Keadaan dalam mesjid pun agak sesak juga kerana jamaah memilih untuk solat berhampiran dengan pintu mesjid dan tindakan ini menghalang jamaah lain untuk masuk ke dalam mesjid. Ruangan di saf hadapan agak kosong, namun budaya ingin berada di belakang masih kuat di kalangan jamaah Malaysia dan Indonesia, maka kawasan pintu dan saf bahagian belakang mesjid agak sesak dan penuh tetapi saf depan agak kosong.

Jamaah yang selesai menunaikan solat dua rakaat mulai menaiki bas kerana mereka tidak dibenarkan berada lama di mesjid Jaaranah kerana mengejar waktu solat fardhu di Mesjidil Haram dan jika berlama-lama jamaah akan mulai leka dengan membeli barangan yang dijual di sekitar Mesjid.

**** hingga jumpa di Siri 9 nanti *****

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 Mei 2012.

No comments:

Post a Comment